Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memulakan satu kempen seni bersama sembilan orang artis Malaysia untuk meraikan Beetle yang ikonik. Dikenali sebagai kempen #BeetleInspired, kolaborasi ini melibatkan kreativiti artis-artis tersebut dalam menginterpretasikan Beetle menerusi medium masing-masing.
Pelbagai karya seni telah dihasilkan – bermula daripada grafiti, lukisan, kaligrafi, contengan, ilustrasi, pin dan pelbagai bentuk seni lain yang menyerlahkan bakat seni terbaik tempatan. Sembilan orang artis yang mengambil bahagian dalam kempen #BeetleInspired itu ialah Afiq Afify, Dudude Doodle, Eleanor Lim, Kupeh Rodriguez, Kenji Chai, Pestle & Mortar, Pantun Pins, Shani Ahmed dan Zami Musa.
Artis di seluruh dunia telah menggunakan Beetle sebagai kanvas mereka sejak berdekad-dekad lamanya, dan kita tahu kenapa. Direka oleh Ferdinand Porsche pada tahun 1938, reka bentuk Beetle telah mengalami evolusi. Pada masa sama masih mengekalkan karekter dan reka bentuk tersendiri yang cukup dikenali serta disukai di seluruh dunia.
Menurut Pengarah Urusan VPCM, “VPCM berbesar hati kerana dapat menyediakan platform ini kepada para artis tempatan untuk menunjukkan bakat masing-masing. Melihat semua hasil kerja yang diinspirasikan oleh Beetle ini memang mengagumkan. Kami harap akan dapat terus memberi inspirasi kepada orang ramai menerusi kereta dan reka bentuk kami.”
Ads
VPCM juga menganjurkan peraduan #BeetleInspired secara dalam talian bermula sekarang hingga 4 Disember bagi sesiapa yang berminat untuk menghasilkan hasil karya Beetle mereka sendiri.
Ads
Para peserta hanya perlu memuat turun satu template kosong Beetle, kemudian hasilkan rekaan berdasarkan kepada inspirasi masing-masing melalui tema peraduan iaitu “Love” (cinta) atau “Fun” (keseronokan).
Para pemenang akan diumumkan pada Disember. Mereka bakal memenangi barangan edisi terhad daripada artis-artis kempen #BeetleInspired seperti kemeja Pestle & Mortar serta pin Beetle yang comel daripada Pantun.
Untuk melihat hasil kerja Beetle daripada semua artis yang terlibat, sila layari Facebook dan Instagram Volkswagen Malaysia. Orang ramai yang ingin mengambil bahagian dalam peraduan #BeetleInspired sila layari laman web http://www.instagram.com/volkswagenmalaysia/. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Imej janggut panjang dan populariti Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman yang semakin meningkat naik selepas berkahwin, menjadikan beliau ‘modal’ sindiket yang kini berleluasa di Internet.
Suami kepada selebriti dan aktivis kemanusiaan terkenal, Datin Sri Nur Heliza Helmi itu terpaksa membuat sidang media tergempar bagi menjernihkan keadaan selepas namanya tercalar hebat dan menjadi sasaran orang ramai.
“Ramai guna video dan muka saya untuk menipu.” Dato’ Sri Mahadi
Enggan terus dikaitkan, beliau juga terpanggil untuk mendedahkan nama-nama individu serta syarikat skim pelaburan tidak wujud yang aktif memperdayakan orang ramai sejak kebelakangan ini.
Akibat daripada aktiviti tersebut, pihak Dato’ Sri Mahadi dibanjiri panggilan telefon lebih daripada 100 orang mangsa melibatkan kerugian antara RM500 hingga RM10,000.
Aktiviti penyalahgunaan namanya semakin menjadi-jadi apabila ada pihak yang menggunakan akaun media sosial palsu untuk mengaburi mata.
Selain menggunakan identiti dan gambar Dato’ Sri Mahadi, sindiket terbabit turut memanipulasi video serta petikan kata-kata motivasi beliau sebagai modus operandi.
Jutawan yang juga perunding kewangan serta Presiden AUF MBZ Consortium sebelum ini pernah menerima anugerah The Jewels of Muslim World 2019, Youngest Million Dollar Producer serta banyak lagi.
DISEGANI
Kejayaan lelaki berusia 39 tahun dari Pulau Pinang itu sememangnya cukup disegani, khasnya mereka yang berkecimpung dalam bidang kewangan.
Dato’ Sri Mahadi juga rajin berkongsi ilmu dan dakwah Islamik di platform media sosial. Bahkan selepas berkahwin pada awal tahun ini, pasangan yang mesra disapa Abang Dee dan Kak Ja itu kerap berbahagi pengetahuan serta pengalaman bermanfaat kepada followers.
Walau bagaimanapun, situasi yang melanda Dato’ Sri Mahadi kini bukan saja mencalarkan nama serta menjejaskan reputasi baiknya, malah mengganggu urusan syarikat beliau.
Sebagai langkah melindungi perniagaan, pihak syarikat AUF MBZ Consortium telah membuat beberapa laporan polis kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan difahamkan pihak Suruhanjaya Komunikasi MultiMedia (SKMM) juga turut telah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.
Didoakan semoga semua urusan pasangan ini dipermudahkan. Yang penting, dapatkan maklumat pelaburan yang sah daripada perunding yang bertauliah serta usah terpedaya dengan taktik licik di Internet!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Assalamu’alaikum, pertamanya saya sebagai seorang ibu dan nenek berkongsi juga kesedihan yang menyelubungi ibu bapa mangsa terhadap tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Saya nak kongsikan apa yang telah dikatakan kepada saya 17 tahun lalu, apabila anak saya meninggal dunia, iaitu ‘tahniah dan takziah’.
Takziah kerana kesedihan kita di dunia dan tahniah kerana Allah hanya pilih orang-orang yang boleh menghadapinya saja.
Orang yang anaknya meninggal dunia tapi dia reda, Allah beri ganjaran yang sangat besar. Anak-anak yang meninggal waktu kecil dan belum baligh ini, insyaAllah menunggu kita di Padang Mahsyar.
Saya juga yakin bahawasanya ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz ini, tentu sekali adalah orang yang mempunyai wawasan, mata hati yang terang dan pandangan akhirat yang jauh.
Benar, bukan senang untuk berpisah dengan anak yang kecil. Kita suka mereka dalam dakapan kita, tapi kita rela melepaskan, mengorbankan emosi dan jiwa kita agar mereka menjadi Al-Hafiz yang mengabadikan kalamullah dalam jiwa mereka.
Percayalah setiap jiwa yang suci itu, akhirnya akan dapat natijah yang baik juga.
Tetapi apabila diuji dengan perkara sebegini, saya nak pesan satu formula agar tenang…
Ia bukan apa yang berlaku PADA KITA tetapi apa yang berlaku DALAM JIWA kita.
Peristiwa yang berlaku itu takdir Allah. Respons atau tindakan kita terhadap apa yang berlaku adalah takdir diri kita. Itulah yang menentukan hasil kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Dan bagaimana kita respons atau bertindak bergantung kepada akidah dan sistem nilai kita. Ya, apa yang berlaku di mata fizikal memang semuanya nampak negatif. Mata nafsu kita pun akan mula menyalahkan dan berputus asa.
Tapi mata akal yang berfikir akan menghasilkan zikir, lalu mencelikkan mata hati kita agar melihat HIKMAH peristiwa ini. Lantas menjadikan kita lebih dekat pada Allah dan lebih bertakwa kepada-Nya.
Sebab KPI dan tujuan hidup kita, aset terbesar di dunia ini adalah takwa kita. Yakinlah setiap ketakwaan menghasilkan ketenangan dan setiap kedegilan menghasilkan kepedihan.
Jadi kalau diamalkan formula tadi, peristiwa yang negatif tetapi respons yang sangat positif bersamaan dengan hasil yang tentunya positif. Hasil yang kita mahukan ialah kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.
Jadi bagi ibu bapa dan keluarga, saya nak ucapkan semula apa yang telah diucap kepada saya pada 6 Ogos 2000 oleh sepupu saya, iaitu ‘tahniah dan takziah’.
Henti Kelalaian
Sekarang saya ingin bercakap sebagai seorang ahli masyarakat. Sebagai doktor, apabila kita mengendalikan satu gejala, kita tentunya akan pergi kepada puncanya.
Apa yang kini berlaku pada kanak-kanak yang didapati positif dadah dan kebanyakannya masih di bawah umur, pastilah kita rasa bimbang. Kita rasa risau.
Fikirkan macam mana perkara ini boleh berlaku? Apakah suasana yang kita ada di negara kita sekarang?
Daripada segi role-modellingnya…
Daripada medianya…
Daripada surat khabarnya…
Daripada sekolahnya…
Daripada masyarakatnya…
Daripada media sosialnya…
Apakah kita menyebarkan kasih sayang, penghargaan, menghormati orang atau sebaliknya? Atau kesombongan, keganasan, menunjuk-nunjuk, materialistik dan hedonisme?
Selepas melihat peristiwa pada anak-anak ini berlaku, apakah kita ingin berhibur lagi?
Alangkah baiknya kalau kita tidak perlu ada musibah seperti ini sebelum kita ingat mati… ingat akhirat… ingat takwa… Tolong, hentikanlah kelalaian kita selama ini.
Penerbit rancangan patut buat polisi dan pemimpin di semua peringkat, boleh mengambil iktibar. Kalau boleh saya menyeru pada diri saya dan kita semua, hentikan sifat menyalahkan.
Sepatutnya kita semua harus mengambil tanggungjawab. Setiap perkara negatif yang berlaku, sedikit sebanyak kita mesti bertanggungjawab.
Kita mesti melakukan perkara yang berbeza untuk mendapat situasi yang berbeza.
Kita tidak boleh mengubah kehidupan kita kalau tidak menjadi orang yang berbeza. Kalau kita orang yang sama hari ini, tentu esoknya hasil kehidupan kita juga sama.
Sebab itu apabila berlaku musibah, kalau mengikut ulama bermakna 3 perkara, iaitu
(a) Allah nak balas dosa kita.
(b) Allah nak ampunkan dosa kita.
(c) Allah nak naikkan darjat kita.
Kalau dengar perkongsian Datuk Dr. Sharifuddin Musa (bapa mangsa yang terselamat), lihatlah betapa tenangnya beliau. Dapat kita perhatikan ibu bapa kanak-kanak tahfiz ni, yang pentingnya jiwa tu macam mana.
Apabila berlaku musibah dan seandainya kita marah, menurut ulama itu tandanya Allah membalas dosa kita. Tapi kalau kita sabar, Allah mengampunkan dosa kita. Dan kalau kita tenang, bererti Allah mengangkat darjat kita.
Sama seperti situasi pelajar yang cemerlang. Kita pasti beri ujian yang lebih susah lagi untuk memberi markah yang lebih kepadanya, bukan?
Macam itulah kehidupan kita. PENUH UJIAN.
Semua yang berlaku adalah ujian dan markahnya nanti kita akan dapat di Mahsyar nanti.
Oleh itu, sama-sama kita usaha agar tidak gunakan peristiwa ini untuk menyebarkan fitnah atau viralkan rasa benci, sebaliknya berilah kemaafan.
Kita berdoa agar ibu bapa mangsa dan yang menjadi pemangsa ini supaya bertaubat serta kita semua juga bertaubat.
Peka Dengan Persekitaran
Berkenaan kes anak-anak yang positif dadah dan tidak bersekolah… Di sini saya ingin menyeru pada semua pendidik, bolehkah kita cuba jangan fokus pada pelajar cemerlang saja?
UPSR telah berlalu, semua orang sibuk nak dapat 5A. Bagi pelajar 5A bagus diuar-uarkan, tapi yang gagal dapat 5A, apa kita nak buat?
Perhatikan situasi kanak-kanak tahfiz ini, yang dipilih Allah untuk mati dalam keadaan seperti ini, insyaAllah mereka dijanjikan syurga. Tetapi bagaimana yang menjadi pemangsanya?
Cuba perhatikan hidup kanak-kanak 11 tahun tahfiz dan 11 tahun pemangsa. Mereka lahir dari ibu dalam situasi yang sama, keduanya putih bersih, di hospital mungkin diletakkan sebelah-menyebelah dan mungkin disambut doktor yang sama. Tetapi sepanjang tempoh membesar, persekitaran dan didikan sekeliling, menjadikan mereka berbeza.
Satu sebagai mangsa, satu lagi pemangsa.
Dan bayangkan ibu bapa yang mengandungkan anak-anak ini. Apakah situasi mereka masa mengandung? Apakah mereka menjaga solat mereka? Jaga aurat mereka? Jaga pergaulan mereka?
Apa status ibu mengandung menentukan bagaimana anaknya.
Dan bagaimana persekitaran yang dilalui oleh kanak-kanak ini… kalau negatif, negatiflah jadinya.
Justeru sangat penting bagi kita menentukan fardu ain kanak-kanak kita dijaga. Sebagai ibu bapa atau penjaga, menjadi kewajipan kita untuk memastikan anak-anak dididik dengan akidah yang mantap, ibadah yang sempurna dan akhlak yang lembut.
Bagaimana akidah ini dibina? Saya beri contoh di sekolah. Apakah kita menyebut bagaimana Allah menjadikan daun itu berwarna hijau? Dalam sains kita hanya kata daun hijau ada klorofil.
Sebenarnya kita kena sebut tentang ketuhanan. Asal kejadian daun dari kuasa Maha Pencipta. Kerana itu apabila orang merasa adanya Tuhan, mereka merasa dilihat Allah. Secara automatik akan ada GPS dalaman, akan rasa takut untuk buat salah.
Akidah yang mantap ini akan melahirkan ibadah yang sempurna. Kita tahu Allah SWT tak pernah memungkiri janji-Nya, Allah kata, solat mencegah kemungkaran.
Tapi kalau masih berlaku kemungkaran maknanya apa?
Lihatlah ke dalam solat indeks negara kita, solat indeks sekolah kita, solat indeks pekerja-pekerja kita. Kalau satu organisasi nak mantap, solat mesti cukup dan tepat waktunya.
Akhlak lembut terhasil apabila ibadahnya lengkap. Ibadahnya lembut. Bayangkan kalau masyarakat kita akhlaknya lembut tentu tak ada isu viral yang negatif atau bahasa-bahasa kesat dilemparkan.
Buat golongan artis atau public figure yang mempunyai ramai pengikut di media sosial, bangkitlah semua. Ayuh gunakan pengaruh anda untuk menyeru kepada kebaikan.
Peganglah kata-kata ini, your life is not about you. Bukan untuk tunjuk betapa hebat, betapa cantik, betapa terkenalnya kita… Tapi betapa besarnya manfaat sebab Allah paling sayang orang yang paling bermanfaat.
Dan ingatlah mati. Lihat, kanak-kanak kecil pun mati. Maknanya kita juga boleh mati bila-bila. Seperti maksud hadis:
‘Orang paling bijak adalah orang paling ingat mati.’
Pegangan Hidup
Saya nak sebarkan konsep 5A yang baru, (bukan 5A akademik) iaitu Agama, Akidah, Akhlak, Amanah dan Adil. Amalkanlah.
Dan mulakan hari dengan S.E.N.Y.U.M:
S – Solat
E – Empati
N – Nutrisi yakni jadilah manusia nutrisi, bukan toksik atau racun pada manusia lain
Y – Yakin pada Allah
U – Ubudiyah iaitu segalanya dibuat kerana Allah dengan syariat yang betul
M – Makrifatullah yakni kenal Allah dan baca Al-Quran
Sama-sama kita renungkan perkongsian ini. Semoga ia menjadi refleksi pada diri kita termasuk diri saya, dapat memberi inspirasi dan transformasi diri, insyaAllah.
Sehingga itu, teruslah mendoakan kesabaran dan ketenangan pada keluarga mangsa serta doakan anak-anak ini diberi hidayah. Wassalam. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menziarahi keluarga, mangsa serta jenazah yang terlibat dalam tragedi kemalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli.
Berangkat sama, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim merangkap Canselor UPSI.
Kemalangan yang berlaku pada awal pagi 9 Jun 2025 di Kilometer 53 JRTB itu mengorbankan 15 nyawa, manakala 24 pelajar UPSI dilaporkan cedera. 22 daripadanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Gerik, dan dua lagi masih dirawat di HRPB.
Baginda berdua menzahirkan rasa amat dukacita atas kehilangan nyawa dalam kejadian menyayat hati itu.
Meskipun kematian adalah takdir Allah SWT, baginda berpendirian bahawa manusia bertanggungjawab untuk berusaha mengelak daripada bencana dan musibah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Haji Meor Hezbullah bin Meor Abd Malik sebagai menjunjung titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, baginda berpandangan banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan dan menitahkan semua pihak yang berkaitan wajib menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran, mengenal pasti dan menerima kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan yang tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang.
Dalam pada itu, baginda berdua turut merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terkorban, khususnya ibu bapa yang kehilangan anak-anak tersayang dalam usia yang masih muda.
Baginda mendoakan agar roh para mangsa dikurniakan keampunan dan ditempatkan dalam kalangan para solihin dan solehah, serta memohon agar ahli keluarga diberikan ketabahan dan reda menghadapi ujian berat itu.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Dato’ Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri; YBrs. Dr. Feisul Idzwan bin Mustapha, Pengarah Kesihatan Negeri Perak serta YBhg. Professor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI.
Terdahulu, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut memaklumkan Kerajaan Negeri Perak akan menyalurkan bantuan sebanyak RM1,000 bagi setiap waris pelajar yang terlibat.
“Kerajaan Negeri Perak sedia membantu segala perkara yang diperlukan, malah saya juga sudah minta supaya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyumbangkan khemah untuk membolehkan waris berteduh, selain makanan bungkus disediakan untuk waris dan anggota jabatan forensik.”
Sumber: FB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.