Amalan POWER NAP Nabi, Tidur Qailulah Sebelum Zohor Untuk Aktif Sepanjang Hari

Tidur sebentar sebelum waktu Zohor, atau Qailulah, mungkin dengarnya macam amalan remeh. Golongan wanita macam kita biasanya tak ambil pusing pasal tidur tengah hari ni, almaklum waktu itulah kita sibuk uruskan rumah tangga. Tapi lepas tengok posting Nora Ariffin, terus rasa nak mulakan Qailulah tiap hari sebab besar manfaatnya!

Qailulah atau power nap, sememangnya amat baik untuk tubuh badan kita. Selain beristirahat, minda juga lebih fokus untuk beribadah dan menjalankan urusan harian yang lain dengan bertenaga. Waktu yang disarankan pula di antara jam 12.30 – 1.30 petang (sebelum waktu Zohor).

“Petang-petang begini ada yang suka Qailullah tidur sekejap sebelum Zohor. Lepas zohor, sambung berzikir… amalan ahli ibadah zaman dulu” ~ Nora Ariffin

Menariknya, aktor kacak Norman Hakim pun setuju dengan amalan sunat Qailulah malah ini komennya:

normanhakim_786 Saya sis. Qailulah sgt bagus waktu afdal antara 12.30pm sampai Zuhur. Yup 1 minit bersamaan 45 minit, sama ‘nyenyak’ sebelah malam. Saya doakan sis terus kuat dalam hidup. Doakan saya jugak.

Tersebut Dalam Hadis

Yang menariknya, penemuan sains mendapati fenomena tidur sebentar ini bukan saja dapat menyegarkan minda, malah meningkatkan kebolehan otak untuk belajar perkara baru selepas bangun tidur.

Berdasarkan kajian pakar psikologi, Dr. Matthew Walker dari Universiti of California, ‘tidur sebentar’ ni bukan saja membetulkan kualiti tidur seseorang malah ia memberikan kesegaran yang sama seperti sebelum kita tidur, pada tahap neuro-kognitif.

Oh, tak hairanlah kalau mantan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad selalu nampak cergas dan cerdas. Dengarnya Tun memang amalkan tidur jenis ni setiap hari!

1 minit Qailulah kualitinya bersamaan dengan 45 minit waktu tidur kita di waktu malam. Jadi, cukup sekadar dapat 15 minit Qailulah, kita sudah boleh bangun solat malam tanpa rasa mengantuk, insyaAllah.

  • Qailulah pada waktu tengah hari akan memudahkan kita untuk bangun malam dan berqiamulail.
  • Orang Barat memanggil Qailulah sebagai nap. Nap biasa dilakukan dari pukul 2.00 – 4.00 petang. Hasil kajian mendapati nap
    dapat mengelakkan penyakit jantung.
  • Menurut kajian lagi, manusia perlu berehat setelah 6 – 8 jam berjaga. Kita orang Islam akan bangun seawal jam 5.30 pagi untuk solat Subuh. Kalau dikira dari waktu Subuh hingga pukul 12.00 tengah hari, ia sudah cukup 7 – 8 jam kita berjaga. Jadi Qailulah ini jelas amat sesuai denga fitrah badan manusia.
  • Menurut pengamal Qailulah, sebaik bangkit dari Qailulah, kita mungkin akan pening sedikit selama 5 – 20 minit. Tetapi selepas itu, kita akan mendapati perubahan mendadak dari segi emosi, kecerdasan dan fokus (detikislam).

Sabda Rasullah s.a.w, “Lakukanlah Qailulah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani Qailulah.” (Riwayat ai-Tabrani)

Hadis juga menyebut, “Syaitan tidak melakukan Qailulah, oleh itu orang-orang mukmin yang melakukan Qailulah atau tidur sejenak sebelum solat Zohor selama 10-40 minit akan memperolehi kerehatan yang cukup, sehingga membolehkannya melakukan ibadat dengan sempurna sepanjang hari.”

Gerenti bertenaga

Nampak tak betapa bagusnya kalau wanita macam kita buat amalan sunat ni tiap hari? Cuba susun masa supaya waktu tengah hari kita terisi dengan Qailulah, kemudian baru diikuti solat Zohor dan kembali bekerja macam biasa. Tentu luar biasa kesannya!

Memang bagus sangat pelawaan Nora untuk followers Instagram beliau. Balu kepada komposer terkenal Johan Nawawi dan ibu kepada empat cahaya mata ini juga baru saja melancarkan single bertajuk ‘Ada Dalam Tiada’ tahun lalu. Sedap sangat susunan dan melodi lagu tu.

Sebenarnya sejak dulu lagi memang admire dengan kekuatan Nora sebagai ibu tunggal. Meskipun ujian datang bertimpa-timpa, dia tetap sabar dan tabah melalui segalanya. Bayangkan selepas dua tahun kehilangan suami, dia diduga pula dengan pemergian anak keduanya, Alif Johan, hujung tahun lalu.

Pada kami, Nora sememangnya lambang seorang wanita Muslimah yang bukan saja cantik, lemah lembut, malah bersifat keibuan dan tangkas menguruskan semua perkara. Tak syak lagi bahawa amalan Qailulah ni banyak faedahnya. Betul tak?

Kredit: Instagram @itsnoraariffin

IKLAN
Share