Gaya Hidup

Anak Mengadu Bosan Di Rumah? Dato’ Dr Fadzilah Kamsah Kongsi 5 Asas Anak Cemerlang Musim Cuti Ini

Ramai anak-anak yang mengharungi cuti sekolah ini dengan keadaan yang kurang produktif, tak mampu diisi dengan cara yang mengujakan dan merangsang diri mereka, khususnya untuk menghadapi tahun hadapan yang lebih mencabar.

Melalui perkongsian Pakar Motivasi, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, beliau menyatakan lima asas ini untuk merangsang anak-anak agar menjadi lebih hebat. Sesuai sangat nak dipraktikkan!

(1) Mantapkan Asas Anak-Anak

Perkara paling asas dalam dunia keibubapaan. Kita mesti pastikan hati mereka sentiasa bersih, berfikiran positif, amalan agama kena mantap dan fizikal mesti sihat. Ini bukannya ibu bapa tak tahu, tapi selalu terlepas pandang dan tak diberi penekanan dengan sewajarnya.

Tip: Manfaatkan cuti sekolah ini dengan menggilap semua asas yang disebutkan. Cara paling senang mengajar adalah melalui teladan. Tunjukkan contoh bagaimana kita sendiri membuatnya. Kalau mahu mereka berfikiran positif, maka tunjukkan yang positif. Mahu mereka bersolat, maka kita pun mesti bersolat tepat pada waktunya.

(2) Bina Keyakinan Diri

Bila kita yakin, separuh daripada masalah akan selesai dengan izin Allah. Sebab keyakinan itu satu doa. Allah bertindak sepertimana yang disangkakan oleh hamba-Nya. Jadi kalau kita ni sebagai hamba-Nya yakin kita mampu, insyaAllah Allah akan jadikan kita mampu.

Tip: Selalu beri pujian dan galakan apabila anak-anak menunjukkan sikap yang baik. Gosok kepala mereka jika bangun awal dan bersolat, masakkan lauk-pauk kegemaran jika mereka membantu membereskan kerja-kerja rumah atau bawa bercuti sebagai reward peperiksaan akhir tahun.

(3) Terapkan Gaya Hidup Aktif

Anak-anak sekarang ni terlalu sedentari dan kurang aktif. Almaklumlah asyik duduk dengan Playstation, dengan game, dengan komputer, dengan gadgetnya. Ini bukan di Malaysia saja tapi macam satu fenomena di seluruh dunia.

Tip: Bagaimana nak merangsang mereka agar lebih aktif dan mata tidak tertumpu pada gadget semata-mata? Masa inilah paling sesuai untuk hantar mereka ke kem cuti sekolah atau ajak anak-anak berkhemah di hutan. Penuhkan masa mereka dengan kegiatan berfaedah dan tidak membosankan.

(4) Sediakan Persekitaran Yang Kondusif

Kamu mengikut siapa kawan-kawanmu (dan persekitaran). Kita mesti cari suasana yang boleh merangsang anak agar dapat mengubah hatinya, mengubah minda dan tindak-tanduknya dengan cara yang lebih sistematik serta teratur.

Tip: Kenal pasti siapa rakan anak-anak dan dengan siapa mereka bercampur gaul. Bercuti bukan bermakna bebas berbuat apa saja. Ibu bapa mesti pantau aktiviti mereka dan jauhkan rakan-rakan yang memberi pengaruh buruk kepada anak-anak. Besarkan zuriat dalam suasana yang harmoni dan rumah tangga aman damai.

(5) Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa wajib berubah supaya anak-anak pun berubah. Anak-anak takkan ingat apa yang kita cakap tapi akan ikut apa yang kita buat.

Tip: Saya pun seorang ayah, dan kita ni ibu bapa dengan kegiatannya yang sibuk mencari rezeki, kegiatan sosial, masyarakat dan keagamaan, jadi kadang-kadang kita sendiri tak cukup masa nak merangsang anak-anak jadi lebih positif.

Pun begitu, amanah dan tanggungjawab mesti dipikul. Carilah guru atau hantarkan anak-anak mengikuti program cuti sekolah yang baik untuk membina sahsiah yang cemerlang di dunia dan akhirat. Semoga berjaya! Norzalina Mohd Alias

 

IKLAN
Share