“Akan Diangkat JARI JEMARI Kamu Ke Atas Langit. Kenapa? Sebabnya Suka Komen Yang Bukan-Bukan” SHARIFAH KHASIF

Sebentar tadi personaliti agama tersohor, Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman telah berkongsi tentang makna dan hikmah Tabayyun @ Teliti Dulu Bimbang Jatuh Fitnah! di IGTV dan Facebook bagi slot Me Time Tanya Ustazah NONA.

Video yang berdurasi hampir 10 minit ini memaparkan tazkirah yang disampaikan secara santai oleh Ustazah Sharifah Khasif. Bersiaran tepat pukul 10 pagi, Episod 1 ini membincangkan tentang senario serta gaya hidup hari ini yang didominasi oleh sosial media. Banyak pengaruhnya dari sudut positif mahupun negatif.

Berikut dikongsikan intipati daripada tazkirah beliau sebentar tadi.

“Hari ini ustazah ingin membincangkan tentang satu perkara yang sangat penting dewasa ini. Mutakhir ini dalam era globalisasi kita semua hidup di dalam keadaan serba cangih, serba moden. Kita ada media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Telegram dan Twitter yang bila mana kita post satu dunia tahu.

Perkara ini hanyalah di hujung jari kita sahaja. Ditambah pula dalam era globalisasi dan serba moden ini hanya dengan sekali klik sahaja akan tersebar luaslah segala berita, baik berita yang baik mahupun berita yang tidak baik.

Sebab itulah apa sahaja berita yang diperolehi kita perlulah bertabayyun. Apa itu tabayyun? Hari ini satu kupasan topik yang menarik dan perlu kita sebarkan ilmu. Allah Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidiklah dulu untuk menentukan kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum itu dengan perkara yang tidak diingini. Dengan sebab kejahilanmu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al Hujarat: 6)

Sebab itu kitalah perlu bertabayyun. Tabayun bermaksud menyemak dengan lebih teliti lagi. Maknanya daripada orang yang fasik itu bila sampai sesuatu berita kepada kamu sebenarnya berita ini sudah tentulah ianya berita yang kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya.

Kita perlu bertabayyun serta meneliti kesahihan sesuatu cerita atau berita. Dalam era globalisasi ini ustazah ingin mengingatkan jangan sesuka hati hendak forward, komen yang bukan-bukan. Kadang-kadang ustazah baca komen pun ustazah takut.

Sentiasalah menjaga tatasusila bukan sekadar di dalam rumah, bersama ahli keluarga atau orang-orang yang kita kenal tetapi di khalayak orang ramai juga iaitu di social media

kerana semua orang boleh baca walaupun kita menipu nama atau menggunakan akaun palsu.

Ingatlah, amalan-amalan kita walaupun sebesar zarah Allah SWT akan nilai. Zarah ini sangat kecil. Maka, jangan ingat kalau kita pakai akaun palsu kita boleh buat sesuka hati. Sebenarnya apa yang kita lakukan itu telah direkodkan di dalam satu ‘chip’ yang memang ada di dalam tubuh badan kita.

Chip itulah yang akan menjawab semua amalan kita. Kadang-kadang kita ini suka sangat hendak teropong hidup orang, kenapa suka hendak teropong masalah orang? Ustazah sebenarnya suka menggunakan perkataan teropong. Sebenarnya hal kita pun tak habis tetapi kita sibuk cari hal orang. Sibuk mencari masalah dan kekurangan orang. Kenapa?

Sedangkan orang yang berakhlak dengan Al Quran yang mana Al Quran mengajar kita untuk melihat kebaikan sahaja. Allah tak ajar kita untuk melihat keburukan orang, Allah tak ajar kita untuk melihat kelemahan-kelemahan orang.

Maka, hentikanlah fitnah! Tambah lagi satu mengumpat. Sudahlah fitnah bercerita pula dengan kawan-kawan yang lain. Mengumpat pula dalam media social. Tambah pula pengikut-pengikut Like berpuluh-puluh ribu. Media sosial ini ada kebaikan dan keburukannya.

Gunakan platform ini ke arah kebaikan kerana semua perbuatan kita akan disoal di akhirat kelak. Oleh itu ustazah nak nasihatkan kita selidik dulu. Lebih-lebih lagi dengan berita-berita yang tidak betul supaya ia dapat mengelakkan kita daripada menyesal di kemudian hari.

Nasi kalau sudah menjadi bubur sudah tiada gunanya. Sebab ia dah beri kesan pada seluruh masyarakat. Sebab itu bahayanya fitnah ini. Jadi, sebelum kita hendak forward, taip dan komen benda-benda yang kita sendiri tak tahu kesahihannya hentikan dan janganlah kita memanjangkan fitnah-fitnah yang boleh memecah belahkan masyarakat.

Akhlak Al Quran adalah yang membina kasih sayang, membentuk mawaddah, warahmah, membentuk hubungan sesama Islam, kemasyarakatan yang harmoni, yang bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.

Berlumba-lumbalah dalam mencari akhirat, berlumba lumbalah dalam mencari kebaikan. Nasihat ustazah hentikan semua perbuatan fitnah, hentikan komen perkara-perkara yang tak perlu. Ada dalam Al Quran, akan diangkat jari jemari kamu ke atas langit. Kenapa jari jemari? Sebabnya suka sangat hendak komen yang bukan-bukan.

Kalau perkara itu tidak betul maka dosa kering saja yang kita dapat. Begitu juga dengan orang yang gemar mengumpat. Dosa orang mengumpat ini ibarat memakan bangkai atau makan sesama insan. Sanggupkah kita makan benda-benda yang tidak elok? Tentunya ini adalah untuk ahli neraka sahaja yang berbuat demikian.

Justeru, eloklah kita berlumba-lumba untuk mencari reda Allah SWT, berlumba-lumba mencari kebaikan. Wallahu’alam.

IKLAN
Share