Agong Berkenan Kurnia Biasiswa Kepada 11 Penuntut Institut Pengajian Tinggi

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2023 kepada 11 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) di Istana Negara.

Enam penerima biasiswa ialah bagi pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD), manakala lima di peringkat sarjana (penyelidikan).

Lima penerima akan melanjutkan pengajian di luar negara, manakala enam lagi telah dan akan melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan dalam negara tahun ini.

BYDPA merupakan biasiswa berprestij negara yang diperkenalkan pada 2006 dan sehingga kini 18 sesi penawaran dilaksanakan merangkumi 198 penerima yang diberi penajaan untuk pengajian dalam bidang Ekonomi, Undang-undang, Sains dan Teknologi serta Kewangan Islam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jamalulail Abu Bakar.

Salah seorang penuntut yang terpilih, Thenesh dari Muar, Johor ketika ditemui Bernama berkata beliau menjunjung kasih atas penganugerahan biasiswa terulung itu dan menjadikan ia satu motivasi untuk kembali menyumbang kepada negara selepas tamat pengajian.

Sumber: Bernama

IKLAN
Share