5 Bandar Besar Di Dunia TIDAK SELAMAT Dikunjungi Pelancong WANITA! Rancang Semula Percutian Anda Jika Berhasrat Ke Sini

Melancong sememangnya merupakan aktiviti kegemaran kebanyakan wanita sama ada yang masih bujang mahupun telah berumahtangga. Jika anda gemar melancong secara berkumpulan yang terdiri dari wanita sahaja, tahukah anda terdapat beberapa negara yang tidak selamat untuk dikunjungi?

Ibu kota Mesir, Kaherah telah dinamakan sebagai bandar besar paling berbahaya untuk kaum wanita. Tanggapan tersebut dibuat berdasarkan satu kaji selidik antarabangsa yang dijalankan oleh Thomson Reuters Foundation berkenaan kesejahteraan wanita di bandar-bandar yang mempunyai lebih 10 juta penduduk.

Kaji selidik berkenaan meliputi 19 bandar besar, yang menyaksikan pakar-pakar dalam isu wanita diajukan persoalan mengenai kekerapan serangan seksual terhadap kaum tersebut. Keputusan kaji selidik tersebut telah disiarkan oleh BBC dan mendapati London telah dipilih sebagai bandar yang ‘mesra wanita’ diikuti oleh Tokyo dan Paris.

Antara sebab mengapa Kaherah disenaraikan sebagai bandar paling bahaya untuk wanita ialah kerana isu diskriminasi di bandar tersebut. Di Kaherah, sebarang langkah progresif untuk membantu kaum wanita didakwa ‘sangat susah’. Umum juga mungkin mengetahui kaum wanita di Kaherah mempunyai akses terhad terhadap perkhidmatan perubatan, perbankan dan pendidikan yang setaraf kaum lelaki.

Menurut seorang wartawan tempatan, Shahira Amin mengatakan ‘segala-galanya susah untuk kaum wanita’ di Kaherah. Sehinggakan berjalan di kaki lima juga boleh membuatkan wanita terdedah pada pelbagai gangguan dan serangan.

Sementara itu, Karachi di Pakistan, Kinshasa (Congo) dan Delhi (India) mengikuti jejak langkah Kaherah dalam senarai bandar besar berbahaya untuk wanita. Misalnya, kaum wanita di Delhi dan Sao Paulo (Brazil) dilaporkan berisiko tinggi untuk mendapat serangan seksual, keganasan seks dan rogol.

Masih ingatkah tragedi rogol beramai-ramai dan bunuh seorang wanita di dalam bas di Delhi pada tahun 2012, menyebabkan protes besar-besaran dilakukan. Kejadian tersebut juga menyebabkan undang-undang jenayah seks telah diperketatkan di India untuk membela nasib wanita. Malah satu bancian yang dijalankan Forum Keselamatan Awam Brazil menunjukkan seorang daripada tiga wanita Brazil berusia lebih 16 tahun menderita akibat penderaan verbal, fizikal dan psikologikal.

Seorang penulis, Clara Averbuck melancarkan kempen pada Ogos selepas beliau dicabul oleh seorang pemandu teksi di Sao Paulo. “Saya tak pernah rasa tercemar seperti berada di Brazil. Saya tak bercakap tentang rogol fizikal. Di London dan New York, saya rasa selesa kerana dilayan seperti manusia. Di sini mereka tidak layan seperti manusia,” kata Clara. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

Sumber:Sinar Harian

IKLAN
Share