
Seramai 27 ibu tunggal dan beliawanis di Terengganu berjaya menamatkan kursus perusahaan madu kelulut anjuran ExxonMobil dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Taman Pertanian Sekayu, Hulu Terengganu pada 20 September 2017 lalu.
Program selama tiga hari yang julung kali diadakan itu merupakan inisiatif ExxonMobil dalam usaha meningkatkan peluang dan penglibatan golongan wanita di bidang ekonomi melalui usaha pembangunan kemahiran di samping penyediaan program sokongan.

Penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof,
Program terbaharu itu dilaksanakan susulan kejayaan program sama membabitkan projek perusahaan cendawan dalam kalangan ibu tunggal dan beliawanis yang dirintis Exxonmobil dan YDSM sejak 2008.

Menurut Dato’ Fadzli, kali ini ExxonMobil menyumbangkan kira-kira RM70,000 bagi program perusahaan madu kelulut dan pihaknya proaktif untuk memantau peserta terutama dalam tempoh tiga bulan pertama.
“Diharap latihan dan sokongan yang disediakan dapat memberi rangsangan kepada mereka terutama dalam memajukan diri sekali gus meningkatkan pendapatan masing-masing,” jelas beliau.

Program latihan keusahawanan di bawah The ExxonMobil Women Economic Opportunity Initiative (EWEOI) itu secara tidak langsung dapat membantu golongan ibu tunggal serta beliawanis menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup diri serta keluarga. Norzalina Mohd Alias
YDP Agong & TUNKU AZIZAH Mengutamakan Rakyat, Berkenan Kerajaan Tak Bayar EMOLUMEN Selama 6 Bulan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memang terkenal dengan sikap mesra rakyat dan sering mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Baginda berdua telah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.
(émolumen) wang atau bayaran yang diperoleh daripada sesuatu pekerjaan, gaji. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkenan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19, serta menyahut keputusan kerajaan memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung COVID-19.
“Perkenan Seri Paduka Baginda Berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda Berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya.
Laporan BERNAMA mengatakan bahawa Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil telah maklumkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tambahnya lagi, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama Seri Paduka berdua, berdoa memohon ihsan Allah SWT semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan berkesan dan segera.
Raja Pemaisuri Agong
Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 6 Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri.
Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga terkenal dengan sikap ramah apabila berada bersama rakyat jelata. Baginda telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor.
Baginda merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor.
Pendidikan awal Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, dan meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Kegemaran Tengku Puan Pahang pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit, bermain golf dan paling utama menjaga dan bermain-main dengan Paduka-paduka Anakanda serta berbakat dalam bidang penulisan.
Sebuah buku masakan hasil daripada Baginda sendiri bertajuk “Air Tangan Tengku Puan Pahang” telah diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada Mac 2005 yang lalu. Sehingga kini penjualan buku tersebut masih lagi dijalankan dan hasilnya disalurkan terus ke TAFF.
Tiada Apa Yang Mustahil! Di Usia 53 Tahun, NAOMI CAMPBELL Timang Anak Kedua

Supermodel ternama dunia dan juga bekas peragawati untuk jenama Victoria’s Secret, Naomi Campbell mengumumkan kelahiran anak keduanya yang juga bayi lelaki pada Khamis.
Menurut laporan portal media antarabangsa, kehamilannya selama ini tidak pernah dikongsi dengan orang ramai menyebabkan sebilangan besar peminat Campbell terkejut mendengar berita terbaharu yang dikongsinya di akaun Instagram peribadinya.
“Sayangku, ketahuilah sejak kau hadir dalam hidup kamu, kau sangat dihargai dan dikelilingi oleh kasih sayang. Kamu adalah anugerah sejati daripada Tuhan,” tulis personaliti berusia 53 tahun itu dalam hantaran di Instagramnya.
Kapsyen itu mengiringi gambar tangan Campbell dan anak perempuannya memegang tangan bayi yang baru lahir itu.
Agensi berita CNN juga telah menghubungi jurucakap Campbell untuk mendapatkan komen mengenai berita itu.
Sejak kelahiran anak sulung pada bulan Mei 2021, Campbell tidak banyak berkongsi kisah kehidupan peribadinya termasuk memuat naik gambar anaknya.
Bagaimanapun, tahun lalu, Campbell dan anak sulungnya membenarkan wajah mereka berdua dirakamkan untuk muka depan majalah fesyen ternama dunia, Vogue edisi Britain .
Dalam wawancara itu, dia memberitahu, sebelum ini, hanya segelintir sahaja orang yang mengetahui dia akan menjadi seorang ibu.
Hal yang sama dilakukan kali ini ketika hamil anak keduanya.
“Saya boleh bilang dengan hanya sebelah tangan saja jumlah orang yang tahu bahawa saya sedang mengandungnya (anak sulung),” katanya.
Bahkan, ketika ditanya adakah dia akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah ahli keluarganya, Campell tanpa ragu-ragu menjawab: “Kenapa tidak?”
Kepada Vogue Britain juga, Campbell menegaskan, dia “selalu tahu bahawa suatu hari nanti” dia akan memiliki seorang anak dan dalam hantaran di Instagramnya pada Khamis, perasaan yang sama diungkapnya sekali lagi.
“Tidak pernah terlambat untuk menjadi seorang ibu,” tulis Campbell. – Agensi
Sumber: ASTRO AWANI
CADULA Perkenalkan Kabinet Dapur Modular Yang Bergaya, Selamat dan Mudah Dipasang

Jenama kabinet modular, Cadula telah mengeluarkan set kabinet dapur gaya shaker modular terbarunya yang direka dengan sempurna untuk ruang yang padat. Tersedia dalam tiga warna pastel yang lembut dan menenangkan, koleksi ini meraikan gabungan alam semula jadi dalam rumah bandar — menggabungkan bahan kayu bukan toksik dengan konsep modular yang membolehkan pemilik rumah memiliki fleksibiliti penuh untuk menyesuaikan ruang kediaman mereka dan menghidupkan rumah impian mereka.
Rumah yang lebih kecil menjadi kegemaran golongan milenium dan Gen Z yang memilih untuk hidup berdikari di kawasan bandar. Mereka memilih untuk berpindah ke rumah yang lebih kecil, seperti unit pangsapuri studio, untuk menjalani kehidupan tanpa sebarang gangguan serta proses penemuan diri.
Dengan peningkatan minat untuk rumah yang lebih kecil dan lebih mudah diurus, kabinet tetap tradisional (yang kebiasaannya bersaiz besar dan tidak praktikal) semakin ketinggalan zaman untuk rumah moden dengan keluasan ruang yang lebih kecil. Dengan mengambil kira perkara ini, kabinet dapur modular Cadula direka khas untuk memenuhi jangkaan pemilik rumah muda: ianya moden, bergaya, ringkas dan yang paling penting – mudah serta menjimatkan kos!
Mengulas mengenai populariti rumah bersaiz kecil yang semakin meningkat ini, Samantha Lau, Pengasas Bersama Kabinet Cadula, berkongsi, “Generasi penduduk bandar sekarang menginginkan ruang kecil yang mudah diurus dan selesa untuk didiami. Kami percaya bahawa ruang yang kecil turut berhak mendapat perhatian yang sewajarnya! Melalui barisan kabinet modular mampu milik Cadula yang semakin berkembang, kami berharap dapat memberi pemilik rumah ini pengalaman interaktif yang menyeronokkan dan kebebasan kreatif untuk menghidupkan suasana kediaman mereka dengan ruang simpanan yang bukan sahaja bergaya dan moden, tetapi juga bersifat praktikal. Kami juga ingin mengurangkan manual arahan yang rumit dan menjadikannya mudah untuk dipasang.”
Kabinet modular mula mendapat perhatian semasa ledakan perumahan pada awal 1970-an. Dengan fungsi serba boleh, kabinet modular direka khas untuk melengkapi dan mengadaptasi dengan perubahan gaya hidup di bandar. Diinspirasikan oleh konsep set blok bangunan, kabinet modular terdiri daripada unit prabuatan berasingan yang setiap satunya boleh dipasang dengan mudah, ditanggalkan dan disusun semula agar sesuai dengan kawasan yang sempit. Sifatnya yang fleksibel bukan sahaja menjadikan gaya kabinet ini sesuai untuk isi rumah yang lebih kecil, tetapi juga sesuai untuk penyewa yang mungkin perlu membawa perabot bersama-sama mereka apabila berpindah.
Selain penyelenggaraan yang rendah dan mudah dibersihkan, sistem kabinet modular yang boleh dilipat membolehkannya digunakan dalam pelbagai ruang di luar dapur. Sebagai contoh, kaunter dapur daripada set kabinet modular Cadula juga boleh ditukar kepada meja sisi katil di bilik tidur atau table top — ia sekaligus menambah nilai fungsian pada pembelian tunggal dan membawa unsur keseronokan ke dalam perancangan perabot.
Mesra alam dan serba boleh: Memperkenalkan koleksi terbaru Cadula
Koleksi baharu Cadula terdiri daripada siri gaya pintu shaker yang pastinya membawa aura tenang semasa di dapur, dengan pilihan tiga warna pastel tona sejuk: Green Moss, Pebble Grey dan Blanche White. Warna-warna neutral ini menjadikannya mudah untuk dipadankan dengan pelbagai warna dinding, menambahkan ciri serba boleh untuk idea reka bentuk dalaman.
Koleksi ini juga terdapat dalam dua pilihan reka bentuk. Yang pertama adalah konsep selesa dan kedesaan (rustic), menampilkan panel tengah rata gaya minimalis dengan bentuk segi empat sama di bahagian tepi dan pintu jenis shaker. Sementara itu, pilihan kedua ialah gabungan moden pintu shaker dan panel kaca yang lut sinar. Kedua-dua reka bentuk ini datang dengan pilihan laci yang dipasang di bahagian bawah kabinet. Semua pintu kabinet dilengkapi dengan tombol pintu logam bercirikan kedesaan yang memberikan cengkaman selesa.
Untuk mencapai kemasan sempurna bagi semua kabinet pintu shakernya, Cadula menggunakan papan kayu melamin khusus bersama-sama dengan teknologi ketepatan berpaten bagi membolehkan pembuatan yang lebih konsisten dengan menekankan kualiti kayu.
Sebagai jenama yang menekankan kehidupan yang lebih sihat, kabinet modular Cadula dihasilkan sepenuhnya daripada kayu khusus yang tidak toksik dan kandungan formaldehid yang rendah, satu bentuk alergen yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal dan mental seseorang dengan pendedahan dalam jangka panjang. Pemilihan kayu sebegini adalah untuk memastikan udara di rumah kekal bebas daripada toksin, sekaligus melambangkan etos jenama Cadula: mengharmonikan rumah impian dengan persekitaran mesra alam.
“Kami telah menerima beberapa pelanggan yang bertanyakan tentang penyebab alahan kepada kulit dan hidung yang mereka alami di rumah. Ramai yang menganggap perkara ini disebabkan oleh barangan perabot lama, tetapi yang sebenarnya ialah ia mungkin datang daripada kabinet komersial, yang kebanyakannya mengandungi kandungan formaldehid yang tinggi. Bagi kami, rumah sepatutnya menjadi satu ruang untuk seseorang individu berehat dengan rasa selamat, walaupun daripada segala toksin yang tidak kelihatan. Inilah sebab mengapa Cadula komited untuk memperjuangkan rumah yang lebih hijau dan sihat dengan 100% bahan kayu mesra alam,” tambah Samantha.
Untuk maklumat lanjut mengenai Cadula, sila layari: https://mkacabinet.com/cadula/