Aktif Sertai Program Amal, MIZZ NINA Dilantik Ikon Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah!

Sejak berhijrah, kelibat Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman sudah jarang menghiasi mana-mana acara hiburan. Sibuk menguruskan perniagaan muslimah selain mengendalikan Deen of Peace Studios (DOPS TV) miliknya yang mengetengahkan gaya hidup islamik, Mizz Nina kini makin aktif menceburi bidang kebajikan.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, isteri kepada Noh Salleh ini menerima watikah pelantikan sebagai Ikon Kemanusiaan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) dari Universiti Malaysia Sabah. Tahniah Mizz Nina!

“Alhamdulillah & Jazakamullahu khayran UMS dan FKSW kerana mengadakan forum bertemakan ‘women empowerment’ dan pelantikan ikon kemanusiaan. Ia adalah satu tanggungjawab besar dan peringatan buat diri saya sendiri untuk memberikan yang terbaik serta kekal konsisten dalam membantu misi kemanusiaan buat para pelajar di Kota Kinabalu dan program 1Moment4Them.”

1Moment4Them adalah satu gerakan kemanusiaan dan sokongan yang dijayakan oleh golongan belia. Usaha murni ini mula diasaskan oleh Fatiha Shuib pada tahun 2015 yang percaya kredibiliti belia mampu diperkasa dengan menyebarkan aura positif dan kesukarelawan.

Sepanjang 1Moment4Them ditubuhkan, dua konsert amal telah diadakan di Mesir dan Jordan dalam usaha mengumpul dana sumbangan bagi membantu insan kurang bernasib baik menikmati kehidupan lebih baik termasuk soal pendidikan.

Dua hari lepas, Mizz Nina bersama rakan-rakan artis yang melibatkan diri dalam 1Moment4Them termasuk Noh Salleh, Faizal Tahir dan Aizat Amdan telah berkunjung ke perkampungan atas air di Sabah. Lawatan mereka ke sana bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk tempatan mencari pekerjaan selain memberikan bantuan pendidikan kepada kanak-kanak.

Moga usaha murni Mizz Nina memberi inspirasi buat rakan artis yang lain dan khalayak ramai!

IKLAN
Share