Gaya Hidup

Anda Hidap Diabetes? Hati-Hati Jika Selalu Sakit Gigi, Kesannya Lebih DAHSYAT Dari Yang Disangkakan

Apabila seseorang disahkan menghidap penyakit diabetes, komplikasi seperti masalah penglihatan sehinggalah gangguan fungsi saraf cukup membimbangkan.

Namun tidak ramai yang menyedari, diabetes juga berpotensi menyerang gusi. Ini kerana badan tidak mampu melawan bakteria yang akhirnya menyebabkan jangkitan dan menjadikan gigi berlubang. 

Gangguan kesihatan gigi ini dikenali sebagai penyakit gusi atau periodontal. 

Penyakit periodontal atau penyakit gusi adalah jangkitan bakteria kronik yang melibatkan gusi dan tulang yang menyokong gigi. Penyakit periodontal boleh melibatkan sebatang gigi atau lebih.

Penyakit ini disebabkan oleh bakteria di dalam plak (selaput gigi yang melekit dan tidak berwarna). Jika tidak dibersihkan menggunakan berus gigi dan flos setiap hari, plak boleh bertambah (dan menjadi keras untuk membentuk tartar).

Bakteria ini juga akan menjangkiti tisu gusi dan tulang yang menyokong gigi. Jika proses ini berterusan, gigi menjadi semakin longgar.

Poket gusi iaitu suatu ruang akan terbentuk di antara gigi dan gusi, serta membenarkan lebih banyak bakteria berkumpul.

Tanpa disedari, penyakit ini dialami ramai pesakit diabetes. Mereka yang tidak mampu mengawal glukosa dengan baik turut berpeluang terkena risiko penyakit ini.

Gejala seperti mulut dan lidah terasa terbakar, mulut kering, radang gusi atau gingivitis, plak dan jangkitan kulat antara simptom yang dialami pesakit diabetes. 

Malah gejala lain seperti gangguan gigi turut berlaku pada individu yang tidak mementingkan kebersihan mulut dan gigi.

Satu kajian juga menunjukkan bahawa penyakit gusi dan kencing manis ini bersifat dua arah.

Tidak hanya pesakit diabetes yang terdedah pada masalah periodontal malah penyakit gusi yang serius juga berpotensi mempengaruhi kawalan gula darah dan menyumbang kepada perkembangan diabetes.

Hal ini disebabkan kerana periodontal yang parah punca peningkatan gula darah dan berisiko terkena komplikasi diabetes. Oleh kerana itu, pesakit diabetes disarankan melakukan pemeriksaan gigi setiap tiga atau enam bulan sekali.

Masyarakat yang menetap di luar bandar lebih terdedah diserang penyakit diabetes berbanding mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Peningkatan ini dikaitkan dengan perubahan pola gaya hidup masyarakat. Jadi, salah satu usaha menyedarkan masyarakat ialah memberikan kesedaran, pendidikan dan langkah pencegahan bagi menanganinya.

Tip Penjagaan Gigi

  1. Di peringkat awal, penyakit gusi boleh dirawat dengan memberus gigi dan flos dengan betul.
  2. Gunakan ubat kumur mulut anti-bakteria dua kali sehari selepas memberus gigi. Kumur untuk 30 saat dan bilas dengan air selepas kumur.
  3. Penjagaan kesihatan gigi yang baik akan mencegah pembentukan plak.
  4. Pembersihan secara profesional oleh doktor gigi adalah satu-satunya cara untuk menanggalkan plak yang telah mengeras dan menjadi tartar.
  5. Jika keadaan sudah teruk, prosedur membersihkan akar gigi boleh dibuat untuk mengelakkan plak dari melekat pada permukaan.
  6. Seelok-eloknya, dapatkan rawatan lanjut daripada pakar pergigian anda. Rosmah Idayu Abu Samah
IKLAN
Share