Anggun Di Usia 46, KRISDAYANTI Terima Anugerah Indonesia Beautiful Woman!

Selebriti terkenal Indonesia ini sememangnya terkenal dengan kelunakan suara dan kejelitaan rupa paras. Bersandarkan kurniaan itu, tidak hairanlah Krisdayanti masih berdiri kukuh dalam industri muzik negara seberang dan menjadi inspirasi ramai wanita dalam menjaga penampilan diri. Malah penglibatan aktif Krisdayanti dalam arena perniagaan dan politik turut menarik perhatian masyarakat di sana untuk mengikut jejak langkah sama.

Kagum dengan lakaran kejayaan figura ini, HighEnd Magazine Indonesia berbesar hati memilih isteri Raul Lemos tersebut sebagai salah seorang daripada 21 penerima Indonesia Beautiful Woman Award 2020/2021. Bukan calang-calang wanita menerima pengiktirafan sedemikian!

Antara yang tersenarai menerima anugerah ialah pelakon Amanda Manopo, Miss Indonesia 2020/2021 Pricilia Carla, Pegawai Perubatan Jakarta’s Covid-19 Red Zone, Dr Debryna Dewi dan penyanyi muda Lyodra Ginting.

Terharu atas pengiktirafan berkenaan, Krisdayanti menerusi media sosial miliknya menzahirkan rasa syukur. “Terima kasih atas penghargaan ini Ya Allah. Diberikan keindahan pagi hari di bulan Ramadan. Alhamdulillah. Indonesia Beautiful Woman Award adalah semangat merangkul semua wanita untuk mahu terus menyertai pembangunan segala bidang.

Indonesia Beautiful Woman Award 2021 bukan sekadar tentang perempuan cantik. Namun wanita yang mahu memiliki kesedaran untuk melakukan transformasi kesetaraan darjat antara wanita dan lelaki seluas-luasnya dalam meningkatkan ilmu dan dapat bermanfaat bersama-sama.”

Lebih bermakna buat pelantun lagu Makin Aku Cinta ini, anugerah tersebut diterima pada hari kelahiran srikandi terulung Indonesia, Raden Adjeng Kartini atau R.A Kartini. Beliau yang dilahirkan pada 21 April 1879 menjadi sumber kekuatan dan ikon wanita di Indonesia kerana semangat cekalnya mengangkat martabat kaum wanita dan kanak-kanak khususnya dalam bidang pendidikan di Indonesia.

Krisdayanti kini bergelar ahli politik selepas dia melibatkan diri dalam pentas politik Indonesia secara serius pada tahun 2019. Mewakili parti DPR RQ dari PDIP, pelbagai program pembangunan telah dilaksanakan Krisdayanti termasuklah pembinaan Workshop Balai Latihan Kerja (BLK) Kejuruan Informatika yang menjadi tempat untuk memperkasakan wanita dalam perusahaan di Kabupaten Malang, Indonesia.

 

Kredit foto: Instagram Krisdayati

IKLAN
Share