Gaya Hidup

Angkut Beg Berisi Tudung Ke Mana Saja Tanpa Rasa Malu. Itu Pengalaman PALING MAHAL Siti Murni

Syarikat Empayar Siti Murni telah berjaya melahirkan ribuan usahawan berpotensi di bawah kendalian dan bimbingan peniagawati ini. Satu rekod luar biasa bagi seorang wanita yang baru menceburi bidang perniagaan secara serius kurang dari tempoh 10 tahun. Mengakui dirinya turut terkejut dengan sambutan hebat daripada pelanggan namun Pengarah Urusan Empayar Siti Murni ini cukup optimis dalam apa jua perkara dan percaya kejayaan tidak mustahil digapai andai disertai dengan kesungguhan dan niat yang betul.

“Seawalnya tudung jenama SITIMURNI paten cekak ini dihasilkan kerana saya seorang yang mudah alergi terkena kerongsang. Kulit saya terutama di bahagian leher cukup sensitif dan sering gatal-gatal setiap kali mengenakan kerongsang apabila memakai tudung.

Jadi, demi keselesaan saya sendiri terutama ketika bersiaran di kaca TV saya cipta tudung lain daripada yang lain dan mudah dipakai serta ringkas. Kemudian saya kembangkan lagi rekaan tudung ini melalui perkongsian pendapat bersama perunding imej yang dilantik syarikat,” jelas bekas Penyampai Berita TV ini apabila ditanya mengenai rekaan tudung jenama SITIMURNI.

Jatuh bangun dalam bidang perniagaan adalah asam garam yang terpaksa ditempuh bagi mereka yang bergelar usahawan. Menyusuri perjalanan awal Siti Murni dalam urusan jual beli merupakan momen penuh bererti yang tidak mungkin dilupakan.

Jelas figura ini, kepayahan hidup yang dialami masih segar seperti baru semalam semuanya berlaku. Meminati dunia perniagaan semenjak dari kecil lagi mungkin kedengaran agak cliché. Tetapi itulah gambaran sebenar pembabitan awal anak bongsu daripada tujuh beradik ini. Dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai ramai ahli dan mengamalkan perniagaan untuk menyara keperluan hidup telah banyak mempengaruhi cara hidup Siti Murni.

“Saya mula terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan ketika berusia awal 20an. Waktu itu saya dilantik menjadi duta produk kecantikan dan tudung. Mungkin minat meniaga sudah sebati dalam diri jadi saya turut ambil kesempatan untuk berniaga produk berkenaan.

Melihatkan keuntungan berganda-ganda hasil daripada perniagaan itu saya semakin aktif berniaga secara online dan jualan langsung. Tidak timbul rasa malu walau sekelumit pun untuk mengangkut beg tarik berisi tudung dan produk kecantikan ke hulu ke hilir kerana matlamat saya ketika itu adalah untuk mencari pendapatan sampingan.

Perniagaan tersebut berterusan selama beberapa tahun  sehinggalah saya menghasilkan jenama dan mempunyai butik sendiri. Duit keuntungan yang saya peroleh dari awal saya atur sebaik mungkin sampai berjaya mengembangkan perniagaan Empayar Siti Murni tanpa menerima sebarang bantuan modal mahupun pinjaman bank.”

Ditanya apakah kunci utama untuk bergelar usahawan berjaya, Siti Murni percaya hubungan erat dengan Allah SWT mampu ‘menjemput’ rezeki yang tidak disangka-sangka. “Bukan mahu menunjuk kebaikan diri jauh sekali perasaan riak. Setiap hari saya akan mengamalkan solat dhuha kerana besar kelebihan jika diamalkan. Selain itu, bacaan yassin juga penting untuk menenangkan hati dan mencari idea. Tidak dilupakan juga untuk bersedekah kerana dengan cara itu inshaallah akan menggandakan lagi rezeki kita.”

Di samping aktif menghasilkan koleksi rekaan tudung yang eksklusif dan menarik, perniagaan ibu berusia 31 tahun ini juga dibantu oleh 1500 usahawan dan ejen SITIMURNI di seluruh Malaysia termasuk Perth, Australia dan Singapura. Antara koleksi terbaharu yang dihasilkan adalah Muhasabah Cinta yang merupakan koleksi edisi terhad dan paling mudah serta cepat dipakai. Tidak ketinggalan, penghasilan minyak wangi Ricco yang kian mendapat sambutan ramai. SUZIANAABUDAUD

IKLAN
Share