Kenali 4 Wanita Terpenting Dalam Hidup DATO’ FAZLEY YAAKOB, Bertuahnya Mereka!

Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti berdiri seorang wanita di belakangnya. Selain restu, kejayaan itu pasti disebabkan doa dan sokongan tanpa berbelah bagi dari seorang wanita yang bergelar ibu mahupun isteri.

Begitulah pentingnya wanita dalam hidup Dato’ Fazley Yaakob. Bukan hanya seorang sebaliknya 4 wanita yang menjadi tunggak kejayaanya selama ini. Kenali siapa 4 wanita yang dimaksudkan oleh penyanyi, hos dan cef selebriti terkenal ini.

“Dalam hidup saya ada 4 wanita yang menjadi inspirasi. Pertama, Nenda saya di sebelah Kedah yang telah lama meninggal dunia. Nenda mampu membesarkan 12 orang anak walaupun hidupnya susah. Kemudian arwah Wan saya di Negeri Sembilan. Arwah membesarkan 2 orang anak dengan adik beradik yang ramai. Makan nasi dengan garam bertahun-tahun sepanjang membesarkan mereka termasuklah menjual kuih. Arwah Wan inspirasi saya sampai sekarang.

Seterusnya isteri saya, Datin Azrene Ahmad yang sentiasa berdiri kukuh di belakang saya. Berkorban 13 kali keguguran dan memberikan saya 4 orang anak. Usia perkahwinan kami kini hampir 14 tahun.

Wanita seterusnya sudah tentu ibu saya, Datin Umi Kalsom Abdol Latif yang menggalakkan saya untuk menceburi apa jua bidang yang saya minat walaupun kelulusan akademik saya dalam bidang berlainan.

Tanpa 4 wanita ini tidak akan ada Fazley Yaakob.

DIGELAR ‘ANAK MAK’
Pengorbanan terbesar yang pernah saya buat untuk ibu ialah bersangkut paut dengan saya yang meminta ibu untuk berhenti kerja. Saya tahu ibu masih kuat untuk bekerja tetapi pada ketika itu saya masih bergelar seorang artis dan saya meminta ibu untuk menemani saya pergi ke mana-mana. Rezeki saya ketika itu popular dengan lagu berjudul Asmara Ini.

Saya membawa beliau sebagai seorang ibu dan bukan sebagai seorang manager. Jadi, orang nampak saya seperti ának mak’. Saya korbankan imej ‘macho’ seorang artis yang berjaya kerana ada ibu di sebelah.

Namun dengan adanya ibu di sisi ia umpama benteng yang melindungi saya daripada sebarang gangguan, hinaan dan fitnah. Kesimpulannya, ibu berkorban dengan berhenti kerja dan saya pula berkorban dengan membawa ibu ke mana-mana walau ramai yang mengatakan itu tidak patut kerana orang lelaki tidak seharusnya ada ibu di sebelahnya jika ke mana-mana. Tapi itulah yang membawa kejayaan buat saya.”

MAKNA WANITA SUPERWOMAN
Untuk bergelar seorang superwoman yang paling penting ialah kasih sayang yang berkekalan. Kasih sayang daripada individu-individu yang dinamakan keluarga, sahabat atau saudara mara yang ambil kisah. Jangan mencari kasih sayang daripada individu yang tiada keinginan untuk memberi kasih sayang.

Jangan pedulikan orang yang mencari salah kita. Kerana seorang superwoman adalah yang tangkas berjalan dan berlari bersama orang-orang yang mengasihi dan menyayanginya.

Pada pandangan saya setiap wanita punya potensi tersendiri. Namun saya tahu di dalam jiwa mereka ada perasaan gentar untuk berhadapan dengan diri masing-masing. Sebab kejayaan yang mereka cari adalah yang menggalakkan mereka keluar dari kepompong selesa.”

Untuk perkembangan terkini, Dato’Fazley bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi. Selain itu, Suka Sucre Bistro baru sahaja berpindah dan dibuka semula di Hartamas.

“Saya juga mengendalikan menu-menu menarik di Starbucks seluruh Malaysia. Juga di dalam Crispy Crème ada donut-donut berperisa tempatan.”

Dato’ Fazley juga kini rancak mengendalikan projek nyanyian, masakan dan yang terbaru sebagai hos.

Kredit Foto: Instagram @fazleyyakob @rsd.umi @azrene_ahmad @sukasucrebistro

IKLAN
Share