3 Kali Dibuang Kerja Gara-Gara Kegawatan, Kini ANNIE LIZA Bangkit Bantu Insan Senasib!

Mereka yang pernah mengalami situasi dibuang kerja akibat kegawatan ekonomi sahaja yang faham perubahan emosi ketika itu. Hilang kerjaya, hilang punca pendapatan dan yang paling penting keperluan keluarga yang sukar dipenuhi.

“Memang benar isu kehilangan kerja ini memberi kesan sosial terutama sosio-ekonomi sebuah keluarga. Setiap individu mempunyai pasangan dan juga anak untuk meneruskan kehidupan.

Fokus utama saya bukan semata-mata menyediakan perkhidmatan yang ditawarkan tetapi lebih kepada menjaga kebajikan mereka agar dapat membina sebuah gaya hidup yang positif.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul tetapi saya turut menyelami perasaan mereka dengan lebih dekat kerana pernah melalui perkara yang sama. Malah saya pernah mengalami kehilangan kerja sebanyak tiga kali akibat kegawatan ekonomi.

Kali pertama saya melalui fasa kehilangan kerja ini hanya setelah bekerja selama 5 bulan. Waktu itu saya berhenti kerja dari syarikat cari gali antarabangsa dan menyertai syarikat tersebut kerana saya fikir sudah tiba masanya untuk saya give back to the nation

.

Ketika itu bahagian (division) saya baharu diwujudkan dan ditutup serta-merta akibat kegawatan ekonomi yang teruk pada tahun 1997. Kami semua diberhentikan tanpa sebarang pampasan kewangan dan sokongan kerjaya kerana belum melepasi tempoh percubaan (probation),” tutur Annie Liza Muhammad lembut sambil tersenyum.

Kini wanita ini berpeluang untuk membantu anak bangsa dengan menyalurkan khidmat di CDC. Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO), Pusat Pembangunan Korporat (CDC Malaysia) ini, merupakan tugas murni yang perlu dilaksanakan dari hati.

Keluhuran budi yang tersemat dalam diri wanita yang berkelulusan MBA dari University Miami, Florida, Amerika Syarikat ini mampu menginspirasikan masyarakat. “CDC adalah anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.

Fungsi dan tanggungjawab CDC adalah untuk membimbing dan menyediakan sokongan untuk mereka memasuki fasa kehidupan baru sama ada meneruskan kerjaya, bekerja sendiri atau pun memilih untuk bersara awal.

Setiap mereka yang berdaftar dengan CDC akan dibimbing oleh Penasihat Kanan Kerjaya untuk merancang pelan gaya-hidup dan kerjaya yang terperinci dan berjangka panjang, perancangan kewangan dan program-program latihan (upskilling) dalam pelbagai bidang bagi membolehkan mereka melalui peralihan kehidupan yang seterusnya.,” terang wanita yang berpengalaman luas dalam bidang Peralihan dan Bimbingan Kerjaya ini memulakan bicara.

Wanita ini memang dilahirkan begitu istimewa kerana sanggup menutup syarikat miliknya hanya semata-mata mahu membantu orang lain lebih-lebih lagi pernah melaluinya. “Niat saya semata-mata mahu menolong orang. Bagi saya peluang bekerja di sini merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai untuk dilepaskan.

Sasaran saya adalah untuk membina generasi muda yang mempunyai semangat juang dan sentiasa komited terhadap kepentingan bangsa, agama dan negara.

Sebagai seorang ibu dan pernah melalui tempoh getir ini, saya fikir sekiranya mereka tidak mengawal emosi dengan baik dan melalui tempoh sukar ini dengan negatif maka pembesaran anak-anak juga akan turut terganggu.

Mereka akan malu untuk ke sekolah dan sering merasa rendah diri. Apabila anak-anak membesar dalam keadaan yang negatif, ini boleh merosakkan minda, karier dan masa depan mereka.

Kebanyakan mereka yang mengalami kehilangan kerja tidak pernah mempunyai kerja lain selain bekerja dengan majikan yang ada. Ada yang sejak lepasan sekolah bekerja selama 30 tahun dengan syarikat yang sama dan buntu untuk mencari kerja lain.

Jadi ini merupakan satu cabaran transisi kerjaya yang amat besar buat mereka. Apa yang istimewa, CDC membantu dan mengikuti perkembangan mereka sehinggalah mereka berjaya di dalam bidang yang baru mereka pilih.

Alhamdulillah, sudah 90 peratus daripada mereka yang kehilangan kerja sudah berjaya di dalam peralihan kerjaya mereka. Lagi 10 peratus itu masih di dalam proses bimbingan kerana baharu sahaja mendaftar. CDC juga turut bekerjasama dengan syarikat lain daripada segi transisi kerjaya dan menjadi tanggungjawab sosial korporat untuk membantu ibu tunggal, gelandangan dan pelajar universiti,” jelas nwanita yang berasal dari Pahang ini.

“Sudah menjadi norma kehidupan, orang yang hilang pekerjaan akan mengalami gangguan emosi, marah, geram dan kecewa. Cabaran paling utama adalah dapat bersabar ketika berhadapan dengan mereka.

Saya gembira dapat membuka minda mereka dan membantu mereka serta anak-anak. Selain itu cabaran untuk memastikan amanah dipenuhi bukan secara 100 peratus tetapi lebih daripada itu. Kebajikan untuk rakyat dan duit rakyat.

Kepuasan lahir dalam diri apabila mereka datang semula kepada kami dengan minda yang terbuka dan dapat membina kerjaya yang memberangsangkan,” jelasnya dengan mata berkaca.

IKLAN
Share