8 Bulan ‘Tinggalkan’ Keluarga, LATIF ROMLY Pertahan Pingat Emas Di Paralimpik Tokyo!

Terbang Latif, Terbang! Itu ungkapan yang cukup sinonim dengan atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly. Mula mencipta nama sejak memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016, Latif sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Paralimpik Tokyo 2020 yang menutup tirainya 5 September 2021.

Meskipun mengalami kecederaan ketika melakukan lompatan kelima namun atlet kelahiran Perlis ini tetap mampu ‘menghadiahkan’ pingat emas buat Malaysia. Latif sekaligus menepati ramalan sebagai prospek emas buat negara dalam temasya sukan dunia berkenaan.

Ini merupakan penampilan kedua Latif dalam sukan paralimpik dan ditemu bual selepas kemenangan itu Latif dalam nada teruja berkata, “Saya bersyukur dapat mempertahankan gold medal

dan buktikan yang kemenangan pertama di Paralimpik Rio dulu bukan nasib.

Saya berjaya buktikan yang saya berusaha dapatkan gold medal dan mempertahankannya. Memang terharu tapi sedih juga sebab tak dapat habiskan lompatan dalam pertandingan. Saya target nak pecahkan world record tapi tak kesampaian. Tak mengapalah, saya reda.”

Kejayaan Latif di Paralimpik Tokyo 2020
Kejayaan Latif di Paralimpik Tokyo 2020
Kenangan ketika menang di Paralimpik Rio 2016

Menyifatkan pingat emas itu adalah milik semua atlet yang bertanding, Latif turut mendedahkan dia mula membuat persiapan rapi menghadapi Paralimpik Tokyo 2020 sejak bulan Januari lagi.

“Saya prepare dari bulan satu, kira-kira lapan bulan training non stop. Mind set bila datang Tokyo ialah buat the best. Kemenangan ini adalah pengorbanan buat keluarga saya, lapan bulan saya tak balik kampung.

Ia hasil kerja keras saya berbulan-bulan, kena kuarantin dekat Majlis Sukan Negara (MSN). Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya, coach,

MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).”
Kedua-dua ibu bapa Latif
Ibu bapa Latif
Di samping keluarga tersayang

Kejayaan Latif pada 4 September lepas bukan hanya mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengucapkan tahniah atas pencapaian membanggakan tersebut di pentas dunia.

Seri Paduka berdua bertitah kejayaan Latif menjadi sumber inspirasi kepada rakyat dan atlet Malaysia untuk berusaha mencapai kejayaan sama ada di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.

Bersama atlet para, Siti Radiah ketika sesi fotografi bersama Nona 2017

Sementara itu, ibu Latif iaitu Salmah Yatim turut menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan anak bongsu daripada tujuh beradik berkenaan di persada dunia. Malah dia bercadang memasak makanan kegemaran anaknya itu sebaik pulang ke rumah nanti.

Bagi bapa Latif pula, Romly Mat… dia bernazar untuk membotakkan kepala sebagai mensyukuri nikmat kemenangan yang diraih anaknya.

Abdul Latif Romly mengungguli acara Lompat Jauh T20 (kecacatan pembelajaran) di Paralimpik Tokyo 2020 dengan mencatat lompatan terbaik sejauh 7.45 meter. Dalam temasya sukan berprestij itu, Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas menerusi acara angkat berat dari atlet Bonnie Bunyau Gustin, badminton dari atlet Cheah Leik Hou dan lompat jauh, Abdul Latif Romly.

IKLAN
Share