
Betullah kata orang, bila kita dah berkahwin dengan pilihan hati, kemudian barulah kita tahu luar dalam perangainya. Seperti apa yang didedahkan oleh pelakon jelita Bollywood, Kareena Kapoor, beliau terbuka berkongsi satu rahsia suaminya, iaitu pelakon tampan Saif Ali Khan apabila berada di rumah.


Menerusi sumber Indian Express, Kareena Kapoor berkongsikan perihal gaya peribadi suami kesayangannya apabila berada di rumah. Kareena mendedahkan suaminya Saif, 52, sememangnya suka mengenakan pakaian yang sama malah tidak pernah menggantikan pakaian selama lima tahun.

“Saif seorang yang baik hati, dia telah memakai sepasang seluar sama sejak lima tahun lalu. Dia tidak akan membeli baru sehingga saya tidak memberitahunya. Malah Saif dah memakai baju berlubang semasa di rumah selama lima tahun dan dia suka, saya tak boleh kata apa lagi ,” katanya.
Jelas Kareena lagi, walaupun Saif Ali Khan pernah digelar most stylish man suatu ketika dulu, namun selepas berkahwin Kareena terpaksa belajar untuk menerima baik buruk suaminya itu. Walaupun Kareena seorang yang sangat bergaya dan mementingkan penampilan peribadi, namun tidak bagi Saif Ali Khan.

Kareena menjelaskan tiada siapa yang boleh mengubah penampilan suaminya, termasuklah pereka gayanya kerana Saif dilihat terlalu selesa dengan gaya fesyennya sendiri. “Tiada siapa yang boleh mengubah atau memaksa dia untuk tampil bergaya, dia sentiasa akan memakai lain dari apa yang dicadangkan oleh pereka gayanya,” jelas Kareena.
Untuk rekap, Saif dan Kareena telah mendirikan rumah tangga sejak 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Taimur Ali Khan yang lahir pada 2016, dan Jehangir lahir pada tahun 2021.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak Buat AZAM Bukan Tunggu Awal Tahun Je, Bila-Bila Pun Boleh! Yang Penting NIAT

Semua dari kita menyemai azam baik-baik belaka yang menunjukkan niat mahu berubah daripada negatif kepada positif. Seronoknya kita memasang azam sehingga kita terlupa bahawa sebenarnya kita tidak perlu menunggu tahun baru untuk membuat azam.
Hakikatnya, kita boleh membuat azam baru pada setiap ketika dan setiap saat. Kita ada 365 hari setahun, oleh itu jika ingin menjadi orang berjaya, tidak perlu menunggu tahun baru. Namun begitu memulakan azam baru pada tahun baru juga tidak salah. Bak kata orang, lebih baik lewat daripada tiada langsung!
Azam adalah semangat semangat dan motivasi dalaman yang akan mendorong seseorang melakukan sesuatu sehingga berjaya. Oleh itu, azam mesti diiringi semangat, matlamat jangka pendek dan jangka panjang, juga kesungguhan yang menggerakkan kita melakukan sesuatu.
Umpamanya kita ingin berjaya dalam perniagaan dan mensasarkan pendapatan RM3 juta sebulan. Untuk mencapai sasaran itu, kita haruslah berusaha setiap hari – cari pasaran, cari pelanggan dan segala yang lain. Mungkin juga kita belum boleh mencapai RM3 juta tetapi sekadar RM1.5 juta dalam jangka masa tertentu, tetapi yang utama, usaha gigih tetap perlu dipertingkatkan.
Apabila berbicara tentang azam, ada beberapa perkara yang boleh kita fikirkan untuk memastikan azam tidak sekadar tinggal azam.

1.Azam tanpa usaha
Ramai yang berazam tetapi tidak diiringi usaha. Sekadar berkata, “Sempena tahun baru, aku hendak berubah” tetapi dia tetap begitu juga. Oleh itu, yang penting azam hendaklah disertai tindakan dan tidak cukup kata-kata yang terlafaz di mulut.
Azam yang sekadar di mulut (hanya cakap) biasanya tidak sampai ke mana-mana. Jika ingin berjaya, seseorang itu harus ada tindakan dalam bidang yang diusahakan. Azam dalam apa jua urusan, termasuk ibadat – mahu berhenti berjudi, tidak mahu tinggal solat – harus diusahakan bersungguh-sungguh. Malangnya, ramai yang berazam tidak mahu tinggal solat, tetapi masih bangun lewat dan tidak bersungguh.
2. Azam bermatlamat
Untuk merealisasikan azam, seseorang mestilah menetapkan matlamat. Ibarat bermain bola sepak, bola mesti dibawa ke palang gol kerana di sana ada kemenangan dan ganjaran menunggu. Disebabkan itu, selain sasaran, azam harus punya ganjaran atau imbuhan.
Katakan kita sasar mahu mendapat RM200,000. Maka kita akan bekerja keras untuk dapatkannya. Orang yang bekerja dan punya sasaran akan berjaya. Tetapi jika tiada sasaran, dia akan bekerja sahaja dan kemudian berhenti kerana tiada matlamat akhir.
Rezeki tidak datang bergolek kecuali selepas berusaha. Keluarlah dari paradigma atau kepercayaan lama, termasuklah “tahun lepas berazam tapi tak tercapai juga!” Tanggapan itu menyebabkan kita selalunya malas hendak memasang azam lagi.
Tanggapan begini merupakan kepercayaan lama yang kita anggap betul. Maka sekarang, tiba masanya untuk kita sanggah kepercayaan lama itu. Itu juga sebenarnya yang diamalkan orang-orang yang berjaya.
3.Azam diiringi doa
Bagi Muslim, perkara yang tidak harus ditinggalkan adalah berdoa. Solat lima waktu (sebaik-baiknya solat jemaah) boleh jadi motivasi terbaik dengan disertai doa. Sekadar menadah tangan berdoa tetapi tidak pernah bersolat atau tidak menjaga solat, maka usaha belum memadai.
Sebagai Muslim, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa ibadah dan doa akan menyumbang pada kejayaan, motivasi dan sumber inspirasi. Ini kerana apabila kita bersolat dan berdoa, bermakna kita ‘mengadu’ pada Yang Maha Pencipta. Itu suatu motivasi yang tiada pada bukan Islam. Ia senjata orang Islam tetapi mengapa harus kita tinggalkan?
Selain itu, amalan berpuasa juga boleh jadi motivasi ke arah merealisasikan azam. Puasa biasanya meletihkan tetapi ramai di kalangan orang Islam yang berpuasa masih bertenaga melaksanakan kerja. Ini menunjukkan bahawa puasa itu memberikan suatu kekuatan dalaman yang tersendiri.
Begitu juga amalan solat malam, nampak sukar untuk dilaksanakan tetapi jika berjaya lakukan, akan jadi motivasi yang baik. Malah Rasulullah juga pernah memperingatkan bahawa tidak ramai yang boleh melakukan solat malam dan sesiapa yang melaksanakannya, adalah orang yang disukai Rasulullah.
Amalan bersedekah dan sikap suka memudahkan kerja orang lain juga menjadi penggerak pada kekuatan diri. Jika orang meminta bantuan, maka permudahkan mereka, berilah khidmat nasihat yang perlu. Itulah yang seharusnya dilakukan pemimpin supaya mempermudahkan rakyat yang dijaga atau ketua yang memberi kegembiraan pada anak buahnya.

4. Ukur pencapaian
Bagaimana hendak mengukur pencapaian azam? Dalam hal ini, pencapaian merujuk kepada kepuasan yang akan kita rasakan selepas sesuatu azam terlaksana. Ia mungkin dirasai di peringkat dalaman atau boleh jadi kepuasan luaran (material), malah mungkin boleh mencapai kedua-duanya.
Umpamanya, seseorang berazam hendak menabung dan apabila sampai masanya, dia dapat melihat jumlah wang dalam akaunnya sendiri. Rasa puas itu boleh jadi kepuasan fizikal (melihat jumlah wang yang banyak) dan selain hati yang riang (puas dalaman) kerana dia beroleh wang itu dengan cara halal dan betul.
Namun ada juga yang banyak duit tetapi hatinya tidak senang, mungkin kerana dia beroleh itu semua dengan cara mengambil hak orang dan menyebabkan orang lain susah serta sebagainya.
5. Lakukan penilaian setiap hari
Islam mengajar supaya umatnya selalu menilai diri setiap hari. Galakan Islam bahawa “esok lebih baik daripada hari ini” sebenarnya merupakan satu bentuk azam yang harus diamalkan. Sebagai seorang Muslim, kita digalakkan untuk menjadi orang yang lebih baik dari sehari ke sehari dari segi amalan, pencapaian harta benda dan sebagainya.
Azam adalah usaha yang bersifat individu. Bermakna hanya individu berkenaan yang boleh menolong dirinya sendiri. Ibarat orang yang memandu kereta, dia mesti tahu ke mana hendak dibawa keretanya. Begitulah azam, kerana azam itu akan ‘memandu’ diri ke jalan yang mahu dituju.
Hayatilah surah Al-Fatihah: 5 yang bermaksud, “Tunjukkan kami jalan yang lurus…” yang merupakan panduan yang diberikan Islam. Malah ayat ini boleh menjadi kefahaman azam yang mesti diberikan pada orang Islam
Begitu juga frasa dalam azan – “hayya ala falah” (marilah menuju kejayaan), merupakan contoh terbaik ke arah menyemai azam. Namun ramai yang tidak menghayati dan kurang memberi tumpuan mengenai hal ini.
Contohilah Rasulullah yang berhijrah dari Mekah ke Madinah dengan azam baru untuk mewujudkan negara Islam – antaranya dengan membentuk perlembagaan dan membuat segala perubahan – sehingga akhirnya berjaya melahirkan ramai korporat Muslim seperti Abd Rahman Auf, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman Affan.
Enam Langkah Praktikal Baharui Motivasi
Sebagai manusia, kita selalu gagal mengekalkan motivasi sehingga menyebabkan azam sukar direalisasikan. Ramai yang memasang azam tetapi kerana motivasi mudah layu dan mati, maka azam juga turut berkubur. Motivasi sebenarnya adalah suatu unsur yang ‘hidup’ tetapi kita tidak tahu bahawa ia hidup. Ada beberapa langkah untuk perbaharui motivasi iaitu:
- Bersahabat dan banyak berkomunikasi dengan orang yang bermotivasi tinggi atau orang yang sudah berjaya. Seseorang yang hendak berjaya dalam bidang kewartawanan contohnya hendaklah mencari orang yang telah berjaya dalam bidang ini. Yang ingin berjinak dalam dunia niaga hendaklah mencari mentor di kalangan ahli perniagaan yang sudah cemerlang.
- Mempunyai role model yang boleh dijadikan idola. Seorang adik umpamanya boleh menjadikan abang atau kakaknya sebagai idola. Dalam masyarakat atau organisasi umpamanya, pemimpin atau ketua akan jadi contoh pada anak-anak buahnya.
- Sering mengingati azam itu. Jika setiap tahun, kita memperbaharui cukai jalan (kereta), maka begitulah kita mengingatkan diri sendiri mengenai azam.
- Carilah seseorang untuk mengingatkan anda. Berpesanlah pada kawan-kawan yang baik dan boleh dipercayai, yang boleh beri teguran sekiranya tersasar daripada landasan yang lurus. Ibu bapa mungkin tidak berdaya menegur atau barangkali mereka berada jauh daripada kita. Jadi kita memerlukan kawan-kawan kerana merekalah yang akan menjadi cermin bagi kita.
- Motivasi yang terbaik adalah dengan cara muhasabah diri sendiri. Ingatkan diri sendiri. Contohnya, “aku hendak berjaya, hendak kerja kuat, tanpa putus asa.” Untuk mencapainya, jangan sesekali kecewa.
- Sentiasa mencatat dalam diari. Lakukan senarai kerja yang mahu dilakukan esok. Lakukan perancangan dalam jangka masa panjang, sasaran dan pelan tindakan, kerana cara ini akan menjadi motivasi untuk mencapainya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Umum Angkasawan Negara Sebagai Duta, Kini Kanak-Kanak APPETON Mampu Gapai Bintang!

Kanak-kanak adalah generasi masa depan dan kesihatan mereka harus sentiasa dilindungi agar mereka dapat mencapai potensi sebenarnya.
Inilah yang mendorong jenama farmaseutikal Appeton melancarkan pembungkusan baru rangkaian ‘A-Z Vitamin C’ bersama duta jenamanya, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar.
Sebagai satu-satunya rakyat Malaysia ke angkasa lepas, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar adalah jurucakap terbaik untuk Kempen Dream Big A-Z Vitamin C Appeton. Pengalaman beliau yang bekerja keras untuk menjadi seorang doktor tanpa melepaskan impiannya untuk menjadi seorang angkasawan boleh menjadi inspirasi terbaik pada golongan cilik.
Ceritanya sewaktu kanak-kanak, beliau sentiasa terpesona dengan dunia angkasa lepas yang menakjubkan. Mujurlah ibu bapanya menyokong dari awal lagi, mereka memupuk minat, memberi galakan serta memastikan zaman kanak-kanaknya sihat.
“Kini sebagai seorang bapa kepada empat cahaya mata, saya pula berusaha agar anak-anak saya sihat dan dilindungi, supaya mereka dapat keluar dan mengenali segala perkara yang ditawarkan oleh dunia.
Maka apabila Appeton berbincang dengan saya mengenai kempen ini, saya terus berkata ya. Jadi saya berharap penglibatan saya dalam Kempen Dream Big Appeton akan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk ‘memiliki impian besar’, serta mengingatkan ibu bapa agar memastikan mereka sentiasa sihat dan dilindungi. Siapa tahu suatu hari nanti, mereka juga dapat mencapai bintang-bintang!” ujarnya.
Acara pelancaran di Damansara itu menyaksikan ibu bapa dan anak-anak menyertai pelbagai permainan pentas, kuiz, seni pasir, seni dan kraf serta teka-teki abjad. Datuk Dr. Sheikh Muszaphar dan dua orang anak perempuannya turut dipaparkan dalam iklan TV serta papan iklan Dream Big Appeton di sepanjang lebuh raya terpilih di seluruh Malaysia. Norzalina Mohd Alias




Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wow, Berikut 5 SUPERWOMAN MALAYSIA Yang Dilantik Teraju Kepimpinan Tertinggi Negara!

Tahniah dan syabas buat lima menteri wanita yang dilantik dan mengangkat sumpah sebagai ahli kabinet Malaysia 2018, hari ini. Dengan perlantikan tersebut jelas membuktikan kemampuan wanita terus diperhebat dan dapat membela nasib kaum wanita dengan lebih menyeluruh kelak. Apa yang pasti, pemilihan barisan kepimpinan tertinggi negara kali ini mencatatkan penglibatan lebih ramai menteri wanita berbanding pucuk kepimpinan terdahulu. Satu pencapaian yang membanggakan buat seluruh wanita Malaysia.


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengungguli menteri wanita utama iaitu selaku Timbalan Perdana Menteri yang turut melaksanakan tugas Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga. Yang Berhormat (YB) Rina Harun pula dilantik Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Zuraida Kamaruddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Yeo Bee Yin; Menteri Tenaga Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, sementara YB Teresa Kok pula ialah Menteri Industri Utama.



4 orang pemimpin wanita lagi dipilih sebagai Timbalan Menteri iaitu Hannah Yeoh Tseow Suan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Teoh Nie Ching di Kementerian Pelajaran, Isnaraissah Munirah Majilis di Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar; dan Fuziah Salleh di Jabatan Perdana Menteri (Agama).
Dengan pemilihan mereka ini, Malaysia mempunyai 9 pemimpin wanita yang akan taat setia membantu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengurus tadbir negara di samping berperanan merancakkan ekonomi rakyat. Berdasarkan rekod tahun 2017, tiga wanita berkarisma iaitu Datuk Seri Rohani Abdul Karim pernah memimpin Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala YB Nancy Shukri dan Datuk Seri Azalina Othman Said pula ditugaskan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Besar harapan bagi semua rakyat agar kepimpinan baharu ini mampu memberi perubahan dan meningkatkan taraf hidup rakyat demi kelangsungan serta kesejahteraan bersama.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


