Ahli Gusti Hijab Pertama Di Dunia Ini Bukti Wanita Bukan Hanya Pemanis Mata

Siapa sangka gadis manis yang baru menginjak ke usia 19 tahun ini begitu ‘garang’ beraksi di gelanggang gusti. Melihat tubuhnya yang kecil langsung tidak terlintas di hati gadis yang mempunyai nama Syaradeeba ini memegang gelaran Ahli Gusti Hijab Pertama Di Dunia.

Menceritakan bagaimana hati anak ke-4 daripada 5 beradik ini boleh ‘jatuh cinta’ dengan dunia gusti ini, “Saya bermula dengan minat sebab selalu bermain PS2 dengan adik lelaki dan tengok gusti WWE masa umur 14 tahun.

Ketika tingkatan 4 saya mencari sendiri tentang gusti. Akhirnya saya dapat berhubung dengan MYPW dan Coach Ayez. Saya telah diberi tunjuk ajar dan mendapat latihan di bawah kendalian Coach Ayez Shaukat Fonseka (Co Founder MyPW).

Kemudian saya telah diberi peluang beraksi di bawah nama My Pro Wrestling (MyPW Developmental Centre) iaitu satu-satunya tempat training ahli ahli gusti tempatan di Malaysia.

Gelanggang ini telah dibuka dan ditanggung sepenuhnya oleh Datin Maria Abdullah termasuk menyediakan lokasi untuk para ahli gusti profesional membuat persembahan. Selain beraksi di sini saya juga telah dihantar beraksi di luar negara,” bicara gadis yang diberi gelaran Nor ‘Phoenix’ Diana ini.

Ketika ditanya mengapa memilih sukan ini, jawabnya, “Professional wrestling bukan sahaja fokus pada sukan hiburan, tetapi ianya juga fokus pada meningkatkan keupayaan atletik, kekuatan fizikal dan mental, serta pembentukan peribadi diri, karisma dan keyakinan diri. Di samping itu, ianya juga merupakan seni mempertahankan diri yang praktikal.

Dalam industri gusti professional serata dunia, kebiasaannya wanita hanya dilihat sebagai pemanis mata dan tidak diambil serius kehebatan dan bakat mereka. Saya berjaya membuktikan bahawa wanita sepatutnya dilihat atas bakat mereka dan diambil lebih serius.

Namun begitu, di Malaysia pro wrestling, tiada sebarang deskriminasi terhadap bakat-bakat baik lelaki mahupun wanita,” jelas Nor ‘Phoenix’ Diana yang pernah memenangi kejuaraan MyPW Wrestlecon Champion, mewakili Malaysia Pro Wrestling di luar negara.

 

Nasihat Nor ‘Phoenix’ Diana kepada remaja yang suka melakukan aktiviti tidak bermoral, “Cari minat yang mendalam, seperti sukan atau hobi yang berfaedah. Kemudian fokus betu-betul dengan bidang yang diceburi.

Jangan buat sambil lewa, dan set kan target yang tinggi serta cuba buat yang terbaik untuk capai target itu,” kata Nor ‘Phoenix’ Diana penuh semangat.

Foto: Instagram @nordianapw

IKLAN
Share