Ayuh, Mulakan Tugas! Wanita Pertama Naib Presiden AS, Kamala Harris Optimis Satukan Negara

Bekas Senator California, Kamala Harris menjadi wanita pertama mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden baharu Amerika Syarikat (AS).

Upacara itu diadakan di hadapan Hakim Mahkamah Agung, Sonia Sotomayor di Capitol, Washington.

Kamala Harris, 56, bukan sahaja wanita berketurunan Afrika-Amerika tetapi Asia-Amerika pertama yang dilantik jawatan kedua tertinggi tersebut.

Wanita kelahiran Oakland, California ini merupakan anak imigran. Ibunya, Shyamala Gopalan berasal dari India manakala bapanya, Donald J. Harris berasal dari Jamaica.

Selepas ibu bapanya bercerai, Kamala dibesarkan oleh ibunya yang merupakan seorang penyelidik kanser dan aktivis hak sivil.

Kamala dibesarkan dengan budaya masyarakat India namun masih menitikberatkan budaya Afrika-Amerika sepanjang dia bersama adik perempuannya, Maya yang dibesarkan di Oakland.

Kamala mendapat pendidikan di Universiti Howard, salah satu pusat pengajian terkenal di Amerika dan menyifatkan sepanjang menuntut, institusi itu telah membentuk siapa dirinya hari ini.

Kamala memberitahu dia tidak pernah berasa terancam tentang siapa dirinya sebaliknya berpendapat politik tidak perlu dikategorikan berdasarkan warna kulit atau latar belakang mereka.

Bapa saudaranya, Balachandran Gopalan yang juga seorang ahli akademik memberitahu, ibu Kamala yang meninggal dunia pada 2009 pasti akan berasa bangga dengan pencapaian wanita itu sekiranya mendiang masih hidup.

Balachandran juga memberitahu seluruh keluarga besar mereka akan berkumpul di Washington termasuk dari India, Kanada dan Mexico bagi menyaksikan detik bersejarah itu nanti.

Bagaimanapun dunia Islam menganggap tiada peranan dapat dimainkan oleh Kamala terutamanya dalam membela nasib rakyat Palestin atas faktor beliau mempunyai pertalian dengan bangsa itu.

Ini kerana, Kamala berkahwin dengan Doug Emhoff, 56, yang juga berbangsa Yahudi pada 2014. Joe Biden dan Kamala memulakan tugas rasmi mereka pada 20 Januari 2021.

Sumber: Astro Awani, Instagram @kamalaharris

IKLAN
Share