7 Petugas Istana Negara Positif Covid-19, Doakan Agong & Permaisuri Kita!

Hari ini, negara digemparkan dengan satu lagi berita jangkitan Covid-19. Selepas 80 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan dijangkiti virus itu dan mencatatkan kes kematian kumulatif Covid-19 iaitu 21 kes, terbaru perkhabaran yang diterima daripada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsudin mengesahkan terdapat tujuh petugas Istana Negara positif Covid-19.

Tambah Datuk Ahmad Fadil Shamsudin lagi, kesemua tujuh petugas Istana Negara berkenaan dilaporkan stabil dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Menurut laporan yang disiarkan Agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pula memaklumkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah menjalani saringan kesihatan dan disahkan negatif.

Seri Paduka berdua kini menjalani kuarantin diri selama 14 hari bermula semalam.

Sementara itu, memetik titah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di IG Air Tangan Tunku Azizah, “Saya memohon kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan ugama, doakanlah saya sekeluarga selamat. Kami self quarantine dalam bilik masing-masing dan tidak bertemu sama sendiri.”

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu proses nyahcemar kuman kini akan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Bomba dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di premis-premis awam dan kawasan berisiko tinggi.

 

IKLAN
Share