8 Perkara Utama Yang MESTI Diambil Kira Untuk Menata Gaya Ruang Privasi Apartmen Studio

Permintaan terhadap kediaman masa kini kian meningkat. Tidak hairanlah apabila ramai pemaju yang berlumba-lumba untuk membina rumah mengikut kehendak orang ramai. Salah satu jenis kediaman yang dibina ialah apartmen.

Di Malaysia kita dapat melihat banyak apartmen dibina bak cendawan tumbuh. Salah satu jenis apartmen yang paling sering menjadi pilihan ialah studio. Keluasannya juga terhad dan privasi. Dengan keluasan minimum tidak hairanlah kebanyakan penghuni apartmen studio kreatif dalam tatarias ruang kediaman.

Sesuai dengan namanya studio, apartmen ini hanya terdiri daripada satu ruang sahaja yang digunakan untuk pelbagai aktiviti seperti sebagai ruang makan, menonton dan dapur.

Sebarang kesilapan yang berlaku pastinya akan menjadikan ruangnya kian sempit dan berselerak. Berikut tip dekorasi buat anda yang mendiami apartmen jenis studio.

KONSEP

Tentukan konsep yang sesuai agar apartmen studio anda menjadi lebih menarik dan fungsional. Dengan itu anda dapat memberi tumpuan terhadap penataan interior yang lebih tersusun, kemas dan bersih.

PRIVASI

Anda boleh menjadikan almari sebagai rak buku atas tujuan privasi. Secara tidak langsung, anda dapat menikmati sebuah suasana yang lebih tenang tanpa gangguan dengan adanya almari yang bertindak sebagai pemisah.

RUANG TIDUR

Jika anda tinggal berdua atau lebih, disaran menggunakan sofa bed yang menjadi pilihan tepat bagi memudahkan anda mendekorasi apartmen studio. Di samping itu, sofa jenis ini bukan sekadar boleh digunakan sebagai tempat duduk malah dijadikan tilam untuk tidur.

RUANG MAKAN

Sediakan sebuah meja makan jenis lipat. Anda boleh menyembunyikannya di pantri kabinet ketika tidak digunakan. Jika anda seorang yang kreatif, boleh juga mencipta sendiri meja makan asalkan tidak mengambil terlalu banyak ruang.

PERABOT

Menempatkan perabot berukuran besar lebih baik berbanding perabot berukuran kecil dengan jumlah yang banyak. Ini kerana, ia hanya akan membuatkan ruang kediaman anda terlihat amat terhad dan berselerak sekaligus menyukarkan pergerakan anda untuk ke sana sini.

SUSUNAN

Teknik susunan perabot untuk jenis kediaman ini ialah vertikal. Ia bukan sahaja akan menyenangkan pandangan dan memudahkan pergerakan malah memudahkan anda untuk mengubah suai kedudukan perabot dalam sebuah ruang kediaman berukuran kecil.

KACA

Gunakan kaca sebagai pemisah ruang kediaman. Ia bukan saja digunakan sebagai pembatas tempat antara satu dengan yang lain, ia juga menjaga privasi penghuninya. Maka, pilihlah kaca sebagai pemisah ruang. Kaca bukan hanya boleh digunakan sebagai pemisah malah menjadikan ruang kelihatan lebih luas dan terang.

ALMARI

Sebaiknya gunakan almari serba guna yang bukan saja digunakan sebagai tempat menyimpan pakaian malah boleh digunakan sebagai tempat peralatan memasak di samping aksesori apartmen. Selain itu, almari serba guna ini juga dapat digunakan sebagai pembatas ruang.

 

IKLAN
Share