
Bayangkan setiap pagi anda bangun dengan rasa lesu yang tak pernah hilang, wajah kelihatan pucat walau sudah oles foundation tebal, dan jantung terasa berdebar bila menaiki tangga.
Ramai menyangka itu tanda stres atau kurang tidur padahal tubuh sebenarnya sedang ‘menjerit’ kekurangan zat besi. Ya, itu mungkin anemia, si pencuri senyap yang makin banyak menyerang wanita Malaysia tanpa disedari.
Anemia bukan sekadar rasa letih atau pucat semata. Ia merujuk kepada keadaan di mana tubuh kekurangan sel darah merah yang mencukupi untuk membawa oksigen ke tisu badan. Tanpa oksigen yang cukup, organ penting seperti jantung, otot dan otak akan ‘berjuang’ lebih keras untuk berfungsi dan jika dibiarkan, anemia boleh bertukar menjadi masalah kesihatan serius.
Ramai tidak tahu, anemia bukan penyakit tunggal tetapi tanda bahawa sesuatu sedang tidak kena dalam tubuh. Ia boleh berpunca daripada kekurangan zat besi, kehilangan darah atau penyakit kronik yang menjejaskan penghasilan sel darah merah.
Lebih membimbangkan, simptomnya sering keliru dengan tekanan atau keletihan biasa, menjadikan ramai wanita terus hidup dalam keadaan anemia tanpa rawatan.
Tubuh yang lemah dan cepat penat adalah amaran pertama. Bila sel darah merah tidak cukup hemoglobin untuk membawa oksigen, otot dan organ mula ‘kelaparan’ tenaga.
Kalau keletihan itu bukan sebab kerja atau kurang tidur, mungkin sudah tiba masa untuk buat ujian darah bagi mengesan anemia.
Ramai wanita mengadu wajah kelihatan kusam walau pakai skincare mahal. Kekurangan hemoglobin membuatkan darah tidak cukup sampai ke permukaan kulit lalu menyebabkan kulit kelihatan pucat dan kuku mudah rapuh. Bila dua tanda ini hadir serentak, jangan tunda untuk berjumpa doktor bagi mengelakkan anemia semakin teruk.
Jantung yang berdegup laju atau terasa sesak nafas tanpa sebab jelas bukan sesuatu yang normal. Ia terjadi apabila jantung cuba mengimbangi kekurangan oksigen dalam darah.
Jika anda kerap rasa dada berdebar tanpa sebab, itu bukan semata-mata cemas. Ia mungkin jantung sedang bekerja dua kali ganda kerana anemia.
Tahukah anda, anemia juga boleh menyebabkan telinga berbunyi seperti ‘cicak malam’? Keadaan ini berlaku apabila aliran darah meningkat ke kawasan kepala dan leher, menyebabkan telinga menangkap bunyi deringan yang tidak datang dari luar.
Lidah yang perit, licin atau seperti terbakar bukan masalah kecil. Ia petanda bahawa tubuh kekurangan zat besi dalam jangka panjang. Walaupun simptom ini jarang disedari, ia sangat spesifik kepada anemia tahap pertengahan hingga teruk.
Jika anda sering diserang sakit kepala tanpa sebab jelas, cuba periksa tahap hemoglobin. Bila oksigen tidak cukup sampai ke otak, arteri akan membengkak menyebabkan rasa sakit yang berulang dan berdenyut-denyut. Ini juga antara tanda klasik anemia.
Berita baiknya, anemia boleh dicegah dan dirawat asalkan dikesan awal. Langkah paling mudah ialah dengan menjaga diet harian. Amalkan makanan kaya zat besi seperti daging merah, hati ayam, bayam, kekacang dan makanan laut. Vitamin C juga penting kerana membantu penyerapan zat besi dengan lebih baik.
Namun, jangan sesekali mengambil suplemen zat besi tanpa nasihat doktor. Terlalu banyak zat besi boleh mendatangkan bahaya lain termasuk keracunan hati. Cara paling selamat untuk tahu sama ada anda memerlukan tambahan zat besi ialah dengan menjalani pemeriksaan darah.
Wanita moden hari ini sering sibuk membahagi masa antara kerja, keluarga dan diri sendiri tapi kesihatan tetap perlu diutamakan. Jangan biarkan keletihan kronik, kulit pucat atau jantung berdebar dianggap perkara biasa. Mungkin tubuh sedang memberi isyarat bahawa anda kekurangan zat penting.
Anemia mungkin senyap, tapi kesannya tidak kecil. Ia mencuri tenaga, kecantikan dan semangat tanpa kita sedar. Jadi mulai hari ini, dengar bahasa tubuh anda, sayangi diri sendiri dan jangan malu untuk periksa darah. Kerana wanita kuat bukan yang tidak pernah jatuh, tapi yang tahu bila untuk berhenti dan menjaga diri sebelum terlambat.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/titikberatkan-kesihatan-di-usia-52-tahun-datuk-seri-vida-nekad-turunkan-berat-badan/
This website uses cookies.