16 Tahun Kongsi Suka Duka Rumah Tangga, Esakan Tangisan Datin Seri Zizie Tatap Arwah Suami Undang Sebak!

Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.

Wajah sugul dan tangisan suri hati Datuk Seri Bung Moktar Radin sebaik tiba di kediaman suami di Kota Kinabalu, Sabah sekitar pagi tadi nyata mengundang sebak khalayak. Lebih-lebih lagi melihat anak-anak Allahyarham yang masih kecil turut menangis menatap wajah bapa tersayang.

Artikel https://www.nona.my/zikir-perlahan-sering-lingkari-ruang-di-antara-kami-rakan-politik-dedah-peribadi-allahyarham-datuk-seri-bung-moktar/

Tangisan Datin Seri Zizie

Datin Seri Zizie yang merupakan kakak kepada pelakon terkenal, Shaheizy Sam tidak dapat menahan air mata dan daripada perkongsian video di media sosial, jelas kedengaran esakannya. Turut kelihatan, isteri pertama Allahyarham yang mesra menyambut ketibaan Datin Seri Zizie iaitu Datin Seri Nor Asidah Alimuddin.

Ahli Parlimen Kinabatangan ini kembali ke pangkuan ilahi pada 5 Disember 2025 bersamaan pada hari Jumaat, jam 1.46 pagi. Memetik laporan Sabah Post, Setiausaha UMNO Sabah iaitu Datuk Jafry Ariffin memaklumkan Allahyarham mengalami keadaan kesihatan yang serius selepas kegagalan buah pinggang dan jangkitan teruk di bahagian paru-paru.

Jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu pada 2.25 petang. Suasana hiba dan sayu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan yang turut dihadiri rakan-rakan Allahyarham termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Datin Seri Zizie & Datin Seri Nor Asidah Isteri Allahyarham

Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar meninggalkan dua isteri, Datin Seri Nor Asidah Alimudin bersama tiga anak dan Zizie Ezette Abdul Samad bersama empat anak.

Tahun ini merupakan tahun ke-16 usia perkahwinan Allahyarham bersama selebriti berkenaan. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak kembar iaitu Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette serta puteri bongsu, Aalisa Belle Izette.

 

Share
Published by
Suzi