Takziah buat Shuib dan Watie Hanifiah yang ‘kehilangan’ cahaya mata mereka baru-baru ini. Sesungguhnya tiada daya sebagai makhluk Allah untuk mengelak perkara seumpama ini daripada berlaku kerana Dia Maha Mengetahui dan sebaik-baik perancang!
Saat kebanyakan anak-anak meraikan sambutan Hari Ibu pada 11 Mei lalu sebagai menghargai jasa mereka yang bergelar ibu, emak, bonda, mama, mummy dan ummi, lain pula kisahnya bagi isteri pelawak Shuib ini apabila dia mengalami keguguran.
Mengesahkan berita itu di media sosial, pemilik nama Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah ini bagaimana pun tidak mendedahkan usia kandungan kepada umum.
Pun begitu, Watie menjelaskan dia seakan mendapat bayangan bahawa bayi yang dikandung akan berdepan keguguran.
Walhal mummy dah dapat petanda dari mimpi yang mummy akan keguguran. Setiap masa mummy fikir adakah mimpi itu akan jadi kenyataan. 11-05-2025 mummy dapat berita kamu betul-betul pergi tinggalkan mummy.”
Reda menerima ketentuan ilahi, wanita cekal berusia 37 tahun ini tetap bersangka baik terhadap Yang Maha Esa dan percaya ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan.
“Mungkin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat mummy. Mungkin mummy masih belum mampu jadi mummy
yang baik dan adil buat kamu, kakak dan abang-abang kamu.Mungkin masih banyak yang perlu mummy pelajari sebelum kamu lahir ke dunia ini. Dan mungkin Allah nak mummy lebih menghargai anak-anak yang mummy ada sebelum adanya kamu.
Mummy reda walaupun ia terasa perit untuk mummy hadapi. Mummy tetap bersyukur Allah titipkan kamu walau hanya untuk beberapa bulan yang indah.”
Dalam pada itu, Watie juga menzahirkan rasa terima kasih dan syukur atas kata-kata yang baik diberikan kepadanya.
“Mummy masih dalam fasa perasaan paling sedih yang mummy rasakan dalam hidup mummy. Tapi dengan kata-kata dari kalian ini jugalah sedikit sebanyak dapat memujuk hati mummy ketika ini.
‘Saat di dunia mummy jaga anak-anak ibu, saat kamu di syurga ada ibu yang menjaga anak mummy.’
Walaupun mummy tahu kata-kata ini hanyalah penyedap hati tapi ia cukup menenangkan hati mummy saat ini.”
Watie Hanifiah sah bergelar isteri usahawan Bubblebee tersebut pada 23 Jun 2023. Terdahulu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dan dikurniakan empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.
Semoga Watie sekeluarga diberi ketabahan dan cekal melalui ujian ini dengan penuh sabar.
This website uses cookies.