“Abah Tegas, Peka Bab Agama & Suka Bersedekah,” DR SYAFIQA Dedah Peribadi Arwah MR OS

Tahun ini masuk tahun keempat Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os kembali ke rahmatullah. Meskipun Dr Syafiqa Hayra tidak lagi berpeluang untuk memeluk dan mencium bapa tersayang, namun segala kenangan manis bersama arwah masih berbekas hingga ke hari ini dan akan sentiasa segar di ingatan. Apa yang pasti kedatangan bulan April setiap tahun menerbitkan momen sayu di lubuk hati wanita berusia 26 tahun ini kerana pada tanggal 8 April 2016 dia telah kehilangan sosok bapa selama-lamanya. Apatah lagi tarikh 5 April pula merupakan hari lahir lelaki paling disayanginya itu.

Tak mampu menyembunyikan rasa rindu terhadap arwah bapa, Dr Syafiqa menzahirkan perasaan tersebut di laman media sosial miliknya. “Kalau masih hidup Allahyarham abah, hari ni hari jadi abah yang ke-59. I’m a doctor now abah. Epit dah tunaikan janji untuk jadi doktor dekat abah. Tak pernah lupa jasa abah beri kami sekeluarga makan yang cukup, besarkan dengan didikan yang baik, segalanya cukup.

Seorang abah yang cukup baik dan sempurna. Sepanjang hayatnya, tak pernah lokek, malah kuat bersedekah dan suka mempermudahkan urusan semua orang. Moga abah syurgalah tempat abah. Moga abah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah.”

Ketika dihubungi Nona, Dr Syafiqa yang ketika itu sedang bertugas menyambut salam penulis dengan penuh mesra. Keterbukaan anak pelakon komedi ini berkongsi sisi peribadi arwah bapanya sangat dihargai. Dia yang kini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendedahkan, “Jujurnya, saya sangat rindu saat saya balik bercuti dari Mesir setiap tahun dan abah akan bawa saya serta keluarga pulang ke kampung dan pergi memancing ikan. Dulu saya selalu ikut abah memancing ikan lampam berumpankan pisang di Sungai Perak.

Kenangan bersamanya terlalu banyak. Saya juga rindu nak belikan jubah dan souvenirs untuk abah setiap tahun bila saya balik ke Malaysia selama saya belajar di Mesir. Rindu nak makan lemang jagung masakan abah setiap kali tibanya hari raya dan juga rindu nak mendengar nasihat dan cerita abah. Kalau nak tahu, abah ni sangat suka bercerita dan mengimbau kehidupannya masa kecil di kampung. Dia akan bawa saya ke tempat-tempat tersebut.”

Ditanya mengenai peribadi dan perwatakan arwah bapanya yang tidak diketahui ramai, graduan Bachelor of Medicine and Surgery (MBBCh) Mansoura-Manchester, Mansoura University, Egypt ini menjelaskan, “Abah sangat tegas dan mementingkan masa. Walau macam mana susah sekalipun dia akan sentiasa memenuhi permintaan anak-anak. Selain itu, abah juga suka menjamu orang makan dan buat orang gembira. Dia sangat pemurah dan mudah rasa kasihan dekat orang.

Salah satu perangai abah yang buat saya kagum ialah cara abah menghargai ibu bapanya. Walaupun ibu bapa abah iaitu atuk dan nenek saya sudah meninggal, abah tetap sentiasa bersedekah bagi pihak kedua ibu bapanya. Jelas nampak betapa abah sangat menyayangi mereka berdua. Bahkan ketika hayatnya, even in his purse, abah masih letak gambar ibunya.”

Allahu, tersentuh mendengar pendedahan Dr Syafiqa mengenai arwah bapanya! Jelas terserlah betapa besar rasa kasih dan sayang Allahyarham Mr Os terhadap kedua-dua ibu bapa dan sentiasa meletakkan mereka di kedudukan yang tinggi. Selama ini masyarakat mengenali Mr Os sebagai pelawak dan penghibur tetapi di sebalik lawak jenakanya tersimpan sisi penyayang penuh keikhlasan bekas anak seni ini.

Malah arwah tidak pernah malu bekerja sebagai pemandu teksi dan menjalani kehidupan sederhana di samping keluarga dan anak-anak tersayang. Kejayaan yang dikecapi Dr Syafiqa Hayra hari ini adalah bukti yang arwah mampu mendidik anak-anak dengan sempurna.

“Abah, sepanjang dia cari makan untuk family tak pernah sekali pun dia mengeluh walaupun saya tahu dia penat. Dia masih kerja walaupun dalam keadaan sakit tenat. Masih pergi ke sana sini, pergi ceramah dan masih cari nafkah dia untuk family. Last abah pergi ceramah dekat Kuang. Abah dah pakai wheelchair.

Tetap juga dia gagahkan walaupun dalam keadaan tenat.

My mummy cerita, sehari sebelum abah masuk hospital masa dia tenat, masa tu waktu sarapan, abah cakap dia dah teruk (tenat sangat) tapi dia harap sangat dia dapat bertahan sampai saya grad. Lepas tu abah menangis. Abah masuk hospital hari Isnin. Hari Khamis, hari terakhir saya jumpa abah melalui skype video call. Tapi abah dah tak boleh bercakap, dah pakai bantuan oksigen. Hanya cakap through bahasa isyarat. Esoknya hari Jumaat abah meninggal.”

Ujar Dr Syafiqa lagi, walau kerjaya sebagai doktor bukanlah pilihannya namun dia bersyukur dapat memenuhi impian bapa. “Sejak kecil memang abah galakkan saya jadi doktor. I love medicine. If I don’t love medicine, mesti saya tak grad medical school. Pernah jadi pergolakan di Mesir beberapa tahun lepas dan keadaan sangat bahaya. Kebanyakan pelajar Malaysia balik  tapi saya tetap teruskan belajar di Mesir. Abah pernah tanya saya nak balik Malaysia or continue study in Egypt. I still choose to continue study in Egypt. I still grad on time. Saya tak pernah kena extend tahun pun masa study. And sekarang I really love my job. Sometimes patient ucap terima kasih pun saya rasa gembira walaupun saya bekerja sangat letih everyday. 

Saya kena selalu ingat pesan abah dulu, kerja doktor ni ibadah. Setiap kali saya kerja, saya ikhlaskan diri dan selalu ingat pekerjaan doktor adalah satu ibadah. Saya nak sedekahkan pahala saya bekerja untuk parents saya. Without them I’m nothing. I go through everything, dengan doa parents saya. Usaha saya mungkin sikit. Tapi saya percaya selebihnya semua sebenarnya datang daripada doa parents saya. Abah seorang bapa yang tegas terhadap anak-anak, suka memberi nasihat dan sentiasa mengambil berat tentang pelajaran serta agama.”

Mengakui tidak berkesempatan membalas jasa bapa tersayang, Dr Syafiqa bagaimana berkata dia tetap sentiasa mengenang segala kebaikan arwah bapa. “Kalaulah masih berpeluang balas jasa saya takkan bagi abah kerja. Let me do the works and cari duit. Abah dulu pernah cakap dia teringin nak pergi all Arabs country Saya nak bawak abah pergi travel dan saya takkan suruh abah saya kerja. Biar dia berehat dan beribadat saja. Saya yang akan kerja cari duit and let him go travel

dan untuk abah pergi Mekah setiap tahun. Dulu abah nak datang ke Egypt melawat saya study. Tapi tak sempat sebab abah dah sakit tenat masa tu. Dan abah pernah cakap dia nak duduk di kampung Kuala Kangsar semula. Dia nak duduk kawasan kampung sebab tenang daripada kawasan bandar. Saya akan buatkan abah rumah di kawasan kampung. Biar abah berehat dan beribadah saja. Tak perlu bekerja.

Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargai setiap masa yang ada bersama mereka. Your parents knows best. Kalau ada duit walaupun sedikit, berilah kepada mereka agar ada keberkatan dalam kehidupan. Sentiasa dahulukan ibu bapa anda lebih daripada orang lain.”

Sementara itu, berkongsi keadaan semasa negara yang sedang mengalami pandemik Covid-19, selaku doktor yang mungkin khidmatnya akan diperlukan untuk membantu menangani virus ini kelak Dr Syafiqa berkata, “Buat masa ini saya masih belum diberi arahan untuk merawat pesakit Covid-19. Namun bila tengok situasi yang melanda sekarang saya rasa sedih. All frontliners yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam, ada yang perlu meninggalkan keluarga di rumah.

Tetapi kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak mematuhi arahan PKP. We have to be very concern pasal virus ni sebab it’s a new virus, hopefully akan ada vaccine or definitive treatment soon enough and hopefully situasi seluruh dunia especially negara kita akan cepat pulih.”

Semoga Dr Syafiqa dapat memanfaatkan segala kemahiran perubatan yang dimilikinya untuk kesejahteraan masyarakat pada masa akan datang. Selain menjadi kebanggaan dan inspirasi buat seluruh wanita Malaysia.

 

IKLAN
Share