5 Makanan Tradisi Orang Selangor Wajib Cuba, Sedap Dan Menggiurkan!

Selangor dan segala kehidupan yang bernafas di dalamnya. Bagi mereka yang tinggal di Selangor, bumi bertuah ini bukan saja menjadi tempat bermastautin, tapi rumah keluarga membesar dan lubuk rezeki yang melimpah-ruah.

Disebabkan faktor migrasi dan kemasukan pekerja asing yang telah berpindah mencari peluang pekerjaan, negeri Selangor berkembang dengan kepelbagaian budaya dan makanannya.

Bagi penduduk negeri lain, inilah lima makanan tradisional Negeri Selangor yang menyelerakan. Selain berkhasiat dan lazat, ia juga mudah dibuat sebagai variasi santapan keluarga anda nanti. Cubalah!

(1) Pecal

Foto: Maggi

Pecal sayur yang sangat lazat ini juga dikenali sebagai Salad Jawa. Ia dihidangkan dengan sos kacang dan aneka sayur-sayuran segar. Persediaan untuk membuat pecal ini adalah sangat mudah dan boleh dicuba di rumah pada bila-bila masa! Antara ramuan pentingnya adalah kacang tanah untuk menghasilkan kuah kacang, tauhu, taugeh, kacang hijau dan timun.

(2) Nasi Ambeng

Foto: Nona Manis Kitchen

Sudah menjadi tradisi untuk menghidang Nasi Ambeng dalam satu pinggan yang boleh dikongsi beramai-ramai di antara empat hingga ke lima orang! Semasa menyiapkan menu Jawa-Melayu ini, anda tidak boleh melupakan ramuan utama seperti nasi putih, ayam, mi goreng, kacang panjang, sambal tempe dan daun pisang!

(3) Sambal Taun

Foto: Salamisimon

Makanan tradisional yang berasal dari Jawa ini kerap dimasak pedas dengan penggunaan cili yang banyak semasa penyediaannya. Sering kali di Selangor, kulit lembu akan dijadikan sebagai protein utama sajian ini, akan tetapi ia boleh digantikan dengan kerang, paru lembu atau ikan bilis. Bahan-bahan lain yang diperlukan pula adalah bawang merah, bawang putih, belacan, santan kelapa, minyak, asam jawa, gara dan gula. 

(4) Wadai Kipeng

Foto: Friedchillies

Dalam perkataan Banjar, ‘Wadai’ bermaksud ‘Kuih’, sementara ‘Kipeng’ pula merujuk kepada potongan. Sejak dulu lagi, telah menjadi tradisi masyarakat Banjar untuk menyajikan Wadai Kipeng semasa majlis kesyukuran mereka! Satu perkara yang perlu anda ketahui, ia adalah sangat mustahil untuk menyediakan menu yang enak ini tanpa enam ramuan iaitu tepung beras, kelapa muda, gula melaka, gula pasir dan daun pandan!

(5) Bahulu Kemboja

Foto: Manis2012

Bahulu Kemboja boleh dihidangkan pada bila-bila masa, sama ada untuk sarapan mahupun semasa waktu minum petang. Walaupun kuih ini sering dijual di pasaran tetapi untuk mencari keasliannya seperti hasil air tangan orang Selangor amatlah sukar untuk dicari. Untuk mengekalkan keenakan dan keunikannya, bahan terpenting yang diperlukan adalah air pandan asli hasil tapisan daun pandan, tepung gandum, tepung beras, susu kelapa, telur, bijan dan sudah pasti, gula dan garam untuk perasa!

Dengan pelbagai pilihan makanan tradisional di negeri ini, tidak hairanlah Selangor terpilih sebagai pusat gastronomi di Malaysia. Sama ada hidangan istimewa seperti lauk-pauk, ataupun kuih-muih yang enak, resipi tradisional seperti yang disertakan dalam senarai ini tentunya harus anda cuba sediakan!

Sumber: Tourism Selangor

IKLAN
Share