Ramai anak-anak yang mengharungi cuti sekolah ini dengan keadaan yang kurang produktif, tak mampu diisi dengan cara yang mengujakan dan merangsang diri mereka, khususnya untuk menghadapi tahun hadapan yang lebih mencabar.
Melalui perkongsian Pakar Motivasi, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, beliau menyatakan lima asas ini untuk merangsang anak-anak agar menjadi lebih hebat. Sesuai sangat nak dipraktikkan!
IKLAN
(1) Mantapkan Asas Anak-Anak
Perkara paling asas dalam dunia keibubapaan. Kita mesti pastikan hati mereka sentiasa bersih, berfikiran positif, amalan agama kena mantap dan fizikal mesti sihat. Ini bukannya ibu bapa tak tahu, tapi selalu terlepas pandang dan tak diberi penekanan dengan sewajarnya.
Tip: Manfaatkan cuti sekolah ini dengan menggilap semua asas yang disebutkan. Cara paling senang mengajar adalah melalui teladan. Tunjukkan contoh bagaimana kita sendiri membuatnya. Kalau mahu mereka berfikiran positif, maka tunjukkan yang positif. Mahu mereka bersolat, maka kita pun mesti bersolat tepat pada waktunya.
(2) Bina Keyakinan Diri
Bila kita yakin, separuh daripada masalah akan selesai dengan izin Allah. Sebab keyakinan itu satu doa. Allah bertindak sepertimana yang disangkakan oleh hamba-Nya. Jadi kalau kita ni sebagai hamba-Nya yakin kita mampu, insyaAllah Allah akan jadikan kita mampu.
Tip: Selalu beri pujian dan galakan apabila anak-anak menunjukkan sikap yang baik. Gosok kepala mereka jika bangun awal dan bersolat, masakkan lauk-pauk kegemaran jika mereka membantu membereskan kerja-kerja rumah atau bawa bercuti sebagai reward peperiksaan akhir tahun.
(3) Terapkan Gaya Hidup Aktif
Anak-anak sekarang ni terlalu sedentari dan kurang aktif. Almaklumlah asyik duduk dengan Playstation, dengan game, dengan komputer, dengan gadgetnya. Ini bukan di Malaysia saja tapi macam satu fenomena di seluruh dunia.
IKLAN
Tip: Bagaimana nak merangsang mereka agar lebih aktif dan mata tidak tertumpu pada gadget semata-mata? Masa inilah paling sesuai untuk hantar mereka ke kem cuti sekolah atau ajak anak-anak berkhemah di hutan. Penuhkan masa mereka dengan kegiatan berfaedah dan tidak membosankan.
(4) Sediakan Persekitaran Yang Kondusif
Kamu mengikut siapa kawan-kawanmu (dan persekitaran). Kita mesti cari suasana yang boleh merangsang anak agar dapat mengubah hatinya, mengubah minda dan tindak-tanduknya dengan cara yang lebih sistematik serta teratur.
Tip: Kenal pasti siapa rakan anak-anak dan dengan siapa mereka bercampur gaul. Bercuti bukan bermakna bebas berbuat apa saja. Ibu bapa mesti pantau aktiviti mereka dan jauhkan rakan-rakan yang memberi pengaruh buruk kepada anak-anak. Besarkan zuriat dalam suasana yang harmoni dan rumah tangga aman damai.
IKLAN
(5) Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa wajib berubah supaya anak-anak pun berubah. Anak-anak takkan ingat apa yang kita cakap tapi akan ikut apa yang kita buat.
Tip: Saya pun seorang ayah, dan kita ni ibu bapa dengan kegiatannya yang sibuk mencari rezeki, kegiatan sosial, masyarakat dan keagamaan, jadi kadang-kadang kita sendiri tak cukup masa nak merangsang anak-anak jadi lebih positif.
Pun begitu, amanah dan tanggungjawab mesti dipikul. Carilah guru atau hantarkan anak-anak mengikuti program cuti sekolah yang baik untuk membina sahsiah yang cemerlang di dunia dan akhirat. Semoga berjaya! Norzalina Mohd Alias
Masalah fibroid dan cyst kerap didiagnos di kalangan wanita tetapi ramai tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan fibroid dan cyst serta persamaan dan perbezaan di antara kedua penyakit ini.
Walaupun fibroid dan cyst selalunya tidak bergejala dan hanya dapat dikesan ketika pesakit menjalani pemeriksaan imbasan ultrasound abdomen dan pelvis, pakar perunding daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi jawapan kepada pelbagai persoalan yang sering menjadi tanda tanya ramai wanita.
Soalan: Bolehkah pesakit mendapat fibroid dan cyst pada masa yang sama?
Dr Wong Yen Shi, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan daripada SMCV berkongsi bahawa fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang bermula daripada otot rahim dan sering terjadi kepada wanita semasa mereka berada di fasa reproduktif.
Manakala bagi sista ovari atau ovarian cysts, ia adalah kantung yang kebanyakannya mengandungi cecair, kadangkala tisu atau darah yang tumbuh di dalam ovari atau di permukaannya.
Tidak seperti fibroid yang merupakan ketumbuhan bukan kanser, cyst berkemungkinan untuk menjadi beningna (tumor bukan kanser) atau malignan (tumor jenis kanser).
Doktor akan menggunakan imbasan ultrasound dan ujian penanda tumor CA125 untuk membezakan kedua jenis ketumbuhan ini. Ketumbuhan ovari lebih banyak berlaku kepada wanita berusia 60 ke 65 tahun.
“Kebanyakan cyst akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan manakala cyst tidak berbahaya seperti follicular cyst atau corpus luteal akan membesar dan hilang bersama kitaran haid seseorang wanita.”
Seseorang wanita boleh menghidapi fibroid dan cyst pada masa yang sama – memandangkan keadaan pesakit adalah berbeza-beza, cara merawat dan memantau penyakit ini bergantung kepada saiz dan simptom yang dialami pesakit.
Soalan: Apa yang menyebabkan penyakit ini berlaku dan apakah simptom untuk dikenal pasti?
Walaupun punca sebenar mengapa fibroid boleh berlaku masih lagi tidak dapat dikenal pasti sehingga kini, Dr Wong menyatakan bahawa hormon, genetik dan faktor pertumbuhan (produk gen yang boleh menggalakkan atau menghalang mitosis atau menjejaskan pembezaan selular) dikatakan sebagai faktor kepada berlakunya fibroid dan cyst.
“Seperti fibroid, cyst berlaku secara semula jadi. Kehamilan, jangkitan pada pelvis, endometriosis dan sejarah kesihatan mengalami cyst ovari juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat cyst ovari.
Fibroid dan cyst juga mungkin menunjukkan simptom yang sama. Contohnya, haid yang tidak teratur atau menyakitkan, kerap membuang air kecil atau sembelit, kembung perut, sakit belakang, pertambahan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau persetubuhan yang menyakitkan.
Manakala mereka yang mengalami fibroid berkemungkinan untuk mengalami pendarahan haid yang banyak jika dibandingkan dengan cyst. Dalam kes ketumbuhan ovari, rasa cepat kenyang ketika makan, hilang berat badan dan selera makan adalah antara simptom yang pesakit boleh perhatikan.”
Soalan: Bolehkah fibroid dan cyst memberi kesan terhadap kesuburan?
Dr Farah Leong Rahman, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan berkongsi bahawa kebanyakan wanita yang menghidapi fibroid dan cyst tidak mempunyai masalah untuk hamil.
Namun, bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid tersebut, ia mungkin memberi kesan kepada tahap kesuburan pesakit.
“Fibroid dan cyst selalunya tidak akan menjadi penghalang jika seseorang pesakit itu ingin hamil. Namun terdapat kemungkinan bagi kedua penyakit ini untuk menyebabkan tiub fallopio tersumbat atau menyebabkan persekitarannya menjadi tidak kondusif untuk implantasi embrio terutamanya bagi fibroid yang terletak pada dinding rahim.
Manakala rawatan bagi penyakit ini bergantung kepada simptom yang dialami pesakit dan pembedahan hanya akan dilakukan jika ia dapat meningkatkan peluang kehamilan.”
Soalan: Adakah fibroid atau cyst akan memberi kesan kepada perkembangan bayi atau kesihatan ibu?
Dr Farah berkongsi bahawa kebimbingan terbesar apabila mempunyai fibroid ketika hamil adalah risiko kelahiran awal.
“Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk di mana fibroid akan melebihi bekalan darah pesakit. Jika fibroid bersaiz besar, ia boleh menyebabkan kedudukan bayi berada pada posisi yang salah (kepala tidak berada di bawah walaupun sudah cukup bulan).”
Manakala bagi cyst ketika kehamilan, ia selalunya tidak akan memberikan mudarat kecuali jika cyst itu cukup besar dan menyebabkan koyakan.
Dr Farah menasihatkan pesakit untuk mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan perancangan kehamilan mereka bagi memastikan semuanya berada pada keadaan yang baik.
Soalan: Bagaimana untuk merawat fibroid dan cyst?
Seperti dikongsi Dr Farah, rawatan individu atau ‘personalized treatment’ adalah kunci untuk merawat fibroid dan cyst – cyst bersaiz kecil selalunya tidak memerlukan rawatan dan pertumbuhannya akan dipantau, manakala cyst bersaiz besar akan memerlukan pembedahan secara laparoskopi atau secara terbuka (open surgery).
“Pembedahan masih kekal sebagai solusi bagi rawatan fibroid. Apabila kesuburan menjadi kebimbangan, miomektomi (pembuangan fibroid) boleh dilakukan melalui pembedahan terbuka, laparoskopi atau melalui miomektomi histeroskopik bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid.
Bagi wanita yang tidak mahu menambah cahaya mata atau dalam fasa selepas menopaus, histerektomi (pembuangan rahim) akan dipertimbangkan.”
Uterine arteri embolisasi dan kemajuan baharu dalam teknologi seperti pembedahan High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) adalah antara alternatif lain tetapi rawatan-rawatan ini masih belum tersedia secara meluas di kebanyakan hospital.
Bagi pesakit yang tidak memerlukan pembedahan, mereka akan diberikan rawatan perubatan untuk melegakan simptom seperti pendarahan haid yang banyak serta haid yang menyakitkan.
Soalan: Apa yang boleh dilakukan untuk menghindari penyakit ini?
Dr Farah menekankan bahawa fibroid dan cyst bukan penyakit yang boleh diwarisi – bermakna ia tidak diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Namun, ia masih boleh berlaku dalam sesebuah keluarga.
Beliau mengesyorkan para wanita untuk melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala kerana ketumbuhan fibroid dan cyst mungkin tidak menyebabkan sebarang simptom dan mungkin tidak disedari.
“Amat penting untuk membuat pemeriksaan berkala dengan doktor anda untuk melakukan imbasan ultrasound bagi memantau saiz fibroid atau cyst dan untuk memeriksa simptom anda.
Tidak semua fibroid atau cyst memerlukan pembedahan. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai simptom atau merancang untuk hamil, doktor boleh mengesyorkan rawatan yang sesuai untuk anda.
Masih tiada bukti yang boleh membantu mencegah ketumbuhan fibroid atau cyst. Tetapi mengamalkan gaya hidup sihat dan mengekalkan diet seimbang adalah cara yang baik untuk kesihatan anda secara menyeluruh.”
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my atau Facebook: Sunway Medical Velocity.
“Suatu malam saya dapati diri saya menangis teruk tanpa henti. Saya tak boleh berhenti menangis! Saya kerap terjaga seolah-olah mendengar bayi menangis. Sedangkan bayi saya nyenyak tidur di sebelah!”
Allahu, besarnya pengorbanan ibu yang melahirkan. Belum lagi sembuh sakit dan luka selepas bersalin.. timbul pula satu lagi cabaran yang menguji ketahanan emosi mereka. Yang jelas, simptom meroyan lebih cenderung terjadi kepada mereka yang bergelar ibu buat kali pertama kerana sukar menyesuaikan diri dengan perubahan yang dialami.
Tanpa berselindung, Putri Mahirah Munatul Maknun Ahmad Mizanudin terbuka berkongsi bicara. Dia yang pernah melalui pengalaman menakutkan akibat hampir meroyan rasa terpanggil untuk menceritakan insiden berkenaan kerana enggan perkara sama berlaku kepada ibu lain.
“Sepanjang mengandung anak pertama saya alami hyperemesis, morning sickness yang teruk dan premature contraction pada minggu ke-29 hingga menyebabkan saya terpaksa kurangkan aktiviti dan banyak berehat.
Alhamdulillah proses bersalin berjalan lancar pada minggu ke-38. Bayi lelaki seberat 2.6kg selamat dilahirkan secara normal.
Namun cabaran lebih besar datang ketika fasa berpantang. Dua minggu selepas melahirkan anak sulung dan masih belum kuat serta agak sukar menyesuaikan diri, suami yang ketika itu bertugas sebagai doktor terpaksa memulakan posting di Pahang dan meninggalkan kami anak-beranak di ibu kota.
Ketika itu rasa sangat sedih, bersendirian dan marah. Seolah keluarga kecil baru kami dipisahkan. Kami suami isteri memang akrab. Jadi perpindahan suami amat mengecewakan saya. Ibu saya pula masih bekerja dan tidak dapat bercuti lama. Maka saya pulang ke rumah mentua untuk berpantang di sana.
Semasa tempoh berpantang saya ‘struggle’ untuk menyusu bayi kerana kurang pengalaman. Sakit bengkak susu sehingga demam tidak dapat dilupakan. Tidak cukup tidur, sakit badan, perubahan rutin, kerap terjaga pada waktu malam antara cabaran normal ibu yang baru melahirkan. Proses memahami tangisan dan kehendak bayi serta menangani isu kembung dan sebagainya juga sangat ‘exhausting’.
Tambahan pula ketiadaan suami di sisi menyebabkan kesunyian melampau. Walaupun ibu mentua sedia membantu, saya risau menyusahkan dia terutama pada waktu malam,” ujarnya panjang lebar.
Saat itulah dia berdepan tekanan melampau hingga kerap berhalusinasi. “Badan terasa seram sejuk. Amat menakutkan ketika itu. I knew something isn’t right. Saya terus maklumkan suami, ibu dan mentua yang saya perlukan bantuan.
Alhamdulillah dengan sokongan mereka dan amalan zikir, saya lebih tenang. Tak dapat dibayangkan kalau keadaan suram dan menangis itu berlarutan dan tidak meminta bantuan daripada sesiapa. Mungkin kesannya lebih buruk.
Dari kelahiran anak pertama tadi saya belajar untuk ‘melabur’ lebih untuk proses penyembuhan selepas melahirkan anak kedua dan ketiga. Saya ambil Confinement Lady yang menjaga saya dan bayi secara lengkap. Penting untuk ibu mendapatkan rehat dan rawatan secukupnya supaya lebih kuat mental dan fizikal,” terang ibu kepada Wan Muhammad Adam, Wan Marjaan Ameena dan Wan Maysaa Addeena ini.
Disebabkan mahu masa berkualiti bersama keluarga, Putri dan suami sanggup melepaskan kerjaya tetap dan memilih pekerjaan yang lebih fleksibel sebagai perancang kewangan. Meskipun sibuk dengan urusan anak-anak, wanita berusia 31 tahun ini nekad menyambung pengajian dalam bidang Psikologi Kanak-Kanak di samping menjadi Penyampai Berita.
Ditanya bagaimana dia menghargai diri sendiri dan bebas daripada tekanan.. ini jawapan jujur Putri. “Daripada mencuba jadi ‘perfect mom’, saya berazam menjadi ‘happy mom’. Buang rasa bersalah dan buat apa saja yang menggembirakan hati saya!
Saya kenal diri saya yang mudah marah ketika letih. Kalau kita marah anak-anak bila kita penat, itu tidak adil bagi mereka. Sebab itu ‘Me Time’ amat penting bagi saya. Bila penat, saya akan beritahu suami.. saya perlukan ruang. Pulang dari kerja saya akan ambil masa untuk refresh sama ada a cup of coffee atau a good meal.
Jadi bila pulang ke rumah saya dapat peluk anak-anak dengan senyuman dan aura positif. Tinggalkan stres dunia luar di pintu rumah. Apabila melangkah masuk, pastikan rumah kita zon selamat dan tempat paling bahagia untuk anak-anak.
Saya dan suami juga mementingkan waktu dating. Seminggu sekali pasti peruntukkan masa untuk menonton wayang atau minum bersama. Untuk menjadi ibu bapa yang membesarkan anak-anak yang bahagia, kita terlebih dahulu harus memastikan diri kita stabil dari sudut emosi.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Putri sempat menitipkan pesan ini untuk insan bergelar ibu. “Buat pilihan yang baik untuk kita dan keluarga kita. Pilih cara yang praktikal, tidak memberi stres dan bersesuaian dengan gaya hidup kita. Sentiasa ingat bahawa tugas sebagai ibu adalah satu ibadah yang tinggi martabatnya. Maka lakukan dengan ikhlas, tenang dan sabar. Ganjaran bagi ibu bukan di dunia, tetapi di syurga.”
Terinspirasi dengan cara ibu tiga anak ini tenang menangani tekanan. Dia memahami keupayaan diri sendiri dan tidak terlalu mendesak untuk menjadi ibu sempurna kerana dia sedar perjalanan bergelar ibu adalah sesuatu yang cukup indah dan mahu meraikan momen itu sebaik mungkin.
‘Why does everything taste better after midnight?’ Kelaparan, barangkali itu jawapan segelintir masyarakat Malaysia yang gemar mengambil makanan berat di tengah malam. Malah lihatlah senario di pelbagai restoran 24 jam, pelanggan yang datang tidak putus-putus memesan menu berkalori tinggi seperti nasi lemak, char kuey teow, roti canai, burger keju serta dimaniskan lagi dengan minuman bergas atau teh tarik. Adakah trend makan lewat malam ini kian dianggap salah satu gaya hidup moden dan sofistikated?
Tewas dengan godaan untuk mengunyah makanan sebelum tidur menyimpan pelbagai petaka terhadap kualiti kesihatan. Kesannya amat serius dan mampu mempengaruhi pelan diet serta kecergasan tubuh seseorang. Ini kerana, sistem gastrousus bekerja mengikut arus graviti, jadi apabila anda berbaring sejurus selepas makan, risiko untuk didatangi penyakit akan meningkat dengan drastik.
Kecelaruan yang dikaitkan dengan tabiat makan lewat malam:
Night Eating Syndrome (NES) yakni orang yang terjaga dari tidur dan terasa keinginan yang luarbiasa untuk makan;
Sleep Relating Eating Syndrome iaitu orang yang makan tanpa sedar ketika tidur.
Beberapa alasan yang sering digunakan secara sengaja untuk makan ialah tabiat sejak kecil, tertekan, bimbang, kecewa, dirundung masalah dan ketagihan gula. Kini ketahui tiga alasan betapa amalan ini amat berbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan anda.
1. PEDIH ULU HATI
Malam diciptakan untuk tubuh berehat. Namun apabila anda makan malam atau bersnek berat kira-kira sejam sebelum tidur, perut anda masih bekerja keras untuk menghadamkan makanan tersebut. Posisi baring meningkatkan risiko pedih ulu hati kerana ketidakstabilan asid gastrik di dalam perut. Dalam kes yang lebih serius, tekanan asid reflux atau turut dikenali sebagai gastroesophageal reflux disease (GERD) akan naik ke bahagian mulut dan menyebabkan kaviti gigi.
2. OBESITI
Makan lewat malam juga meningkatkan risiko obesiti kerana kalori tidak sempat dibakar atau diproses secara sihat. Demikianlah tercetusnya kegemukan dan penyimpanan lemak degil di dalam tisu tubuh. Malah selain berisiko untuk menaikkan berat badan, penampilan tubuh anda juga turut terjejas. Bagi wanita, selain timbunan selulit, ukuran pinggul dan peha akan mengembang, disamping tisu-tisu otot mengendur bagi mereka yang sudah berusia. Ia juga meningkatkan paras gula darah bagi pesakit diabetes yang makan makanan berkarbohidrat pada malam sebelumnya.
3. KESUKARAN TIDUR
Penambahan berat badan bukan satu-satunya kesan buruk kepada kesihatan. Ia juga mengakibatkan insomnia, atau kesukaran tidur hingga mempengaruhi fikiran agar terus bekerja tanpa henti. Pelbagai masalah difikirkan lantas membuatkan jiwa terganggu. Proses penghadaman juga tidak dapat berehat dan tubuh gagal menjalankan tugasnya untuk menyembuhkan kesakitan. Sistem imun anda benar-benar dalam bahaya!
7 CADANGAN ATASI TABIAT MAKAN LEWAT MALAM
Makan tiga hidangan seimbang sewaktu siang. Namun sesetengah diet rendah kalori di waktu siang boleh menggalakkan individu makan berlebihan pada waktu malam.
Makan makanan yang membekalkan jumlah kalori harian anda secukupnya sebelum jam 7 petang. Sekiranya selepas jam tersebut anda masih terasa lapar, amalkan snek bernutrien, berserat dan rendah karbohidrat seperti potongan lobak merah, seleri, betik, salad dan epal.
Sekiranya didatangi keinginan untuk makan pada waktu malam, minum beberapa gelas air masak atau teh herba bercampur madu.
Tetapkan di minda, tubuh anda tidak memerlukan makanan yang berat pada waktu malam. Sentiasa beringat untuk mengekalkan berat badan yang ideal dan kenapa ia amat penting untuk diri anda.
Lakukan helah pada diri sendiri. Jika terasa ingin makan, lekas ke bilik air dan berus gigi anda. Ini kerana secara psikologinya, ia mengelak perasaan untuk makan kerana setiap orang gemarkan mulut yang bersih dan segar.
Carilah hobi yang digemari untuk mengelakkan anda dari makan di tengah malam. Elakkan menonton televisyen atau membaca majalah yang mengandungi banyak iklan makanan.
Makan hidangan sarapan yang mengenyangkan pada waktu pagi. Pastikan anda melatih diri untuk makan pada waktu yang tetap setiap hari.