Gaya Hidup

Bagaimana Nak Elakkan Pembantu Rumah Lari? 9 Cara Ini MESTI DIBUAT Oleh Setiap Majikan

Masalah pembantu rumah lari dan sebagainya bukanlah satu perkara baru. Ada yang baru bekerja tidak sampai seminggu, kemudian menghilangkan diri.

Ada yang dua tahun bekerja dan kemudian pulang bercuti tetapi tidak muncul atau datang kembali. Perkara ini selalu terjadi dan pastinya majikan selalu menyalahkan pembantu rumah yang tidak berhati perut, tidak bertimbang rasa, jahat, suka mengambil kesempatan dan sebagainya.

Namun ada juga keadaan yang pembantu rumah telah bekerja dengan majikan bertahun-tahun lamanya dan kebanyakan daripada mereka berkata majikan sangat baik, memahami keperluan mereka dan tidak berlaku penindasan yang teruk.

Pembantu rumah juga manusia biasa, punya hati dan perasaan. Mereka bekerja untuk mencari rezeki dan tidak mungkin mereka tahu apa yang kita kehendaki sekiranya mereka tidak diberitahu apakah keperluan yang majikan inginkan daripada mereka sebenarnya.

Selain persefahaman dan sedikit kesabaran, masalah yang dihadapi di antara majikan dengan pembantu rumah boleh diatasi dengan menentukan keperluan sebenar mereka di rumah kita.

Nyatakan dengan jelas sama ada mereka diperlukan untuk mengasuh anak-anak, mengemas rumah atau kedua-duanya sekali.

Dan perlu memahami keperibadian pembantu rumah tersebut dan ceritakan juga sedikit karakter peribadi anda sendiri apa yang anda suka dan tidak supaya ia mudah difahami oleh mereka.

Melalui cara ini persefahaman akan wujud dan secara tidak langsung dapat mengurangkan rasa ketidakpuasan hati anda kepada pembantu rumah.

  1. Majikan dan keluarga perlu sedar dan bersedia menerima kehadiran pembantu rumah asing ke dalam keluarga mereka. Majikan adalah seperti ketua yang akan menerima pekerja baru yang melaporkan diri dan semestinya anda telah membuat persediaan.
  2. Berkenalan dan mengetahui serba sedikit latar belakang maid yang baru sampai. Memberitahu secara ringkas tujuan mereka bekerja dan tugasan yang diberikan kepada mereka. Perlu dinyatakan peraturan-peraturan khusus keluarga majikan yang perlu dipatuhi oleh mereka. Ini perlu ditekan dari awal penerimaan mereka ke dalam rumah majikan.
  3. Majikan yang beragama Islam sebaiknya menyatakan tanggungjawab maid dalam aspek beragama seperti bersolat dan menutup aurat. Sila pastikan mereka mempunyai pakaian kerja yang lengkap dan bersesuaian. Berusahalah mendidik mereka terutama tentang solat dan membaca al-Quran.
  4. Benarkan maid menghubungi keluarga mereka sebelum memulakan kerja supaya mereka boleh lebih fokus kepada tugasan harian.
  5. Pastikan makanan/minuman yang mencukupi untuk maid. Majikan selalu mengharapkan maid akan bertindak seperti di rumah sendiri. Sebaliknya maid pada peringkat awal akan merasa segan silu untuk makan apatah lagi dengan kehadiran majikan. Bertanyalah sekiranya maid belum makan dan suruhlah mereka makan dan rehat pada waktunya.
  6. Pastikan maid mendapat rehat dan tidur yang mencukupi. Ini penting untuk mereka menjalankan tugasan supaya tidak lesu dan mengantuk di siang hari.
  7. Jika maid sakit sila pastikan mereka mendapat rawatan segera. Mereka wajib mendapat perlindungan insurans kerana bayaran kos perubatan di hospital kerajaan adalah tinggi.
  8. Keperluan asas wanita perlu disediakan oleh majikan seperti tuala wanita, syampu, sabun, ubat gigi dan lain-lain yang berkaitan.
  9. Jika terdapat kesalahan yang dilakukan oleh maid elakkan daripada menengking dan meninggikan suara sebaliknya beri bimbingan dan tunjuk ajar dengan cara yang berhemah. Pembantu yang sensitif akan memendam rasa. Maid adalah manusia biasa yang ada perasaan dan perlu dihormati. KR

Sumber: Agensi Pekerjaan Gemayan

IKLAN
Share