4 Banglo Keluarga Bachchan Disanitasi! AISHWARYA RAI, Anak, Suami & Bapa Mentua Positif Covid-19

Berita mengenai keluarga ternama Bollywood, Bachchan yang dijangkiti Covid-19 nyata mengundang rasa terkejut dalam kalangan peminat. Nampaknya pandemik Covid-19
masih belum reda meskipun terdapat pengurangan kes di beberapa buah negara.

Di India misalnya, sehari selepas aktor popular Abhishek Bachchan dan bapanya, Amitabh Bachchan disahkan positif Covid-19… kini bekas ratu cantik dunia yang juga pelakon terkenal Bollywood, Aishwarya Rai pula turut dilaporkan dijangkiti virus sama. Aishwarya berusia 46 tahun dikatakan menjalani ujian saringan Covid-19 pada Sabtu bersama ibu mentua, Jaya Bachchan serta beberapa ahli keluarga lain.

Hasil ujian tersebut mendapati bintang filem Mohabbatein ini dan anak perempuannya iaitu Aaradhya berusia lapan tahun positif Covid-19. Namun, Jaya Bachchan bebas daripada jangkitan. Sebelum ini, India Today memaklumkan Abhishek dan ayahnya dijangkiti virus berkenaan selepas kedua-duanya menunjukkan gejala ringan dan menerima rawatan di Hospital Nanavati di Mumbai.

Aishwarya Rai di samping suami, anak & mentua

Perkara itu didedahkan Abhishek dan Amitabh di laman media sosial masing-masing. Susulan penyebaran berita itu semua ahli keluarga dan kakitangan yang berhubung rapat
dengan mereka dipanggil untuk menjalani ujian saringan.

Menerusi perkongsian terbaharu Amitabh di Instagram miliknya, pelakon veteran berusia 77 tahun ini menzahirkan ucapan terima kasih terhadap mereka yang banyak memberi kata-kata semangat. “To them that have expressed their concern, their prayers and their wishes for Abhishek Aishwarya Aaradhya and me .. my unending gratitude and love. I put my hands together and say thank you.”

Memetik laporan The Indian Express, pihak hospital memaklumkan Abhishek dan Amitabh Bachchan mengalami simptom ringan dan kini berada dalam keadaan stabil. Abhishek
dikhabarkan bakal keluar dari hospital tidak lama lagi tetapi masih perlu menjalani tempoh kuarantin di rumah. Pada Sabtu, keempat-empat buah banglo mewah milik keluarga Bachchan iaitu Jalsa, Janak, Praktiksha dan Vatsa telah disanitasi dan proses pembersihan seluruh kawasan terlibat turut dilakukan.

Moga ahli keluarga Bachchan yang diuji dengan jangkitan Covid-19 ini segera sembuh seperti sediakala.

IKLAN
Share