Bak Jelmaan Puteri Kayangan, TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN Tampil Mempesona!

Tak puas menatap wajah anggun Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Ke mana saja pergi, kemunculan baginda pasti mencuri perhatian ramai. Sememangnya Tengku Permaisuri Norashikin punya aura luar biasa yang mampu membuatkan semua mata tertarik dengan pesona yang dimiliki.

Sabtu lalu, Tengku Permaisuri Selangor telah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Ulang Tahun yang ke-50 Sekolah Seri Puteri (SSP) di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Lengkap berbusana tradisi songket rona biru firus, ketibaan baginda disambut dengan penuh mesra. Melihat penampilan Tengku Permaisuri Norashikin… baginda persis seorang puteri kayangan yang sarat dengan nilai ketimuran yang tinggi, sopan dan elegan dalam kelas tersendiri.

Selain dikurniakan raut wajah jelita dan perwatakan lemah-lembut, Tengku Permaisuri Norashikin juga dilihat tidak lekang menguntum senyuman kepada tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

Pada majlis tersebut, Baginda yang juga Penaung Diraja SSP turut berkenan menyaksikan penyerahan cek sumbangan daripada Persatuan Alumni Sekolah Seri Puteri (PUTERI) kepada SSP.

Dengan mengangkat tema ‘Hikayat Puteri’.. majlis dimeriahkan dengan kehadiran 700 tetamu terdiri daripada alumni SSP, guru dan bekas guru SSP dari seluruh Malaysia.

Untuk makluman, Sekolah Seri Puteri yang ditubuhkan pada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Namun pada tahun 2003, sekolah itu dipindahkan ke premis baharu di Persiaran Tasik Cyberjaya.

Sumber: Instagram Selangor Royal Official

IKLAN
Share