Akrab & Saling Melengkapkan, Tunku Kaiyisah Bongkar Rahsia Ikatan Kekeluargaan Kerabat Diraja Pahang

Berbicara tentang keluarga dengan cucunda DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bernama YM Tunku Dato’ Indera Syazwan Kaiyisah ini, Nona berkesempatan mengetahui beberapa amalan yang menjadi kunci kebahagiaan mereka.

Kalau mengikuti media sosialnya, paling seronok kalau melihat keakraban keluarga diraja Pahang ini bila mereka berjumpa. Ikatan persaudaraan terlihat begitu erat termasuklah diri Tunku Kaiyisah sendiri yang merupakan anakanda sulung YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Hajah Tengku Aishah Binti Sultan Ahmad Shah.

Sambil tertawa kecil, Tunku Kaiyisah berkata, “Kami sekeluarga memang sangat rapat sejak kecil lagi. Saling menyokong dan tolong-menolong.

Pantang jika ada keraian, semua orang mesti datang. Itu amalan wajib kami walau sesibuk apa pun, mesti datang. Setiap bulan ada majlis hari jadi atau anniversary

dan sekarang ni tiap-tiap tahun ada majlis perkahwinan sepupu-sepupu yang lebih muda,” cerita Tunku Kaiyisah yang menganggarkan jumlah ahli keluarganya mencapai 60 orang.

Tambahnya, kini beliau mempunyai 8 orang ibu dan bapa saudara yang sudah berkahwin (kecuali seorang), kira-kira 32 orang sepupu dan 5 orang cicit. Jumlah keluarga ini semakin lama semakin bertambah besar dan meriah dari tahun ke tahun.

Dunia kecantikan dan wanita ini memang sukar dipisahkan. Kerana minat berniaga dan obsesinya terhadap bidang kecantikan, Tunku Kaiyisah dan sepupu, Natasha Ozeir menubuhkan PrettySuci.com, sebuah laman membeli-belah atas talian yang menjadi hab produk kecantikan dan penjagaan diri halal pertama di dunia.

“Alhamdulilah, kami berada di landasan yang betul sepanjang tahun 2017 ini dan insyaAllah bakal menambah lebih banyak pilihan produk menjelang tahun depan. Buat masa sekarang, PrettySuci menawarkan 32 jenama dengan 250 jenis produk berbeza.

Kemudahan teknologi banyak memudahkan kerja saya. Walaupun berada di rumah, tapi saya masih boleh mengakses, membuat kajian dan menguruskan PrettySuci dengan baik. Secara tak langsung dapatlah beri tumpuan untuk keluarga,” jelasnya.

Beralih kisah tentang kehidupan peribadi, Tunku Kaiyisah yang merupakan isteri kepada Wan Putera Shahril dan ibu kepada YM Tun Putera Shakeel Abdullah Shah, 2, serta YM Tun Putera Khyrie Ahmad Shah, 9 bulan, ini sebenarnya seorang family person. Meskipun sibuk dengan bisnes yang sedang berkembang, tapi beliau bijak menetapkan had bagi mengimbangi peranan sebagai ibu dan isteri di rumah.

“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Tidak sempurna, tapi complete. Ada keluarga yang memahami dan kerjaya yang saya sukai. Cuma mungkin ada beberapa misi lagi yang mahu dibuat seperti menjadi lebih fit dan dari sisi spiritual, menambahbaikkan ibadah saya.

Di rumah walaupun ada dua pembantu, tapi kami tetap luangkan banyak masa untuk anak-anak. Bonda saya pun rapat dengan cucu dan beliau selalu pesan supaya berikan didikan terbaik buat anak-anak kami.

Dari segi penjagaan kecantikan, saya amalkan produk-produk di PrettySuci seperti Argania Wonder Oil untuk memelihara kelembapan kulit dan rambut, Naveen Hydrating Mask untuk menyegarkan wajah serta sebagainya kerana saya harus uji semua produk yang dijual.

Dulu saya selalu tengok bonda amalkan macam-macam suplemen, tapi saya pula lebih gemar makan makanan seimbang dan buat cold pressed juice untuk kesihatan. Minum air mesti banyak untuk atasi water retention dan cegah selulit,” akhiri Tunku Kaiyisah sambil menunjukkan botol air yang selalu dibawa. Norzalina Mohd Alias

Sumber: Instagram @kaiyisah

IKLAN
Share