Ingat! Rumahtangga Mungkin Tak Bahagia, Kalau Buat 10 Perkara ini…

MANISNYA saat berbulan madu. Tetapi mengapa kemanisannya hanya sebentar? Sering terdengar, individu yang baru berkahwin tetapi telah mulai bercerita tentang keburukan pasangan.

Antara keluhan yang sering kedengaran ialah; ‘Ingatkan selepas berkahwin dia akan berubah. Nak suruh buat secawan kopi pun malas’, atau ‘Saya selalu mengimpikan, mempunyai suami yang romantis seperti ayah. Tetapi, suami saya tidak begitu’ dan macam-macam keluhan lagi. Mengapa begitu jadinya.

10 perkara yang perlu dielakkan setelah bergelar suami dan isteri

1. JANGAN membandingkan pasangan anda dengan orang lain – Setiap orang mempunyai idola sendiri. Contohnya mengharapkan calon pasangannya yang berkeperibadian tinggi seperti ayah atau ibunya. Kalau yang lelaki inginkan isteri yang pandai masak dan mempunyai ciri-ciri keibuan serta pandai memasak seperti ibunya.

Dan kalau wanita pula, mengharapkan calon suami yang mempunyai ciri-ciri seperti ayahnya; penyayang, suka memanjakan isteri, romantis, kacak dan berjaya dalam kerjaya. Sebaliknya setelah berkahwin, pasangan tidak seperti yang diimpikan. Sebenarnya perkara itu adalah lumrah, kerana tidak ada orang yang ‘perfect’. Sama juga seperti anda yang bukannya seorang yang serba sempurna. Jadi, belajarlah untuk menerima pasangan seperti seadanya. Jangan sesekali sampai terkeluar daripada mulut perkataan-perkataan yang boleh melukakan. Seperti; “Kenapa kari kepala ikan awak ni tidak sesedap kari kepala ikan yang emak saya buat?”

2. JANGAN mengharapkan pasangan memenuhi segala impian dan kehendak anda – Setiap orang yang ingin berkahwin pasti bercita-cita ingin memenuhi segala impian dan kehendak pasangan. Namun, tidak semuanya akan terlaksana. Kerana sifat semulajadi manusia, tidak ada yang sempurna. Sesungguhnya pasangan yang bahagia sentiasa bersedia untuk berkongsi apa yang ada dan tidak memaksa satu sama lain untuk menjadi alat mencapai impian.

3. JANGAN suka ambil mudah – Dulu anda bujang, tetapi kini telah mempunyai tanggung jawab. Berkelakuanlah seperti selayaknya. Kalau sebelum ini anda sering keluar malam bersama teman-teman, tetapi kini hendaklah dikurangkan. Atau sebaiknya dihentikan terus. Perkahwinan itu bukan sesuatu yang menyusahkan, tetapi ia adalah tanggung jawab. Mungkin anda lihat pasangan anda jenis tidak kisah, tetapi anda perlulah ambil kisah. Bukannya menggunakan kesempatan itu.

4. JANGAN memperbesar-besarkan perkara yang kecil – Sebelum berkahwin lagi anda sudah tahu, pasangan anda jenis yang tidak romantis, tidak pernah ingat tarikh-tarikh penting, tidak pandai untuk mengungkapkan perkataan maaf dan segala macam kekurangan lagi. Kemudian setelah berkahwin, mengapa perkara itu yang menjadi punca perselisihan faham. Belajarlah menerima pasangan dengan seadanya. Banyak lagi perkara besar yang harus difikirkan daripada merajuk kerana pasangan terlupa mengucapkan ‘selamat hari jadi!’

5. JANGAN letakkan kebahagiaan rumah tangga di bahu pasangan semata-mata – Kebahagiaan tidak terletak di bahu sesiapa kecuali diri sendiri. Seperti bagaimana cara seseorang itu berfikir. Jika mereka berfikiran secara positif dan gembira, bahagialah mereka. Suatu kesalahan besar jika meletakkan seluruh kebahagiaan pada pasangan, kerana jika berlaku sesuatu perkara yang buruk, umur atau jodoh tidak panjang, akan hilang seluruh kebahagiaan hidup mereka.

6. JANGAN cuba mengubah pasangan – Anda dan pasangan lahir, dibesarkan dan menjalani cara hidup yang berbeza. Setelah dewasa anda berdua dipertemukan. Adalah mustahil untuk mengubah pasangan mengikut cita rasa anda. Dan anda sendiri, pasti tidak suka jika pasangan cuba mengubah anda mengikut cita rasanya.

Cara terbaik ialah secara berdiplomasi. Seperti minta dia lebih peka dengan perasaan orang lain, terutama anda. Apa yang anda suka dan tidak suka tentang dirinya, tetapi dalam waktu yang sama jangan sampai si dia tersinggung. Selain daripada itu, dorong dia (kalau boleh tanpa disedarinya) menonjolkan sikap-sikap yang positif.

7. JANGAN memendam perasaan sekiranya berlaku konflik atau pertengkaran – Ada pasangan yang mengelak daripada membincangkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik atau bagi mengelakkan pertengkaran. Perkara ini hanya akan menambahkan kerumitan kerana salah seorang merasa tidak puas hati. Dalam erti kata lain, ianya akan menjadi ‘kudis yang bernanah’ sekiranya tidak dirawat.

8. JANGAN menutup mata terhadap kesalahan pasangan – Pasangan anda tidak pandai menghormati orang tua anda. Anda hanya mendiamkan diri kerana takut dia berkecil hati atau pun marah. Mengharap, lama-lama nanti dia akan faham juga. Maklumlah baru berkahwin. Ini satu kesilapan besar. Bagaimana nanti jika setelah beranak pinak, pasangan anda masih tidak mahu berubah.
Malah apabila anda menegur, dia menjawab:
“Kenapa baru sekarang awak nak tegur? Dulu awak tak kisah pun.
Mentang-mentanglah saya dah tua, dah tak cantik.
Semuanya dah tak kena di mata awak.” Siapa nak jawab?

9. JANGAN terlalu cemburu – Memang cemburu tandanya sayang. Tetapi cemburu yang berlebihan sehingga pasangan tidak boleh bergerak langsung pun, tak elok juga. Daripada cemburu akan timbul perbuatan mengawal. Sikap terlalu mengawal akan menimbulkan rasa bosan kepada pasangan kerana merasa dirinya tidak dipercayai. Sesungguhnya sikap percaya mempercayai adalah teras dalam sesebuah perkahwinan. Dan lagi, orang yang merasa dirinya dikawal akan berusaha mencari jalan keluar untuk bebas daripada rasa terkongkong.

10. JANGAN menyerang pasangan secara peribadi – Jika berlaku pertengkaran, jangan sesekali menyerang pasangan secara peribadi. Cuba berbincang secara rasional. Elakkan daripada meletakkan kesalahan pada pasangan dan mengungkit keburukan satu sama lain sehingga terlupa tentang nilai perhubungan yang sebenar. Seronok bagi yang menang. Tetapi yang merasa dirinya kalah, sudah pasti akan memendam perasaan. Ini bererti, tiada jalan penyelesaian yang diperoleh.

IKLAN
Share