Rakan Politik Dedah Peribadi Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, “Zikir Perlahan Sering Lingkari Ruang Di Antara Kami!”

Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.

Pemergian tokoh politik dan Ahli Parlimen Kinabatangan ini ke pangkuan ilahi pada hari Jumaat, jam 1.46 pagi meninggalkan kesan mendalam bukan hanya dalam kalangan ahli keluarga. Bahkan rakyat negeri Sabah khususnya.

Memetik laporan Sabah Post, Setiausaha UMNO Sabah iaitu Datuk Jafry Ariffin memaklumkan Allahyarham mengalami keadaan kesihatan yang serius selepas kegagalan buah pinggang dan jangkitan teruk di bahagian paru-paru.

Artikel https://www.nona.my/rai-birthday-dengan-anak-kembar-lelaki-datin-seri-zizie-izette-terserlah-cantik-usia-46-tahun/

Datuk Seri Bung Moktar Meninggal Dunia

Berita kehilangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar pagi Jumaat ini nyata mengejutkan ramai pihak. Salah seorang sahabat politik yang turut terkesan dengan khabar berkenaan ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah yang duduk bersebelahan Allahyarham di Parlimen.

Dalam perkongsian di media sosial, Dato’ Indera Mohd Shahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar menyifatkan suami kepada Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tersebut memiliki peribadi baik dan sentiasa mengingati Allah.

“Hari ini, seorang sahabat yang duduk di sisi saya dalam dewan berpulang pergi – Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar.

Hari ini, beliau kembali kepada Pencipta pada hari Jumaat yang mulia; hari yang dipilih, hari yang dijanjikan sebagai perlindungan dari azab kubur bagi insan yang Allah muliakan perjalanannya.

Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergengam tasbih bila berada di dalam dewan.

Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai. Itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan.


Dalam video ini, beliau sedang membetulkan pin saya; satu detik kecil, tetapi penuh makna. Begitulah beliau, membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.

Semoga Allah melapangkan perjalanannya, mengampunkan segala salahnya, dan menempatkannya di taman-taman yang tenang.

Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang, zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang. Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang, Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang. Al-Fatihah. Damailah Sahabatku di sana.”

Datuk Seri Bung Moktar Radin menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada 14 September lalu.

Kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar

Rata-rata rakan politik Allahyarham turut mengagumi kepimpinan tegas dan lantangnya dalam membela nasib rakyat.

Kebaikan yang pernah dilakukan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar juga terungkap satu persatu selepas pemergiannya. Insan ini dikatakan memiliki hati yang lembut dan mudah didekati serta membantu masyarakat memerlukan.

Malah, turun padang bertemu penduduk setempat dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang berada dalam kesusahan secara senyap-senyap. Tanpa kehadiran media mahupun lensa kamera.

Sepanjang pembabitan dalam arena politik, Allahyarham yang berasal dari Sukau, Kinabatangan memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta Presiden Bola Sepak Sabah.

Bersandarkan komitmen, perjuangan buat rakyat Sabah dan kemenangan dalam PRN Sabah ke-16, Allahyarham diberi kepercayaan seterusnya menerima pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah.

Slogan ‘Radu Tatap Radu’ atau ‘Lawan Tetap Lawan’ cukup sinonim dengan perjuangan pemimpin ini.

Semoga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Juga, ahli keluarga Allahyarham diberi ketenangan, kesabaran dan tabah menerima dugaan ini.

 

Share
Published by
Suzi