38 Tahun Jadi Pendidik, Pejuang Kanser & Kini Pengusaha Restoran, Semangat SHARIFFAH MAHANI Cetus Inspirasi!

Benarlah tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia. Kecekalan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz melayari hidup sebagai isteri, ibu dan pendidik sememangnya wajar dijadikan inspirasi. Tidak hanya berbagi masa untuk mengurus keluarga dan anak-anak, dia juga komited menabur bakti sebagai pendidik demi pembangunan anak bangsa.

Dalam kesibukan itu, Sharifah Mahani juga kental mengharungi ujian apabila menghidap kanser payudara.

Kisah perjuangan ibu empat anak tersebut melawan kanser mendapat perhatian umum apabila anak keduanya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan berita tersebut di media sosial. Menerusi posting yang dibuat pada Julai 2020, pemuda berusia 27 tahun berkenaan memuat naik gambar di samping ibu tersayang di sebuah hospital.

Difahamkan kanser payudara Shariffah Mahani yang berjaya diatasi kira-kira lapan tahun lalu kembali menyerang tahun lepas. Selamat menjalani pembedahan membuang sel kanser, dia kemudian diraikan dalam satu majlis persaraan tahun lalu setelah lebih 30 tahun bertugas sebagai guru.

Shariffah Mahani di samping suami tercinta
Ketika di hospital menjalani prosedur pembedahan
Sewaktu majlis persaraan tahun lepas

Melalui gambar-gambar yang dikongsikan Syed Saddiq, Shariffah Mahani tetap gigihkan diri menyertai majlis berkenaan biarpun baru seminggu menjalani prosedur pembedahan. Dari riak wajahnya, jelas terpancar sinar bahagia walau kesakitan yang ditanggung hanya Tuhan yang tahu.

38 tahun menjadi pendidik nyata bukan tempoh singkat. Terbiasa dengan rutin harian yang sibuk, Shariffah Mahani enggan sekadar berehat di rumah sebaliknya mahu terus aktif bekerja. Atas sokongan anak-anak dan minat, wanita berjiwa kental ini akhirnya berjaya membuka sebuah restoran sendiri iaitu Mama’s Kitchen. Alhamdulillah!

Teruja dengan kejayaan itu, Syed Saddiq di Instagram miliknya pada Jun lalu mendedahkan, “Hari ni kedai mama, Mama’s Kitchen dah buka! Mama dulu bekerja sebagai cikgu selama 38 tahun. Lepas mama bersara, mama cakap dengan saya yang mama bosan duduk rumah. Workaholic!

Saya cadangkan pada mama untuk buka kedai makan. Saya cadangkan awal bulan 5, belum sampai sebulan, mama dah launch kedai! She’s definitely a superwoman!

She took up a kitchen at my new business venture Coox Asia. Boleh order makanan mama yang mama masak sendiri guna resipi turun-temurun keluarga. Favourite saya Shakshouka dengan lasagna. Sekali cuba, confirm akan order lagi. Sokong usaha mama saya ya semua.”

Sementara itu, bagi Shariffah Mahani pula tiada ungkapan yang lebih bermakna selain bersyukur kerana kini bergelar pengusaha restoran. “Masa awal-awal anak-anak mama minta mama buka kedai makan, mama sungguh risau. Mama risau tak mampu berikan yang terbaik untuk pelanggan dan mama risau kesihatan tak mengizinkan.

Tapi atas berkat sokongan suami, anak-anak dan team Mama’s Kitchen iaitu Amira, Nor, Shasha dan Juli, alhamdulillah dah berjaya buka selama dua minggu. Mama seronok tengok orang beri comment

makanan sedap. Dan mama juga suka bila ada kritikan membina untuk mama perbaiki kualiti kedai makan mama.

I always tell my children, learning never stops. I’m so glad that at the age of 61, I still have the chance to learn how to run my own business. Jemput order dari Mama’s Kitchen ya.”

Buat Shariffah Mahani, semoga terus tabah dan kuat mendepani hari-hari mendatang. Moga perkongsian kerjaya, perjuangan menentang kanser dan kejayaan menjadi pengusaha restoran ini memberi suntikan inspirasi buat ramai wanita agar terus gigih menggapai impian.

 

 

Kredit foto: Instagram Syed Saddiq & Shariffah Mahani

IKLAN
Share