7 Tahun Kahwin ‘Hutang’ Honeymoon, DATUK LEE CHONG WEI Bawa Isteri Bercuti Lepas Bersara!

Kalau Datuk Lee Chong Wei tidak mengumumkan berita persaraannya semalam, pasti ramai yang masih tidak tahu lagenda badminton negara ini tidak pernah berpeluang membawa isteri tersayang pergi berbulan madu. Meskipun sudah berkahwin sejak tujuh tahun yang lalu. Hakikat itu disuarakan sendiri Datuk Lee Chong Wei ketika menjawab persoalan wartawan tentang perancangannya selepas bersara.

“Sebab utama bersara adalah kerana saya perlu banyak berehat. Lagi satu, saya ada ‘hutang’ dengan isteri sebab selama berkahwin pada tahun 2012… kami belum sempat honeymoon lagi. Saya ‘hutang’ dia sudah lama, rasanya dekat tujuh tahun.

Bersama isteri, Datin Wong Mew Choo yang juga bekas pemain badminton negara

Dan seperti semua sedia maklum, lepas balik dari tournament

saya selalu terikat dengan bermacam-macam latihan dan tournament lain. Nak bercuti pun tak boleh lama sebab dalam sukan badminton, kami kena sentiasa berlatih dan jadual yang sangat padat.

Sebab itu jugalah saya tak ada masa hendak bawa isteri pergi honeymoon mahupun bercuti. Saya rasa ini adalah masa terbaik untuk saya berehat dan meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Apa-apa pun, saya baru rancang untuk buat semua tu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Memandangkan anak pun dah dua orang… jadi lepas ini saya akan ada banyak masa untuk bawa mereka pergi bercuti,” ujarnya sambil tertawa.

Tambahnya lagi, “Keputusan untuk umumkan persaraan ini bukanlah satu tugas mudah. Anak saya sendiri selalu bertanya kenapa tak bermain badminton lagi setiap kali tengok perlawanan badminton melibatkan pasukan negara di TV. Saya tak mampu nak jelaskan hal tersebut dan berikannya jawapan.

Pagi tadi (semalam) sebaik bangun dari tidur, isteri saya tunjuk sekeping gambar yang ditulis anak saya… ‘Daddy, you’re the best!’. Bila tengok saja gambar itu, saya terus menangis. Lepas bersara, tumpuan dan masa saya akan lebih kepada keluarga, ibu saya, isteri dan anak-anak. Tapi yang paling utama, nak bawa isteri pergi honeymoon

dulu.”

Ketika ulang tahun kelahiran Datin Wong Mew Choo pada 1 Mei lalu, Datuk Lee Chong Wei turut menitipkan pesanan romantis buat suri hatinya itu. “Sejak mula mengenalinya sewaktu zaman remaja lagi, saya sedar… saya dah temui gadis tercantik untuk dijadikan isteri. Dia bukan saja mempunyai wajah yang cantik tetapi juga hatinya.

Ramai beranggapan betapa bertuahnya wanita yang menjadi isteri Lee Chong Wei. Namun hakikatnya, dialah yang menjadikan siapa Chong Wei hari ini. Saya banyak ‘berhutang’ dengannya. Dia sentiasa berada di sisi saya pada saat saya bukan sesiapa dan tidak memiliki apa-apa.

Dia jugalah yang memberi semangat untuk saya bekerja lebih kuat. Dialah yang setia menemani saya ketika sedang terlantar sakit. Dan dia jugalah yang melahirkan dua anak kami, Kingston dan Terence. Alangkah bertuahnya saya.”

Dalam sidang media sempena pengumuman persaraan Datuk Lee Chong Wei yang berlangsung semalam, jaguh badminton negara itu dalam nada sebak memberitahu hasratnya untuk menamatkan karier sebagai atlet badminton setelah 19 tahun berkecimpung dalam arena sukan berkenaan.

Sambil mengesat air mata dan rasa berat hati mengumumkan berita itu… pemain badminton perseorangan negara berusia 36 tahun ini turut berterima kasih kepada jurulatih serta mereka yang sentiasa menyokong karier sukannya selain rakyat Malaysia yang tidak jemu-jemu memberi kata-kata semangat. Beliau juga menegaskan keputusan untuk bersara terpaksa dibuat atas faktor kesihatan.

Datuk Lee Chong Wei yang dilahirkan pada 21 Oktober 1982 di Bagan Serai, Pulau Pinang berkahwin dengan Datin Wong Mew Choo yang juga bekas pemain badminton negara pada tanggal 10 November 2012. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Kingston Lee dan Terence Lee masing-masing berusia 6 tahun and 4 tahun.

IKLAN
Share