Anak Pemandu Lori & Bergelar OKU, Numelissa Berjaya Genggam Ijazah. Mahu Ubah Nasib Keluarga

Setiap orang berhak untuk mencipta kejayaan demi merealisasikan impian. Antaranya, dengan kejayaan itu dapat membantu meningkatkaan taraf kehidupan menjadi lebih baik.

Nurmelissa Mohd Yadi, gadis OKU (orang kurang upaya) yang berusia 24 tahun kini bergelar graduan apabila berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.

Nurmelissa merupakan antara 2,314 graduan di Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-14, Kuala Nerus, Terengganu yang berlangsung baru-baru ini.

Meskipun ada kekurangan, Nurmelissa tidak pernah menjadikannya sebagai halangan untuk mencapai cita-cita untuk bergelar penterjemah Bahasa Arab.

Selain itu, Nurmelissa juga bertekad untuk mengubah nasib keluarga dengan mencabar diri menjadi individu yang berjaya.

“Saya mahu membalas jasa ayah dan ibu yang membesarkan saya sejak kecil dan mahu melihat saya berjaya seperti orang lain”

“Ini menyebabkan saya berusaha keras untuk mengubah nasib keluarga dan menjadi orang yang berjaya,” katanya yang kini mengikuti kursus penterjamahan di Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) secara dalam talian.

Pada mulanya, Nurmelissa tidak mempunyai keyakinan yang tinggi dek kerana kekurangan diri sekali gus meletakkan dirinya sebagai OKU.

Anak kedua dari enam beradik ini mengalami masalah saraf sejak berumur 11 tahun dan mula berkerusi roda sejak di tingkatan tiga.

Bapa Melissa, Mohd Yadi Taib bekerja sebagai pemandu lori manakala ibunya, Saripah Abu Bakar bekerja di kedai makan berhampiran rumahnya di Kampung Losong.

NONA mendoakan agar segala impian Nurmelissa tercapai dan sentiasa dapat membahagiakan ibu dan bapanya.

Kredit Foto: Instagram UniSZA

 

IKLAN
Share