Alahai, tengok gambar zaman kanak-kanaknya sahaja sudah jelas terserlah kecantikan asli milik Marian Rivera Gracia Dantes! Dikurniakan hidung yang mancung, sepasang mata cantik, bibir mungil dan kening cantik terukir sejak kecil, pesona aktres popular Filipina ini nyata memukau. Tanggal 12 Ogos tahun ini, genap 37 tahun musia Marian Rivera!
Raut wajah sempurna dan susuk tubuh langsing Marian mampu membuatkan peminat memandangnya berkali-kali. Tidak hairanlah ibu muda tersebut dinobatkan sebagai selebriti wanita paling seksi di Filipina lebih daripada tiga kali.
Nama Marian mula bersinar di negara kelahirannya selepas kejayaan drama Marimar diikuti Dyesebel, Amaya dan Temptation of Wife. Selain berbakat dalam lakonan, selebriti berdarah keturunan Sepanyol ini juga rupa-rupanya memiliki bakat menyanyi. Sebelum ini Marian sudah menghasilkan dua album iaitu Marian Rivera Dance Hits dan Retro Crazy.
Lahir pada 12 Ogos 1984 di Madrid, Sepanyol… anak kepada Francisco Javier Gracia Alonso dan Amalia Revera ini mempunyai pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari De La Salle University Dasmarinas. Bapanya, Francisco ialah warganegara Sepanyol manakala ibunya pula Amalia ialah rakyat Filipina.
Disebabkan perkahwinan campur tersebut, Marian mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Tagalog.
Ads
Marian di samping bapanya ketika kecil
Beberapa tahun mencipta nama dalam industri seni Filipina, jelitawan ini akhirnya memutuskan untuk berkahwin dengan aktor kacak Filipina, Dingdong Dantes pada 30 Disember 2014. Berdasarkan populariti mereka berdua dan kejayaan masing-masing, perkahwinan mereka turut mendapat julukan The Royal Wedding di Filipina pada tahun berkenaan.
Hampir setahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan romantis ini dikurniakan anak perempuan comel iaitu Maria Letizia pada 23 November 2015. Empat tahun kemudian, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki yang dinamakan Jose Sixto G. Dantes IV pada tanggal 16 April 2019.
Ads
Meskipun sudah bergelar ibu dua anak, Marian masih kekal menawan dan ramping. Apa sahaja fesyen yang digayakan selebriti kesayangan Filipina ini pasti disambut baik peminat setianya.
Berbekalkan bakat, wajah yang cantik dan personaliti menarik dimiliki Marian, aktres yang memiliki ketinggian 158 cm ini turut menjadi buruan syarikat pengiklanan yang mahu melantiknya sebagai duta atau penghias kempen pelbagai jenama mewah. Difahamkan sehingga tahun lepas, nilai kekayaan Marian dianggarkan mencecah USD 6 juta!
Selain aktif dengan aktiviti seni, Marian juga sebenarnya pengasas perniagaan bunga-bungaan segar Flora Vida by Marian. Ujarnya, bukan mudah untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga namun kerana tanggungjawab terhadap peminat dan anak anak serta suami dia tetap akan memastikan semuanya berjalan lancar.
Ads
“Pada mulanya memang agak sukar menguruskan keluarga dan kerjaya dalam satu-satu masa. Tapi apabila anda sudah dapat membezakan masa satu yang menjadi keutamaan, ia akan menjadi mudah.
Di samping menjaga keluarga, dalam masa sama saya juga akan memantau perniagaan yang diusahakan kerana kedua-duanya adalah penting bagi saya. Walau ada ketikanya susah, tapi saya mampu uruskan keluarga dan perniagaan dengan baik.”
Bagi merancakkan lagi perniagaan tersebut, pada 10 Jun lepas Marian telah melancarkan edisi terbaharu Flora Vida by Marian yang berkonsepkan dried bloom collection. Menariknya, dalam masa hanya 5 hari selepas ia dilancarkan, koleksi ini habis dijual! Selain perniagaan bunga segar, Marian juga mengeluarkan koleksi fabrik dan dekorasi kediaman rumah serta bakal melancarkan jenama pakaian miliknya sendiri.
Sememangnya aura Marian cukup berbisa. Apa sahaja yang dijual mahupun dipromosikan pasti laris di pasaran. Patutlah ramai pengusaha dan syarikat berskala besar berebut-rebut menjadikan jelitawan Filipina ini sebagai duta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau tengok stamina Shakira ketika membuat persembahan Super Bowl 2020 di samping Jennifer Lopez mesti ramai yang beranggapan usia penyanyi Latin ini dalam lingkungan 20an. Hakikatnya, Shakira telah genap berusia 43 tahun pada malam persembahan Super Bowl tersebut yang merupakan ulang tahun kelahirannya ke-43 pada tanggal 2 Februari lepas.
Yang pasti bukan stamina Shakira sahaja yang mencuri tumpuan dunia bahkan kemampuan JLo menyanyi dan ligat menari di atas pentas turut mendapat pujian ramai memandangkan selebriti Hollywood berkenaan meniti usia 51 tahun pada tahun ini. Hebat!
Selain bergelar penyanyi, pemilik nama Shakira Isabel Mebarak Ripoll ini mempunyai bakat seni luar biasa kerana dia juga penulis lirik, penerbit, penari profesional dan pelakon. Disebabkan bakat tersebut Shakira menerima lamaran sebagai penyanyi daripada syarikat rakaman Sony Music Colombia ketika baru berusia 13 tahun!
Meskipun telah lama bertapak di dalam industri namun nama Shakira mula melonjak dan dikenali ramai selepas kemunculannya di FIFA World Cup South Africa pada tahun 2010 ketika mendendangkan lagu tema Waka Waka. Kerana sambutan dan aura luar biasa daripada peminat terhadap kemunculan Shakira, dia sekali lagi dipilih mendendangkan lagu tema FIFA World Cup di Brazil pada tahun 2014.
Mengintai rejim kecantikan jelitawan ini, rupa-rupanya Shakira seorang wanita yang ringkas dan tidak obses kepada solekan. Menurut laman web Allure, Shakira menjaga kecantikan kulit muka dengan memakai sunblock setiap hari. Malah, dia lebih selesa mengenakan solekan nipis sekiranya membuat persembahan.
“Saya akan cuba mengenakan solekan natural sebaik mungkin. Foundation pun hanya pakai di bahagian tertentu dan sedikit maskara. Ada masanya pula saya cuma melentikkan bulu mata sahaja tanpa memakai maskara langsung. Saya juga rasa lebih seksi setiap kali saya gembira dan ketawa. Pada saya, tiada mekap yang lebih menarik daripada senyuman yang hebat.”
Ujarnya lagi, “Saya memilih untuk tampil sederhana dan ringkas. Kebiasaannya saya memilih warna natural untuk gincu bibir dan pembayang mata. Bagaimanapun, lagi nipis mekap yang saya pakai, lagi menarik rupa saya. Kadang-kadang saya rasa apa yang saya pakai hari ini lebih sempurna daripada apa yang saya pakai lebih 10 tahun lalu.”
Berbeza daripada selebriti lain yang selesa menggunakan khidmat jurusolek terkenal untuk merias wajah mereka, Shakira pula memilih untuk menyolek mukanya sendiri. Pengakuan itu didedahkan Shakira menerusi InStyle.
“Saya seorang yang suka senyum dan selalu ditegur jurugambar untuk berhenti berbuat demikian dan tampil dengan reaksi wajah serius atau seksi. Apa-apa pun, saya
percaya dengan penggunaan sunblock kerana ia dapat menghalang kulit muka saya daripada sinar matahari.
Selain itu, saya juga menggunakan serum sebelum mengenakan solekan kerana ia menyerikan lagi kulit saya nampak lembap sentiasa.”
Shakira mula menjalin cinta bersama kekasihnya yang juga bintang bola sepak Sepanyol dan Barcelona Pique pada tahun 2011. Hasil perhubungan tersebut mereka berdua mempunyai dua anak iaitu Milan Pique yang kini berusia 6 tahun dan Sasha Pique, 4 tahun. Walau usia Pique 10 tahun lebih muda daripada Shakira namun kedua-duanya dilihat cukup romantis dan serasi bersama. Mungkin kerana Shakira dan Pique berkongsi tarikh lahir yang sama.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hanya kerana hendak selalu nampak cantik, Jessica Simpson sanggup berbelanja besar! Dunia kecantikan sememangnya cukup sinonim dengan kehidupan wanita. Lebih-lebih lagi bila sudah bergelar public figure. Dari hujung rambut ke hujung kaki semuanya mahu kelihatan sempurna. Obses kepada kecantikan, selebriti Hollywood ini dilaporkan berbelanja sebanyak USD1 juta setahun semata-mata untuk membiayai rawatan kecantikan diri.
Memetik laporan TVNZ, aktres berusia 34 tahun yang juga ibu tiga anak tersebut tidak kisah berbelanja besar setiap tahun demi memastikan dia dapat sentiasa tampil cantik dan menawan. Antara rejim kecantikan Jessica termasuk rawatan menggelapkan kulit setiap minggu dan rawatan laser bagi menghilangkan selulit yang dilakukannya setiap bulan.
Menurut salah seorang sumber, “Dia menghabiskan wang yang banyak untuk mengekalkan kecantikan diri khususnya dari segi kulit, wajah, kaki dan rambut. Setiap minggu dia akan melakukan rawatan tanning dan tertarik dengan eyelash extensions hingga sanggup membayar 500 dolar per sesi kepada perunding kecantikan yang datang ke rumahnya dua kali seminggu bagi memastikan ia dalam keadaan baik.”
Isteri kepada Eric Johnson ini juga khabarnya menjalani rawatan laser membuang selulit yang dianggarkan berjumlah 2,000 dolar setiap bulan selain membuat rawatan menganjalkan bahagian peha dan punggung. Daripada USD1 juta yang dibelanjakan… 230,000 dolar pula digunakan untuk on-call hairstyling sementara 50, 000 dolar lagi bagi mencantikkan buah dada.
Wow, terkejut dengan ‘pelaburan’ besar Jessica untuk kecantikan! Saat selebriti Hollywood lain mengakui hanya mengamalkan minum air putih dan makanan sihat untuk kekal cantik… Jessica tampil berbeza dengan mendedahkan rejim kecantikan luar biasanya. Meskipun amalan kecantikan pemilik label kasut dan rangkaian busana Jessica Simpson ini kurang disenangi, tapi kalau memang dah banyak duit apa salahnya.
Mungkin bagi Jessica, ini merupakan salah satu cara dia menghargai tubuh yang dimiliki dan berasa puas dengan apa yang diinginkan. Lagipun Jessica bukan calang-calang wanita kerana selain bergelar pelakon dia juga terkenal sebagai penyanyi berbakat besar, usahawan berjaya dan isteri serta ibu yang perlu sentiasa kelihatan cantik. Bukan sahaja ketika berada di khalayak tetapi juga di depan suami dan anak-anak.
Sumber: TVNZ
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jika dahulu nama-nama besar seperti Aishwarya Rai, Kajol dan Kareena Kapoor mewarnai industri filem Bollywood, kini muncul pelapis baharu yang memiliki pakej lengkap bergelar bintang di India. Salah seorang personaliti wanita yang kian mencuri perhatian ketika ini ialah anak kepada lagenda Saif Ali Khan iaitu Sara Ali Khan.
Meniti usia 26 tahun, Sara dikagumi bukan hanya kerana mewarisi wajah cantik ibu dan bapanya malah berpewatakan menarik dan merendah diri.
Menerusi perkahwinan terdahulu Saif Ali Khan bersama Amrita Singh, aktor berbakat besar berkenaan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan yang kini berusia 21 tahun.
Sara di samping ibu & adik lelaki
Sara dilahirkan di Mumbai, India pada 12 Ogos 1995 dan berketurunan bangsawan Pataudi. Sejak kecil hingga kini, dia dijaga dan dibesarkan oleh ibunya yang merupakan ibu tunggal.
Walau berasal dari keluarga berada namun jelitawan ini selesa berdikari dan amat mementingkan pelajaran. Pada Mei 2016 Sara berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah dalam bidang Sejarah dan Sains Politik di Columbia University.
Memetik laporan NDTV.com, pada awalnya Sara berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan namun setelah menyedari kemampuan diri dia memilih untuk mempelajari undang-undang selain meneruskan pengajian dalam Sejarah dan Sains Politik. Pada tahun akhir pengajian, Sara turut mengambil kelas lakonan.
Bersandarkan kecantikan dan kecemerlangan akademik, Sara menjadi salah seorang bintang baharu kesayangan peminat di India ketika ini dan meraih populariti kerana keperibadian yang ada dalam dirinya.
Malah wanita yang mempunyai ketinggian 163 centimeter ini juga sering membuatkan penonton tertawan dengan rupa paras yang dimiliki dan menjadi inspirasi wanita kerana kejayaannya menurunkan berat badan.
Tidak malu berkongsi bentuk fizikal yang dialami suatu ketika dahulu, Sara mengaku pernah berdepan masalah berat badan sehingga mencecah 96 kilogram. Lebih memeritnya, dia turut mengalami Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) dan gangguan hormon yang menyukarkan Sara untuk menurunkan berat badan.
Meskipun bertubuh gempal waktu itu namun dia tetap positif dan ceria di samping keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling.
Sara juga mendedahkan semasa akhir tahun kedua pengajian di Columbia University, dia bercita-cita mahu bergelar pelakon dan menyedari perlu melakukan sesuatu terhadap masalah berat badan yang dialami untuk menggapai impian tersebut.
Berkat usaha keras dan dedikasi untuk tampil lebih sihat, Sara berjaya menurunkan berat badan sehingga 30 kilogram hasil pemakanan sihat dan aktiviti senaman kardio ketika berada pada tahun akhir di universiti.
Sumber: ndtv.com, times of india
Kredit foto: Instagram Sara Ali Khan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.