Kegembiraan berganda buat pasangan selebriti Harris Annuar dan Asha Merican, malah tentunya ibu kesayangan, Kak Ton apabila selamat menimang cahaya mata sulung pada bulan Ramadan.
Harris atau Mohammad Harris Shahrul Annuar berkongsi berita gembira itu sambil berkongsi butir kelahiran anakanda tercinta.
“11.51PM 26/3/23 5 Ramadan Alhamdulillah Ya Allah, Assalamualaikum wahai anakku Aura Medina binti Mohd Harris.”
MasyaAllah, paling suka bila bayi perempuan seberat 2.76kg itu diberi nama Aura Medina atau bermaksud ‘Cahaya Madinah’. Memang besar maknanya!
Asha Merican selamat melahirkan di Hospital Pakar KPJ Perlis pada Ahad, kira-kira pukul 11.51 malam. Selebriti ini terpaksa melahirkan secara pembedahan selepas proses kelahiran normal gagal.
Ads
Menurut sumber Mstar, isteri Aboy dijangka bersalin pada 10 April depan namun sudah terdapat tanda-tanda kelahiran dan bukaan sebanyak 2cm.
Harris turut menerangkan bahawa isterinya membuat permintaan untuk bersalin di Perlis kerana ingin dijaga oleh ibunya sendiri sepanjang tempoh berpantang.
Dikenali sebagai anak bongsu dan paling manja dengan ibunya, berita kelahiran Aura Medina pastinya menambah seri keluarga pengasas kosmetik tersebut. Tambahan pula menjelang Hari Raya nanti, pasti meriah keluarga besar ini dengan tangisan bayi!
Ads
Kak Ton atau nama sebenarnya Zaiton Hassan merupakan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd. Sejak kemunculan Kak Ton pada tahun 2002, tagline popularnya ‘Comel Tak Kak Ton’ masih diingati hingga sekarang.
Mesra dengan panggilan nama Aboy, anak bongsu Kak Ton ini turut menjentik hati peminat apabila memberi pesan kepada isteri dan anaknya sewaktu di hospital.
“Ingat tau sayang. Kebahagiaan bukan dengan duit, kebahagiaan bila kita ada Allah.” Harris Annuar
Ads
Sebelum ini Aboy, 30 tahun, pernah berkongsi keadaan isterinya sepanjang melalui fasa kehamilan yang berdepan pelbagai alahan pelik. Antaranya muntah apabila mendengar lagu-lagu Melayu atau Bahasa Inggeris dan terpaksa bau simen di kawasan tangga kecemasan bagi menghentikannya.
Dalam pada tu, isteri Aboy juga pernah mengidam bermain lato-lato dan beliau dalam keadaan terpaksa ‘melayan’ permintaan tersebut bagi menjaga hati ibu mengandung.
Untuk rekod, Aboy yang juga peserta rancangan Hero Remaja musim 2017/18 ini selamat mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan juga model, Asha Merican pada 11 Jun 2022 selepas empat tahun bercinta.
********************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
Sejak perkahwinan mereka 66 tahun lepas, isteri bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengakui bukan mudah bergelar isteri kepada negarawan itu.
“Dari awal lagi saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun Dr Mahathir saja. Tak nampak saya.
Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.” Tun Dr Siti Hasmah
Wanita berusia 96 tahun ini ketika ditemu bual menerusi program ‘Mak Untuk Malaysia’ anjuran Sinar Harian Online mengakui, di usia sekarang, beliau bersifat lebih melindungi (protective) suami tercinta.
“Sebagai isteri menjadi tanggungjawab saya untuk memantau kesihatan suami sebaik mungkin.
Kami berdua sudah berusia 96 tahun sudah tentu perlu menjaga kesihatan di tahap terbaik. Jadi bila beliau ke mana-mana, saya akan iringinya.
Ada kala saya bimbang bila beliau dikerumun orang ramai. Saya minta maaf sekiranya pernah menegur sesiapa yang pernah datang dekat.
Apa yang saya buat untuk memastikan beliau tidak jatuh sakit memandangkan di usia sekarang, saya harap masyarakat di luar sana faham.” Tun Dr Siti Hasmah
CEMAS
Berkongsi pengalaman, Dr Siti Hasmah mendedahkan pernah berdepan detik cemas apabila Dr Mahathir hilang dari pandangan ketika sambutan Hari Merdeka pada Ogos lalu.
“Beliau mungkin nampak okey dan bertenaga, kuat berjalan, ketika berada di luar tetapi bila di rumah, saya sahaja yang nampak keadaan beliau sebenar.
Baru-baru ini ketika sambutan Hari Merdeka saya cemas bila beliau hilang dari pandangan saya. Bukan setiap masa tetapi ada kala saya halang untuk orang ramai datang dekat, jangan peluk dan sebagainya. Semuanya demi menjaga kesihatan beliau.
Bantu saya untuk jaga suami saya.” Tun Dr Siti Hasmah
Menjawab soalan sama ada beliau bersetuju sekiranya suaminya sekali lagi bergelar Perdana Menteri dengan tenang Dr Siti Hasmah menjawab…
“Sudahlah… untuk menjadi isteri Perdana Menteri, saya sudah puas.”
Beliau juga mengakui bukan mudah mendampingi seorang suami yang bergelar Perdana Menteri Malaysia.
“Waktu muda dulu okey sebab waktu itu penglihatan saya masih baik dan badan juga cergas. Tugas saya sebagai isteri Perdana Menteri juga memerlukan saya turun padang untuk bermesra dengan masyarakat. Tempoh 22 tahun bukan sekejap.
Lebih penting sekarang, saya mahu menemani dan akan terus menjaga kesihatan beliau agar terus sihat.” Tun Dr Siti Hasmah
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sememangnya memiliki pakej lengkap seorang Permaisuri. Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, peribadi yang lembut dan merendah diri bahkan baginda juga seorang permaisuri berpendidikan tinggi.
Tanggal 22 Mac 2021 merupakan ulang tahun keputeraan Tuanku Zara menyambut yang ke-48. Baginda ialah anak bongsu daripada empat adik-beradik yang diputerakan di Ipoh, Perak. Tahun lalu, sempena ulang tahun keputeraan ke-47 baginda telah berkenan membuka akaun Instagram rasmi milik baginda iaitu Tuanku Zara Salim.
Tuanku Zara bertemu jodoh dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika baginda berusia 34 tahun.
Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera baginda Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diputerakan pada 14 Mac 2008. Manakala puteri baginda yang diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Nazira Safya pula diputerakan pada 2 Ogos 2011.
Menelusuri latar belakang pendidikan Raja Permaisuri Perak ini, memetik laporan portal Orang Perak, Tuanku Zara mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolah dalam sukan skuasy dan tenis serta mewakili negeri Perak dalam sukan renang. Selain aktif dalam bidang sukan, baginda juga cemerlang dalam akademik.
Ketika berusia 22 tahun, Tuanku Zara menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia kelas pertama di University of Nottingham, United Kingdom pada Julai 1995. Selepas menamatkan pengajian, baginda berkhidmat di syarikat petroleum negara Petronas selama enam tahun.
Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan menyandang jawatan penting dalam projek berskala besar.
Mendekati latar belakang Tuanku Zara, ayahanda baginda iaitu Datuk Seri William Stanley Walker Davidson atau Salim Davidson ialah seorang peguam terkenal di Malaysia. Manakala ibunda baginda pula ialah Datuk Seri Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin yang merupakan kerabat diraja Kedah di sebelah bonda baginda.
Tuanku Zara merupakan cicit kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anakanda cucunda saudara kepada Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Sesungguhnya Tuanku Zara memiliki keperibadian dalaman dan luaran yang menawan. Malah, kemunculan baginda dalam istiadat mahupun majlis-majlis rasmi sering mencuri perhatian kerana penampilan Raja Permaisuri Perak ini yang anggun dan elegan.
Kredit foto: Instagram Perak Diraja, Royal Terengganu Songket, Malay Royalties
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ilmu penjagaan kulit yang diminati menjurus kepada idea mengatur empayar bisnes sendiri, lalu terciptanya Dermalene yang kini menjadi sebuah jenama gah mempelopori solusi kesihatan kulit wanita moden hari ini.
“Jika dulu kecantikan dilihat dari segi cerahnya kulit, mancungnya hidung dan rampingnya tubuh badan, kini ia kian subjektif. Kecantikan wanita terletak pada personaliti masing-masing dan ‘how you age gracefully’. Walau semua orang akan berumur, kita berhak untuk merasa cantik dari luar dan dalam”, ujar Dr. Alina membuka bicara.
Pertama kali memandang, jelas di mata memang anggun dan mulus kulit wajahnya. Padanlah dengan siapa gerangan pemilik nama Alina Hasni Mohamad Rashid ini. Memiliki rangkaian klinik penjagaan kesihatan kulit Dermalene yang semakin popular, Dr. Alina akui sedari awal, mengubah transisi dari sekadar berkongsi perihal kulit kini kepada perusahaan sendiri tidak semudah disangka.
Memulakan karier sebagai pegawai perubatan pada tahun 2010 selepas menamatkan pengajian dari Russian State Medical University, di Moscow. Enggan berpuas hati, dilanjutnya lagi pengajian Master dalam bidang Clinical Dermatology dari Cardiff University dalam pada masa yang sama meneruskan latihan dalam kampus d University Hospital of Wales, di mana diperakui salah satu universiti terbaik dalam dalam bidang dermatologi.
Dermalene bermula dari sebuah halaman FB yang sekadar berkongsi ilmu kulit, kerana tidak mahu terlalu selesa Dr. Alina akhirnya mengambil keputusan drastik untuk keluar dari ‘circle’ rakan niaganya lalu berazam menubuhkan perniagaan sendiri, “Dermalane, hasil dari gabungan ilmu perubatan kulit Dermatologi dan nama saya Alina, yang memfokuskan bukan sahaja kecantikan tetapi kesihatan kulit”.
DUNIA KECANTIKAN HARI INI
Perihal kecantikan tak sama jika dibandingkan zaman dahulu dengan era kini. Sebelum ini, andai timbulnya sebutir jerawat mahupun parut di muka sudah cukup meresahkan, namun wanita zaman kini dilihat lebih terbuka menerima ketidaksempurnaan.
Jelas Dr. Alina, “Kini kita boleh melihat wanita dengan tenangnya menerima bintik-bintik di wajah, garisan penuaan yang semakin nyata kerana sudah wujudnya teknologi terkini yang dapat menawarkan solusi segera” Malah, masalah wanita sekarang bukan lagi tentang masalah penjagaan wajah, namun lebih kepada pengurusan masa dan penjagaan kesihatan mental.
“Cabaran wanita zaman sekarang adalah lebih kepada bagaimana mereka membahagikan masa antara kerja dan peribadi. Ekoran itu, tekanan atau peringkat stres sentiasa berada dalam keadaan tinggi, dan sudah semestinya hal ini tidak bagus untuk kesihatan tubuh badan mahupun kulit untuk jangka masa panjang. Dan di sinilah Dermalene berfungsi.
Bertindak sebagai Skin Life Partner atau Rakan Kulit Anda, produk dan servis Dermalene adalah untuk membantu mereka yang kurang masa terluang, dan mahukan pelan pengurusan kulit jangka masa panjang untuk kulit mereka. Penjagaan kulit bukan sesuatu yang bersifat intensif tapi juga bersifat konsisten.”
Jadi apakah nasihat ulung Dr. Alina untuk wanita di luar sana berhubung perihal menjaga kecantikan kulit dan kesihatan wajah? “Protect first, then beautify. Jaga kulit dulu, baru pakai mekap. Skin first, make-up second”, ujarnya ringkas.
TIDAK TUNDUK PADA CABARAN
Wanita anggun yang hobinya mendengar audio siar, melukis dan menulis ini ternyata petah berkata dan manis kala berbicara. Mungkin darah keturunan Arab yang mengalir dari dalam dirinya membuatkan dirinya sangat mudah didekati. Ketika sesi pengambaran, walau jarang beraksi di hadapan kamera, namun setiap lagak yang kami inginkan, nyata disampaikan dengan begitu baik sekali.
Apa cabaran awal yang dihadapi ketika Dermalene mula ditubuhkan, soal penulis menyambung bicara. Mengakui tidak mahir dan kurang berkemahiran di awalnya, siapa menyangka beliau sendiri pernah terpaksa menanggung kerugian dek beranggapan ilmu kulit dan ilmu menguruskan perniagaan sama dan tiada bezanya.
“Antara cabarannya adalah dari segi menguruskan manusia, from partners to team members. Awalnya saya membuka bisnes untuk membantu dalam menyediakan rawatan kulit tetapi saya lupa bahawa ilmu kulit dan ilmu bisnes adalah dua ilmu yang berbeza yang memerlukan saya untuk ‘berguru’ dan belajar lebih mendalam.”
Namun mujurlah, dirinya tersedar dari bayangan dan bangkit mengubah pandangan. “Dengan ada pembimbing bisnes seperti Tuan Sahar dan Ibu Hanim, Dermalene berjaya diselamatkan dari kerugian selepas diperkukuhkan dengan asas-asas yang penting dalam bisnes seperti ‘cost structure’ dan juga ‘the big why’”.
Jika kata orang, di sebalik kejayaan lelaki ada wanita dibelakang, situasinya tidak jauh beza bagi jelas ibu kepada 3 orang cahaya mata ini. Mensyukuri kelibat suami yang tetap berada di sisi jatuh dan bangunnya, Dr. Alina mengakui teman sehidup dan sematinya itu banyak membantu dalam memberikan sokongan dan dorongan.
“Selepas pandemik, suami saya Zarif yang juga seorang akauntan ketika itu sanggup menamatkan kariernya pada pertengahan 2022 demi bersama-sama saya menerajui Dermalene”. Impaknya, mereka berdua memberanikan diri untuk membuka sebuah lagi cawangan di Bangi.
Dan sehingga kini, tiga buah lagi cawangan Dermalene kini dalam perancangan untuk dibuka iaitu di Setapak, Ampang dan Johor Bharu. Dermalene kini memiliki enam buah cawangan keseluruhan termasuk sebuah cawangan licensing di Kota Bharu. Harapan kami adalah untuk membuka 50 cawangan keseluruhan dalam Malaysia”, jelas Dr. Alina yang menginspirasikan Mrs Estee Lauder, pengasas syarikat gergasi Estee Lauder.
“Menerusi Dermalene, in a long term saya memasang impian untuk melahirkan pasukan pakar dermatologi terbaik untuk menyertai saya dalam membantu membina institut kulit kebangsaan Malaysia untuk kulit orang Malaysia pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Namun apa pula pandangan Dr. Alina apabila berhadapan dengan stigma wanita yang memegang gelaran CEO tidak akan bertahan lama, yang akhirnya merujuk kepada lelaki jua. “Semestinya saya tidak bersetuju. Mana-mana perniagaan sekalipun, baik diterajui lelaki mahupun wanita, keluarga dan sistem sokongan yang bagus adalah kunci utama kejayaan sesebuah bisnes. Tidak kira jantina, tugas hakiki seorang CEO adalah untuk menyelesaikan masalah, bermula dari masalah utama kepada masalah di sekeliling. Apabila ia mampu diselesaikan, wujudkan sistem untuk menyelesaikan masalah yang sama”.
Jadi Dr. Alina boleh dikira bak superwomen, apatah lagi perlu membahagikan masa antara bisnes, keperluan diri dan keluarga. Tergelak kecil dengan pendapat penulis, Dr. Alina sekeras-kerasnya menafikan pendapat penulis tadi.
“Superwomen sebenarnya tidak wujud. Give me an example of any women who have everything under control? Kalau ada, memang saya kagum. We are all imperfect beings; the only way forward is to try our best to achieve perfection. The pursuit of being under control”
Jadi apa agaknya rahsia kejayaan yang dipegang selama ini. “Get the right people on board. Perlu sentiasa meneroka potensi dalam diri dan belajar dari yang pakar. Percayakan staf seliaan anda. Kita harus akui kita tak boleh ke hadapan seorang diri. Kita kena belajar bagaimana hendak menguruskan staf dan jangan hanya fikirkan diri sendiri sahaja”, jelas Dr Alina mengakhiri perbualan.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.