“Baju Kotor & Bau Hancing Bercampur Sekali Dalam Beg Anak-Anak. Paling Sedih Mereka Macam Kebulur Setiap Kali Balik Dari Taska” RAJA NORLI AKMA

Penulis blog Orlylove, Raja Norli Akma Raja Abdul Manan antara ibu malang yang pernah melalui pengalaman perit ini sekitar tahun 2013 dengan sebuah taska berhampiran rumahnya sehingga mengakibatkan gangguan emosi dan mental terhadap anak keduanya, Sara.

Selain trauma, Sara juga menunjukkan perubahan drastik seperti murung, gemar menyendiri dan pasif. Walaupun enam tahun telah berlalu tapi detik itu masih segar dalam ingatannya. Tak mahu menyalahkan takdir, Raja Norli mengakui kekhilafan dirinya yang ambil mudah tentang hal ini. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan ikhtibar buat ibu bapa.

ANAK-ANAK SERING MENGADU
“Asalnya, saya mencari taska sekitar tempat tinggal di Taman Melati, Wangsa Maju. Sejak kecil anak-anak memang dihantar banyak tempat untuk orang jaga sebab saya dan suami kerja.

Saya hantar anak-anak ke taska tu sebab yurannya sangat murah berbanding tempat lain. Untuk tiga orang saya hanya bayar RM650 saja. Lagi satu dekat dengan sekolah anak yang sulung. Jadi, taklah jauh sangat van nak hantar dari sekolah.

Bulan pertama kat taska, anak-anak selalu mengadu pasal pengasuh tu tapi saya anggap mereka mengada-ngada dan terlalu manja. Anak pernah mengadu cikgunya ketuk kepala dia tapi saya malas nak percaya. Saya cuma kata, cikgu tu sebenarnya baik. Mungkin dia terketuk saja.

Macam tu lah ayat saya setiap kali nak sedapkan hati anak-anak termasuk diri saya sendiri. Tak tahulah kenapa saya tak pernah ambil serius tentang apa yang diluahkan oleh anak-anak. Masa tu Sara berumur tiga tahun manakala anak ketiga, Qalesya baru berumur setahun. Memandangkan Sara masih pelat, kakaknya Batrisyia lah yang akan menceritakan apa yang cikgu tu buat pada Sara dan Qalesya.

Setiap kali nak hantar Sara ke taska dia akan menangis sambil meronta-ronta tak nak turun kereta. Setiap pagi mesti ada adegan kejar mengejar dengan Sara keliling kereta. Saya dan suami terpaksa angkat dan seret Sara masuk ke taska. Setiap kali terkenangkan saat tu memang sedih sangat. Kasihan Sara..

Paling sedih anak saya seperti kebulur setiap kali saya ambil dari taska. Baju kotor dan bau hancing bercampur sekali dalam beg pakaian anak-anak. Perubahan bulan kedua, Sara bukan saja tak nak ke taska malah sebaik bangun tid dia terus mengamuk dan tak nak keluar rumah. Saya masih ‘bodoh’ dan heret anak ke taska. Lepas tu terus lari masuk kereta dengan harapan biarlah cikgu yang pujuk.

Qalesya pula ada garis panjang macam kena ketuk dengan pembaris tajam pada muka dan dahi. Pihak taska kata ada budak lain yang buat. Saya bukan tak nak percaya kat anak-anak tapi nak mereka kuat. Jatuh bangun sendiri, kena ketuk dan terhantuk gosok sendiri.

Perubahan bulan ketiga, Sara dah mula mengigau dan bercakap dalam tidur. Cakap cikgu tarik rambut dan macam-macam lagi sampai saya pun naik takut. Saya dan suami mula risau. Walaupun Sara tak pandai cakap sangat tapi selalu mengadu cikgunya tarik rambut. Kami bawa Sara ke pusat perubatan Islam, hanya untuk ambil air penawar saja. Kami risau Sara lemah semangat.

Rutin biasa, saya masih mengejar dan mengheret Sara ke taska. Sampailah Sara muntah-muntah tepi kereta. Waktu tu ada seorang bapa yang turut hantar anaknya ke situ pesan kepada saya, kalau anak tak nak masuk lebih baik tukar taska saja. Saya balik rumah dan bincang dengan suami. Kami pun setuju untuk tukar taska.

Dalam tempoh mencari taska lain, ada satu hari tu saya terpaksa balik kerja lambat sebab banyak kerja. Mujurlah ibu sudi tolong untuk ambil anak-anak di taska. Sampai saja di rumah, ibu cakap Sara demam panas, sesak nafas dan semput. Sara diserang asma. Berderau darah saya dibuatnya. Saya terus hubungi cikgu taska.

Saya memarahinya sebab tak maklumkan keadaan Sara. Saya terkejut dengar jawapan cikgu tu, katanya anak saya sakit belah petang dekat-dekat nak balik dah. Paling buat saya marah dia pula tanya saya kenapa tak prepare ubat siap-siap dalam beg. Katanya dari pagi Sara macam tak sihat. Dia hanya sapu krim di dada Sara.

Petang tu Sara terpaksa ambil nebulizer tiga kali di hospital. Kalau tak, dia pasti diwadkan. Dalam tempoh 24 jam saya terus stop hantar anak-anak ke taska tu. Saya langsung tak hubungi cikgu taska. Dia pula cuma hantar SMS tanya kenapa saya tak hantar anak tapi saya tak balas.”

VIRAL

“Sebenarnya saya sangat berterima kasih kepada salah seorang bapa yang nekad menyiasat sendiri dengan meletakkan kamera dalam beg anaknya. Ternyata memang ada bukti kukuh bahawa berlakunya penderaan di taska itu. Lantas video itu disebarkan ke pengetahuan umum dan terus menjadi viral!

Saya tak ketinggalan turut memviralkan lokasi taska tersebut. Keesokannya pemilik taska ditangkap. Rupa-rupanya taska tu tak berdaftar secara sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.”

JADI IBU YANG PRIHATIN

“Pesan saya, jadilah ibu yang sentiasa peka dengan perubahan anak-anak terutama yang dihantar ke taska atau pengasuh. Hakikatnya, anak-anak kecil memang tak pandai menipu. Lepas insiden tu saya nekad berhenti kerja. Biarlah anak-anak ada depan mata asalkan selamat bersama kami. Dapat juga masa berkualiti bersama keluarga.

Alhamdulillah kini saya ada bisnes sendiri, Royal Koffee di samping membantu golongan ibu tunggal dan surirumah menjana pendapatan tambahan. Selain berbisnes, saya juga merupakan Pengurus Pemasaran dan Jualan di Halba Cafe, Dataran Wangsa Melawati.”

Kredit Foto: Raja Norli Akma

IKLAN
Share