Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot Serkat Pontian pada jam 11 pagi, Isnin, laporan wartawan Sinar Harian, Nor Azura Md Amin.
Solat jenazah itu turut disertai ahli-ahli politik, saudara-mara, rakan taulan dan masyarakat setempat.
Turut memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Lebih 1,000 orang ramai hadir ke masjid bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Turut dilihat berada di masjid, kepimpinan parti politik tanah air antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Naib Pengerusi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.
Sebelum Perdana Menteri tiba, solat jenazah turut dilaksanakan dan diimamkan anak sulung Salahuddin, Iskandar Zulkarnain, 37, yang mana difahamkan ia antara permintaan terakhir Allahyarham.
Salahuddin, 61, sebelum ini dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Allahyarham bagaimanapun telah selamat menjalani pembedahan pada pagi Sabtu dan berada dalam keadaan stabil di HSB, namun kesihatannya kian merosot menjelang malam semalam.
Sumber: Sinar harian | Foto: Instagram @anwaribrahim_my
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Gempar Penularan COVID-19 Di China, Dr Zulkifli Ismail Kongsi Petua Cegah Virus Selesema
Varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang kini sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember. Ini sekaligus petanda bahawasanya virus selesema masih berleluasa, seperti nasihat Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail.
Kedua-dua varian tersebut dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes tinggi di China.
Penyakit pernafasan bukan sahaja boleh merosakkan percutian anda, malah kesihatan juga boleh turut terjejas.
Penyakit yang dimaksudkan itu ialah penyakit influenza. Juga dikenali sebagai flu, penyakit ini bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh.
Terutama sekali jika anda berumur 65 tahun ke atas, dan lebih-lebih lagi jika anda menghidap diabetes, penyakit buah pinggang atau seumpamanya.
Penyakit flu boleh menyebabkan gangguan pernafasan akut, radang paru-paru serta pelbagai komplikasi serius yang lain. Ia juga boleh meningkatkan risiko serangan jantung lebih 10 kali ganda dalam tempoh 7 hari pertama selepas seseorang telah dijangkiti.
Risiko strok (angin ahmar) juga boleh bertambah sebanyak dua atau tiga kali ganda dalam tempoh dua minggu pertama jangkitan.
Hakikat bahawa flu dapat dikaitkan dengan serangan jantung, radang paru-paru dan strok, yang mana masing-masing merupakan punca kematian ke-2, ke-3 dan ke-4 tertinggi (selepas COVID-19) di Malaysia pada tahun 2022, adalah sesuatu yang membimbangkan.
MUSIM FLU
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4Life, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, menasihatkan agar masyarakat berhati-hati jika merancang untuk melawat negara-negara hemisfera utara yang mana kes flunya sedang meningkat pada masa musim sejuk ini.
“Walaupun Malaysia mengalami penularan flu sepanjang tahun, negara beriklim sederhana cenderung mengalami musim flu pada musim sejuk – iaitu Disember hingga Mac di hemisfera utara, dan Jun hingga Ogos di hemisfera selatan.
Namun pada tahun ini, musim flu telah bermula awal di hemisfera utara. Bilangan kes telah meningkat secara mendadak sejak bulan Oktober dan telah mengatasi jumlah kes yang dilaporkan pada bulan yang sama tahun lepas4.
Peningkatan ini diramalkan akan berterusan dan musim flu yang teruk dapat dijangkakan berlaku di kebanyakan destinasi utara yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia.” Dr Zulkifli Ismail
Setakat 2 Disember 2022, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menganggarkan seramai 8.7 juta rakyat Amerika telah dijangkiti, 78,000 telah dimasukkan ke hospital, dan 4,500 telah meninggal dunia akibat punca yang berkaitan dengan flu, dan media menggelarkannya sebagai ‘penularan wabak flu terburuk negara sepanjang dekad’.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Kesihatan Perancis telah mengisytiharkan keadaan flu di tiga kawasan di Perancis sebagai epidemik, dan lima lagi kawasan termasuk Paris dan kawasan sekitarnya – sebagai pra-epidemik.
Dalam kemas kini pertamanya untuk musim sejuk tahun ini, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) England melaporkan purata 344 pesakit flu telah melawat hospital setiap hari dalam satu minggu iaitu 10 kali ganda lebih ramai daripada jumlah yang dilihat pada awal Disember 20217.
Di Timur Jauh, pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan, Taiwan dan Jepun juga menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah kes flu yang semakin bertambah, serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan berlakunya pandemik berkembar – iaitu penularan serentak virus flu dan COVID-19.
***************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***************
KONTAK RAPAT
Datuk Dr Christopher Lee berpendapat bahawa pengembara harus memahami cara virus flu merebak. Beliau merupakan Perunding Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dan ahli Kumpulan Kerja Influenza Malaysia di bawah naungan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia.
“Bayangkan diri anda sedang menikmati suasana luar yang dingin dan sejuk. Tidak lama kemudian, anda mendapati diri anda tergesa-gesa memasuki sebuah kafe yang selesa, dan menyertai pengunjung-pengunjung lain memanaskan badan dengan minuman coklat panas.
Walaupun senario ini kedengaran baik, hakikatnya pada musim sejuk, kita lebih cenderung dijangkiti flu ketika berada di dalam bangunan. Melalui batuk, bersin atau percakapan, orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus flu di dalam persekitaran yang sesak dan kurang pengudaraan.
Anda juga boleh mendapat jangkitan virus flu dengan menyentuh meja, pemegang pintu dan permukaan-permukaan lain.
Bergantung pada jarak anda dengan sumber dan tempoh pendedahan, anda mungkin mengalami serangan flu yang teruk, dan terpaksa menghabiskan percutian yang berharga di atas katil atau di hospital.
Katakan anda berjaya mengelak jangkitan flu sepanjang berada di destinasi percutian. Jangan sangka yang anda pulang tanpa virus flu.
Di dalam pesawat, anda mempunyai kebarangkalian setinggi 80% untuk mendapat flu jika ada penumpang yang dijangkiti – sama ada dia menunjukkan gejala atau tidak – yang duduk satu baris di hadapan atau di belakang anda, dalam jarak 2 tempat duduk di kedua-dua sisi.
Apatah lagi, virus flu boleh hidup sehingga 48 jam di permukaan tertentu, termasuk pemegang ruangan simpanan bahagian atas, tali pinggang keledar, skrin video, dulang makanan, alas tangan dan panel kawalan.
Anda boleh cuba menyahjangkit barang-barang ini. Namun, menyahjangkitkan setiap objek yang akan anda sentuh apabila anda mendarat, seperti bagasi, troli, pemegang pam tandas, pemegang pintu kereta dan sebagainya adalah tidak praktikal.” Datuk Dr Christopher Lee
PENCEGAHAN
Patuhi SOP COVID-19 jika boleh. Walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, ia dapat membantu mengurangkan risiko dijangkiti flu. Namun, oleh sebab orang di sekeliling kita mungkin tidak melakukan perkara yang sama, langkah ini mungkin agak kurang berkesan. Oleh itu, mendapatkan perlindungan tambahan daripada vaksinasi flu tahunan adalah disyorkan untuk mencegah penyakit ini.
Apabila disuntik, vaksin ini memperkenalkan virus flu yang tidak aktif ke dalam badan kita. Virus-virus ini telah dibunuh dan tidak dapat menyebabkan penyakit. Walau bagaimanapun, ia akan merangsang badan untuk menghasilkan antibodi yang akan bertindak jika anda telah didedahkan kepada virus flu. Benarkan dua minggu untuk mencapai tahap imuniti yang diingini sebelum penerbangan anda.
Seperti vaksinasi COVID-19, vaksinasi flu membantu mencegah penyakit yang teruk, penghospitalan dan kematian. Vaksinasi flu juga dikaitkan dengan 34% pengurangan risiko kejadian kardiovaskular yang buruk. Terdapat juga penurunan risiko kematian sebanyak 18% yang dilaporkan dalam kalangan pesakit yang mengalami kegagalan jantung.
Dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit diabetes jenis 2, vaksinasi flu telah dikaitkan dengan pengurangan risiko kegagalan jantung sebanyak 22%, strok sebanyak 30%, serangan jantung sebanyak 19% dan radang paru-paru sebanyak 15%12.
Mengetahui bahawa virus flu sentiasa bermutasi, Datuk Christopher menambah lagi bahawa vaksin flu yang tersedia pada masa ini telah dikemas kini untuk melawan dengan berkesan subjenis virus ini, yang buat masa kini sedang merebak di hemisfera utara.
“Vaksinasi akan membantu mengurangkan risiko anda dijangkiti penyakit ini. Vaksinasi flu bukan hanya disarankan kepada mereka yang mengembara, tetapi kepada semua individu terutamanya golongan berisiko tinggi kerana kes flu yang melibatkan perjalanan udara boleh merebak dalam komuniti.
Jadi, jika anda belum mendapatkan vaksin terhadap penyakit flu, sekaranglah masa paling baik untuk melakukannya. Vaksinasi flu tahunan umpama pasport anda untuk percutian yang sihat. Jangan keluar rumah tanpanya.”
Vaksinasi flu boleh didapati di kebanyakan klinik swasta di Malaysia. Klik (di sini) untuk mencari klinik berhampiran anda.
Tolak Beg LV, Pilih Emas! DATO’ IFA RAZIAH Dapat Barang Kemas RM100,010 Dari Suami!
Bertuahnya empunya badan! Tumpang seronok tengok Dato’ Ifa Raziah sambut ulang tahun kelahirannya yang ke-47 pada 22 September lepas. Iyalah, bukan saja diraikan kenalan rapat malah yang lebih istimewa, terima hadiah ‘mahal’ daripada suami tersayang, Mohd Yani Abdul Rahman!
Bukan calang-calang pemberian pula tu. Khabarnya, ia merupakan hadiah paling bermakna bagi penyanyi ini kerana set barangan kemas yang diterimanya bernilai RM100,010!
Memetik kenyataan Dato’ Ifa kepada media, “Ini adalah hadiah paling bermakna sempena hari jadi saya tahun ini. Mula-mula suami suruh pilih, set barangan kemas atau barangan jenama Louis Vuitton (LV) memandangkan saya memang peminat LV.
Kalau ditawarkan jenama lain pun saya tak mahu. Tapi saya cakap dengan suami, tak mahu beg tangan sebab sudah ada banyak, penuh almari. Cukup-cukuplah.
Sekarang saya nak buat pelaburan demi masa depan. Saya nak jadi pengumpul emas. Andai kata suatu hari berlaku sesuatu pada kita, dengan pandemik selama dua tahun yang membuatkan ramai terjejas seluruh dunia membuatkan saya mahu menyimpan.”
Akuinya lagi, “Saya kini perlahan-lahan menyimpan duit dan emas. Kita tahu walau macam mana pun berlaku pada ekonomi, emas tetap ada nilainya.
Kalau saya pun tak senang hari ini, nak jual beg mungkin tiada nilai. Jadi lebih baik saya laburkan kepada sesuatu yang lebih bernilai, ada manfaat pada saya di kemudian hari.”
Jelas Dato’ Ifa Raziah yang mendedahkan video tular di media sosial ketika dia berada di sebuah kedai barangan kemas dan berbelanja lebih RM100 ribu adalah hadiah hari lahirnya yang ke-47.
Mengulas dakwaan menunjuk-nunjuk kerana memberitahu harga barangan kemas berkenaan yang mencecah ratusan ribu ringgit, Ifa berkata dia hanya memakainya mengikut kesesuaian majlis.
Ini antara rekaan yang dipilih suami untuk saya. Simbolik cintanya (rekaan bentuk love). Suami kalau boleh nak satu set, tapi hanya yang ini ada set.
Bila pakai yang bersaiz besar memang akan ditemani pengawal peribadi dalam empat atau lima orang. Habis saja majlis, saya akan buka dan simpan.”
Dato’ Ifa Raziah atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha juga merupakan seorang usahawan dan memiliki pelbagai cabang bisnes. Dato’ Ifa mendirikan rumah tangga bersama Mohd Yani Abdul Rahman pada tahun 2004.
Moga perkahwinan Dato’ Ifa dan suami terus bahagia serta berkekalan hingga ke syurga.
Amalkan Petua KUNING TELUR Ni Kalau Nak Rambut Kekal Sihat!
Kuning telur bukan saja sedap dimakan malah turut bermanfaat dalam penjagaan kesihatan rambut secara semula jadi. Bunyi macam mustahil tetapi cuba anda amalkan secara konsisten. Anda pasti akan berpuas hati dengan hasilnya. Paling penting murah dan selamat.
Dua cara ini boleh membantu anda untuk mendapatkan rambut yang kekal sihat, kuat dan bersinar.
MASKER RAMBUT
Terdapat berbagai cara untuk mengolah kuning telur sebagai masker rambut. Anda boleh mencampurnya dengan minyak zaitun. Caranya mudah sahaja.
- Pisahkan kuning telur kemudian campurkan 1-2 sudu besar minyak zaitun.
- Kemudian kacau sehingga rata.
- Kemudian sapukannya ke seluruh rambut.
- Urut kulit kepala secara lembut agar kandungan masker meresap lebih baik ke dalam lapisan rambut dan kulit kepala. Elak menggosok terlalu kuat.
- Biarkan selama sejam sambil menutup rambut dengan tuala panas.
- Bilas sehingga bersih.
MAKAN KUNING TELUR
Boleh juga diamalkan makan kuning telur secara rutin setiap pagi. Ia membekalkan protein, vitamin B dan folat yang bukan hanya bagus untuk rambut bahkan kesihatan badan. Namun hati-hati jika anda alergi telur. Anda tidak disarankan untuk mengamalkan kedua-dua cara ini. Makan kuning telur mengikut cara yang betul dan jangan berlebihan kerana ia boleh meningkatkan kadar kolesterol.
MANFAAT KUNING TELUR UNTUK KESIHATAN RAMBUT
- Membantu merawat rambut rosak.
- Menguatkan akar rambut.
- Melembutkan rambut.
- Mengurangkan kelemumur.