65 Tahun Hidup Bersama, Bibit Cinta Tun Hasmah & Tun Mahathir Mekar Sejak 1947 Di Kolej Perubatan

Kagum dengan pasangan romantis, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyambut ulang tahun perkahwinan pada hari ini. 5 Ogos merupakan tarikh keramat pasangan bahagia ini menoktahkan ikatan cinta dengan sebuah perkahwinan.

65 tahun bukan suatu tempoh yang singkat apatah lagi menempuh kehidupan alam perkahwinan. Sememangnya pasangan ini wajar dijadikan contoh terutama pasangan muda yang baharu mendirikan rumahtangga.

Kisah cinta di antara pasangan yang sudah 65 tahun mendirikan rumah tangga ini memang menyuntik inspirasi siapa saja.

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, lambang seorang wanita dan isteri yang wajar dijadikan contoh terbaik era ini.

Foto: Instagram @tunsitihasmahofficial

Menggalas tugas sebagai isteri kepada lelaki yang pernah bergelar Perdana Menteri bukan suatu tugas yang mudah. Apatah lagi bergelar ibu kepada 7 orang anak serta 18 orang cucu, Tun Hasmah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

Foto: Instagram @chedetofficial

Teruja melihat klip video pasangan ini berkongsi hari bahagia mereka di saluran YouTube Dr Mahathir Mohamad yang berdurasi 4.23 minit itu. Penuh dengan gelak tawa dan usik-mengusik sambil mengimbau detik perkenalan dua insan hebat ini.

Foto: Instagram @tunsitihasmahofficial

Bagaimana Tun Mahathir jumpa Tun Siti Hasmah

“Kami pergi ke Kolej Perubatan pada tahun yang sama, tahun 1947. Jadi saya berjumpa dengan Tun Siti pun, tahun itu lah. Sebab kedua-dua kami jadi ‘freshie‘. ‘Freshie‘ ni selalu diganggu oleh seniors. 

Jadi kita bersama. Pada masa itu barulah saya berjumpa dengan Tun Siti,” cerita Tun Mahathir.
Foto: Instagram @chedetofficial

Bagaimana Tun Siti Hasmah jatuh cinta dengan Tun Mahathir

“Lepas setahun baharu saya dapat kenal lebih lagilah. Lepas setahun dekat kolej sebab saya gagal pada tahun yang pertama. Saya gagal sebab tak tahu Health Science. Tapi dah lepas gagal tu ada orang baik hati nak tolong nak bagi tuisyen dia pula ‘distinction kid‘. Saya terima sahajalah tuisyen percuma,” gurau Tun Siti Hasmah.

Foto: Instagram @chedetofficial

“Pada masa itu cuma ada 7 orang sahaja budak Melayu. Di antara tujuh orang, hanya satu sahaja wanita. Semua berebut-rebut nak tolong angkat buku. Pasal nak berkawan lah. Saya pun berebut jugak lah. Tapi kadang-kadang saya memang bila Tun Siti bertanya terutama pasal pelajaran fizik. Saya mungkin lebih ada peluang daripada lima orang yang lain,” usik Tun Mahathir kepada isterinya.

Seorang isteri memang berfungsi untuk menyokong suami walau dalam apa hal sekali pun, ini yang telah ditunjukkan oleh wanita yang berusia 95 tahun ini saat bercerita tentang suami kesayangan.

“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujarnya tentang karakter suaminya.

Semoga Tun Siti Hasmah dan Tun Mahathir kekal bahagia bersama hingga ke jannah.

IKLAN
Share