Ahlan Wa Sahlan Ya SYAWAL, Rai Lebaran Kali Ini Dengan Keinsafan!

Syawal bakal hadir memberi energi baru. Menikmati detik kemenangan setelah sebulan berpuasa. Adakah anda berhak untuk menikmati perjuangan tersebut? Atau tercicir di pertengahan… Dan kala berbicara tentang perjuangan, tidak di lupa untuk kita menghayati makna kemerdekaan sebenarnya.

Sejak negara merdeka, belum pernah sekali pun hari raya di negara ini disambut dalam suasana muram. Suasana beginilah yang perlu dipertahankan. Seperti tradisi, pada setiap hari raya, umat Islam yang berhijrah pulang ke kampung menemui saudara mara. Tradisi kunjung-mengunjungi tanpa mengira bangsa dalam konsep rumah terbuka, menjadi sebuah acara wajib setiap tahun. Ini adalah manifestasi daripada kemakmuran hidup di negara Malaysia. Alhamdulillah…

Ungkapan maaf zahir batin dilafazkan bagi memperakukan tekad setiap manusia perlu bebas daripada dosa. Sedangkan Nabi ampunkan umatnya, siapalah manusia biasa dibandingkan dengan Rasulullah. Ini seharusnya membuka seluas-luasnya pintu kesedaran untuk menerima dan memaafkan sesiapa saja tanpa sekatan darjat, fahaman politik dan status sosioekonomi. Aidilfitri adalah detik terbaik muhasabah diri dan melunturkan keegoan untuk memaafkan orang lain. Persengketaan tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Perdamaian akan memperkukuhkan lagi kesefahaman dan perhubungan, apatah lagi ketika umat Islam diasak pelbagai ujian.

Pasti setiap rumah terhidang ketupat, rendang, serunding, sambal kacang, kuah lodeh dan lontong. Kuih-muih dan kek, usah di cerita… tersusun menarik di atas meja. Paling meriah musim ini, kuih tunjuk (tempah aje) ada kalanya sampai berlebih-lebihan. Paling seronok ada kuih pelbagai corak dan warna tetapi rasanya semua sama. Apa-pun, kita harus bersyukur dengan pemberian rezeki yang diberi, dapat menjamu selera dalam suasana tenang aman damai.

Sekalian manusia tanpa mengira status VIP atau orang biasa, semuanya sibuk berbaju baru. Andai bukan yang baru sekali pun, pilihan pakaian ulang tayang pastinya yang dipilih lebih cantik dan istimewa dari hari-hari biasa. Ada juga baju raya yang tidak sempat siap, melenting dan menjerit dibuatnya. Hilang segala pahala puasa. Tukang jahit pun janganlah terlalu ghairah menerima tempahan kiranya tidak cukup tangan! Marah, marah juga tetapi tibanya Syawal marilah kita bermaaf-maafan.

Suasana beginilah yang seharusnya kita harus bersyukur dilahirkan sebagai anak merdeka. Kemesraan, keakraban dan semangat perkongsian ini dipaparkan tanpa prejudis atau kepura-puraan. Suasana sebegini meriah dan harmonis, juga disebabkan wujudnya kemakmuran negara. Kebebasan dan keselamatan yang dinikmati turut mendorong rakyat lebih fokus membina kerjaya dan kehidupan.

Akhir kata, bukalah jendela mata hati anda. Menghirup segala yang positif dan sentiasa tunduk bersyukur kepada sebuah kehidupan sempurna. Amin

IKLAN
Share