Gaya Hidup

Awas, Kehausan Rawan Punca Utama Radang Osteoartritis!

Menempuhi usia emas tanpa dibelenggu penyakit, itu pastinya menjadi impian setiap individu. Namun kerana faktor urbanisasi, tekanan hidup, gaya hidup tidak aktif dan obesiti, ramai yang telah mula mengalami artritis atau radang sendi yang kronik. Tanpa tindakan awal, tidak mustahil penyakit degeneratif ini menjejaskan mobiliti anda, lantas memaksa seluruh sisa usia disia-siakan begitu sahaja.

Osteoartritis merupakan salah satu dari 150 penyakit radang sendi yang berlainan. Ia lazimnya menjejaskan sendi serta tulang-tulang berhampirannya, terutama sekali di bahagian tangan, bahu, tulang belakang, pinggul, lutut dan pergelangan kaki. Bunyi berkeriut seperti tulang bergeser, rasa ngilu ketika bergerak, pesakit hilang keupayaan mencengkam, pembengkakan serta kekejangan otot merupakan antara pelbagai derita osteoartritis, selain mempengaruhi fungsi sosial dan kemampuan diri seseorang.

Penyakit radang sendi ini berlaku apabila tulang rawan yang menampan hujung tulang keras, lama-kelamaan menyusut akibat permukaannya haus atau lusuh. Tulang rawan yang sihat sepatutnya bertugas seperti kusyen gebu untuk membolehkan sendi bergerak lancar tanpa sebarang kesakitan. Namun apabila pesakit mengalami osteoartritis, situasi tulang rawan yang rosak ini membuatkan setiap pergerakan begitu pedih dan menyakitkan kerana berlakunya geselan tulang ke tulang.

Anggaran menunjukkan lebih 30% dari penduduk Malaysia yang berusia 65 tahun ke atas menderitai osteoartritis. Selain faktor peningkatan usia, punca-punca penyebab lain yang menjurus kepada risiko osteoartritis ialah:

  • Obesiti,
  • Trauma atau kecederaan semasa bersukan,
  • Melakukan pekerjaan yang terlalu berat,
  • Rawan yang telah berubah sifat disebabkan penyakit lain atau kecacatan,
  • Jangkitan kuman,
  • Genetik atau perubahan hormon,
  • Gaya hidup tidak aktif.

SENDI TUA ATAU OSTEOARTRITIS?

Osteoartritis tidak hanya berlaku pada golongan tua, malah kini semakin ramai golongan muda yang turut menderitai penyakit ini. Sendi tua berlaku kerana proses semulajadi, sedangkan osteoartritis adalah radang sendi yang mengalami proses degenerasi akibat pelbagai penyebab. Kajian oleh Yayasan Artritis Malaysia turut menunjukkan hampir 10% – 20% dari populasi dewasa Malaysia menghidap artritis, namun kebanyakannya masih tidak menyedari tentang penyebab osteoartritis.

SIMPTOM-SIMPTOM

  1. Kejang ketika bangun tidur
  2. Terpaksa jalan membongkok untuk mengelak sakit pinggang
  3. Muncul bunyi bergeser atau berkeriut
  4. Otot betis mengecut
  5. Sendi membengkak dan kemerahan
  6. Hilang keupayaan mencengkam seperti tidak boleh menyikat rambut sendiri, memegang pen, mengikat tali kasut, memetik piano dan memakai butang baju

PROSES RAWATAN

  1. Imej sinaran-x di bahagian sendi
  2. Ujian darah

RAWATAN

Radang sendi boleh dilindungi dan disembuhkan menerusi pelbagai siri terapi dan rawatan osteoartritis. Namun kebanyakan ubat-ubatan ini mengandungi bahan penahan sakit yang jika digunakan secara berterusan, mampu menyebabkan pendarahan gastrousus. Begitu juga dengan rawatan pembedahan yang mahal dan rumit dijalankan.

Osteoartritis boleh dicegah dengan pengawalan berat badan ke tahap jisim yang ideal serta melakukan aktiviti senaman yang sederhana seperti berbasikal, berenang dan membuat regangan otot. Namun disamping itu, gaya hidup tidak aktif serta kegiatan senaman berimpak tinggi pula mampu meningkatkan risiko individu untuk menghadapinya.

Selain menyapu minyak untuk mengurangkan kesakitan, anda juga boleh mengambil ubat-ubatan penahan sakit atau anti-radang. Teknik suntikan ke dalam sendi lutut menggunakan pelincir (lubricant) atau steroid sebagai alternatif dapat mengurangkan kesakitan dalam sesetengah kes. Anda juga boleh mencuba kaedah tradisional seperti akupunktur dan menggunakan tongkat, sebelum memilih untuk meneruskan pembedahan jika derita terlalu kronik.

Selain osteoarthritis, jenis radang sendi yang sering dihidapi golongan dewasa adalah rheumatoid (sering menyerang wanita), arthritis akibat jangkitan kuman dan gout. Tanda-tanda arthritis adalah sakit sendi (tangan, pergelangan tangan, jari, pergelangan kaki, punggung, di bahagian bawah tulang belakang) serta sendi bengkak dan kekejangan sendi.

PENCEGAHAN

  • Mengawal faktor penyebab
  • Memastikan diri sentiasa aktif dan produktif
  • Melakukan olahraga yang teratur
  • Mengambil makanan yang tinggi antioksidan, vitamin A, C, E dan selenium
  • Meningkatkan pengetahuan tentang risiko osteoartritis
  • Mengurangkan beban kerja yang keterlaluan
  • Meningkatkan kualiti hidup dan kemampuan diri
IKLAN
Share