Berita

Zizi Kirana Sambut Ramadan Di Syria, Ikhlas Hulur Bantuan Kemanusiaan Buat Warga & Kanak-Kanak Berpuasa

Zizi Kirana sambut Ramadan tahun ini di Syria dengan hati penuh keinsafan. Penyanyi dan aktivis kemanusiaan itu meneruskan misi bantuan bagi membantu masyarakat yang masih terkesan akibat peperangan berpanjangan di negara tersebut.

Ramadan sering datang membawa ketenangan, keampunan dan harapan baharu. Namun di bumi Syria, bulan yang penuh rahmat ini hadir dalam suasana yang jauh berbeza, di tengah runtuhan bangunan, kenangan perang dan kehidupan yang masih bergelut untuk kembali berdiri.

Bagi penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana, Ramadan tahun ini dimulakan dengan satu perjalanan yang sarat makna. Beliau menyertai Misi Bantuan Winter-Ramadan di Syria bersama pasukan kemanusiaan Cinta Salam Malaysia (CSM) bagi menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang masih terkesan akibat konflik yang berlarutan bertahun-tahun.

“Ramadan Kareem dari Bumi Syam, Syria,” tulis Zizi dalam catatannya, sambil memohon doa agar setiap langkah misi ini dipermudahkan dan membawa manfaat kepada mereka yang memerlukan. Selebriti lain yang turut menyempurnakan misi ini adalah Nadzmi Adhwa.

Facebook Zizi Kirana
Facebook Zizi Kirana

Hari Pertama Agihan Bantuan di Darayya

Misi Zizi Kirana di Syria bermula di Darayya, sebuah kawasan di pinggir Damsyik yang menyimpan banyak kisah luka akibat peperangan.

Bersama kerjasama organisasi kemanusiaan Aryana Care dan CSM, pasukan misi berjaya menyampaikan bantuan asas kepada penduduk setempat. Antara bantuan yang diagihkan termasuk:

  • 100 kotak makanan
  • 50 baucar pakaian kanak-kanak
  • 52 set kit ibadah yang mengandungi Al-Quran, telekung dan sejadah

Di tengah kesunyian kawasan yang pernah meriah dengan kehidupan, bantuan kecil itu membawa sinar kegembiraan kepada mereka yang sudah lama hidup dalam kekurangan.

Bagi Zizi, setiap kotak makanan yang diberikan bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi simbol bahawa mereka tidak dilupakan oleh saudara seagama di tempat lain.

Facebook Zizi Kirana
Facebook Zizi Kirana

Kem Pelarian Al-Yarmouk

Salah satu lokasi paling menyentuh hati sepanjang perjalanan Zizi Kirana ialah di Kem Pelarian Al-Yarmouk.

Suatu ketika dahulu, kawasan ini dihuni hampir 700,000 penduduk yang hidup dengan harapan dan impian masing-masing. Hari ini, hanya sekitar 6,000 keluarga yang masih bertahan di celah bangunan runtuh dan infrastruktur yang musnah.

Pasukan misi berdiri di hadapan sebuah bangunan sekolah tiga tingkat yang pernah menampung hampir 2,000 pelajar. Kini, bangunan itu hanya tinggal rangka kosong. Sunyi dan rosak, menjadi saksi kepada kepungan panjang yang pernah memutuskan bekalan makanan dan keperluan asas kepada penduduk.

Dalam keadaan terdesak, ada antara mereka yang terpaksa memakan apa sahaja yang mampu ditemui semata-mata untuk terus hidup.

“Ya Allah… bagaimana hati ini tidak hancur melihat semua ini?” luah Zizi dalam catatannya.

Iftar Bersama 200 Keluarga

Dalam misi Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria, pasukan kemanusiaan turut menyediakan hidangan panas untuk iftar bersama 200 keluarga di kawasan tersebut.

Bagi penduduk yang sudah lama hidup dalam kekurangan, hidangan berbuka itu bukan sekadar makanan tetapi tanda bahawa mereka masih diingati.

Zizi turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menyumbang dana bagi menjayakan misi tersebut.

“Kegembiraan buat mereka dan pahala besar buat kalian semua orang Malaysia yang menginfaqkan rezeki pada Ramadan yang berkat ini,” katanya.

Agihan Bekalan Makanan di Kem Yarmouk

Pada hari kedua misi Zizi Kirana di Syria, pasukan meneruskan agihan bantuan di Kem Yarmouk dengan menyampaikan 100 set bahan basah kepada keluarga yang memerlukan.

Bekalan ini merangkumi bahan asas memasak yang dianggarkan mampu menampung keperluan makanan sesebuah keluarga selama satu hingga dua minggu.

Sekolah yang musnah akibat peperangan kini digunakan sebagai tempat berteduh dan pusat komuniti bagi mereka yang kehilangan rumah.

Di ruang yang suatu ketika dahulu dipenuhi suara pelajar, kini hanya tinggal keluarga yang cuba bertahan dengan sisa kehidupan yang ada.

Bantuan Makanan di Al-Huseiniya dan Sbina

Agihan bantuan turut diteruskan dalam misi Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria di Kem Al-Huseiniya dan kawasan Sbina.

Sebanyak 100 kotak makanan serta 100 bakul sayuran telah diagihkan kepada penduduk setempat.

Menurut pasukan misi, dengan sumbangan sekitar RM30, ia mampu menampung keperluan makanan sebuah keluarga selama satu hingga dua minggu.

Bantuan bahan basah ini penting bagi memastikan keluarga yang terjejas masih mampu menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anak mereka.

Ziarah Makam Bilal Bin Rabah

Facebook Zizi Kirana
Facebook Zizi Kirana

Di tengah perjalanan Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria, beliau juga berkesempatan menziarahi makam sahabat Rasulullah SAW, Bilal Bin Rabah.

Bilal bukan seorang yang kaya atau memiliki kedudukan tinggi. Namun kalimah yang sering diungkapkannya ketika diseksa dahulu — “Ahad… Ahad”

— mengangkat namanya menjadi antara tokoh agung dalam sejarah Islam.

Di hadapan makam sahabat Nabi itu, Zizi merenung bagaimana seorang hamba yang pernah diseksa di dunia akhirnya dimuliakan oleh Allah SWT.

Senyuman Anak-Anak Menyambut Syawal

Antara detik paling menggembirakan sepanjang Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria ialah apabila keluarga-keluarga di Syria menerima baucar pakaian raya.

Bagi kebanyakan mereka, selagi pakaian yang ada masih boleh dipakai, itulah yang akan terus digunakan walaupun sudah lusuh.

Bukan kerana tidak mahu berganti, tetapi kerana kemampuan yang sangat terbatas.

Facebook Zizi Kirana

Melalui misi ini, 60 keluarga menerima baucar bagi membeli pakaian baharu agar mereka juga dapat merasai kegembiraan menyambut pagi Syawal.

Di bumi yang masih menyimpan luka peperangan, senyuman kecil itu menjadi bukti bahawa harapan masih hidup.

Dan bagi Zizi Kirana, perjalanan ini bukan sekadar misi bantuan — tetapi satu pengajaran besar tentang erti syukur, kemanusiaan dan tanggungjawab sesama insan.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/ayana-jihye-moon-sambung-master-di-oxford/

Share
Published by
Norzalina