QUAN HONGCHAN

Iltizam yang kuat untuk mencari duit membiayai kos rawatan ibu yang sakit sejak di usia muda mendorong pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 ini tampil konsisten dalam setiap acara yang disertai.

IKLAN

Tak dinafikan sejak semalam, nama Quan Hongchan menjadi bualan ramai apabila atlet berusia 14 tahun itu memberikan persembahan luar biasa di pentas akhir 10 meter platform wanita di Pusat Akuatik Tokyo.

Cukup fokus dalam lima terjunan, jelas terserlah wajah serius Hongchan tiap kali aksinya dirakam lensa kamera. Malah tiada senyuman yang tergambar dari wajah Hongchan meskipun beberapa kali mendapat markah tinggi daripada juri kerana mahu terus konsisten merebut pingat emas.

Menelusuri latar belakang Hongchan, dia dilahirkan di sebuah perkampungan Zhanjiang, Guangdong pada tahun 2007. Kedua-dua ibu bapanya bekerja sebagai petani. Ibu Hongchan dilaporkan sakit dan memerlukan rawatan susulan di hospital saban tahun.

Dek persekitaran hidup dan berasal dari keluarga susah, atlet cilik ini menjadi seorang yang sangat tabah dan cekal mendepani ujian. Hongchan mula didedahkan dengan sukan terjun buat pertama kali pada tahun 2014 dan menjalani rutin latihan yang sangat ketat. Pada Mac 2018, dia menyertai Guangdong Provincial Team.

Oktober tahun lalu, Hongchan turut menang acara 10 meter platform peringkat akhir mengalahkan beberapa atlet terjun wanita terkenal China dalam kelayakan ke Olimpik Tokyo.

Memikirkan tahap kesihatan ibu dan kesusahan keluarganya telah menjadi pemangkin semangat buat Hongchan untuk terus melakukan yang terbaik tanpa menghiraukan barisan atlet terkemuka yang bertanding.

IKLAN

Malah, suatu ketika dulu dia pernah ditanya mengenai pembabitannya dalam sukan tersebut. Jawapan yang diberikan Hongchan nyata meruntun jiwa pemberita, “Kos rawatan ibu saya memerlukan sejumlah wang yang besar, jadi saya perlu mencari duit supaya dapat membiayai rawatan ibu yang sakit.”

Aksi mengagumkan Hongchan semalam nyata memberi kejutan kepada peminat sukan apabila berjaya meraih dua kali markah sempurna ‘perfect 10’ sekaligus melayakkannya menjadi juara 10 meter platform Olimpik Tokyo menewaskan pencabar terdekat yang juga rakan senegara, Chen Yuxi.

IKLAN

Sementara itu, penerjun negara Pandelela Rinong menduduki tempat ke-12.

 

 

 

Sumber : inf news