Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay yang yang baru sahaja menerima ahli keluarga yang baru. Anak sulungnya, Lim Keong Hui dikhabarkan sudah pun mengikat tali perkahwinan bersama dengan kekasih hatinya, Ten-ni Soh dalam satu majlis tertutup selepas empat tahun menjalinkan hubungan.
Walaupun majlis resepsi perkahwinan dijangka akan diadakan hujung tahun ini, kelihatan ramai rakan rapat dan keluarga hadir pada majlis tertutup tersebut meraikan pasangan tersebut, termasuk Tan Sri Lim Kok Thay dan isteri, Cecilia Lim. Majlis yang meriah itu menyaksikan pasangan pengantin baru tersebut menandatangani pendaftaran perkahwinan mereka dan bergambar di sekitar kolam renang dengan berlatar belakang jambangan bunga.
Ads
Menurusi hantaran di Instagramnya, Keong Huu berkongsi saat manis dia mengenali dan melamar kekasihnya.
“Ini merupakan satu perjalanan yang sangat indah. Selama 3 tahun 11 bulan 5 hari, sejak dari makan malam pertama kita berdua di Malaysia, awak telah mengubah hidup saya dengan pelbagai cara yang indah dan tidak pernah saya bayangkan! Jutaan terima kasih kerana memberikan jawapan YA, dan saya tidak sabar untuk awak melayan kerenah saya. Saya sayangkan awak”.
Ads
Menurut laporan China Press, Keong Hui, 38, dan Ten-ni, 35, mereka berdua dijangka melangsungkan resepsi perkahwinan mewah pada 8 Oktober 2022 di Hotel Awana di Resorts World Genting. Seperti yang dilihat di Instagramnya, Keong Hui ialah pengerusi Zouk Genting dan Zouk Singapura. Beliau juga dicanang-canang sebagai pewaris kepada empayar Genting Group.
Sementara itu, menerusi carian Internet, Ten-ni merupakan seorang doktor tempatan dan juga pengerusi GT Diagnostics – sebuah syarikat di UK yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Semoga perkahwinan mereka bahagia sentiasa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setelah enam bulan mengikat tali pertunangan, hujung minggu lalu anak sulung Datin Seri Umie Aida iaitu Mohd Danial Firdaus selamat bergelar suami kepada Hanis Zahira Mohd Ghazali. Majlis ijab kabul pasangan mempelai ini berlangsung di sebuah masjid di ibu negara secara sederhana namun meriah yang dihadiri ahli keluarga terdekat. Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada Datin Seri Umie sekeluarga!
Menerusi perkongsian aktres popular ini di Instagram miliknya, jelas terpancar wajah ceria dan teruja Datin Seri Umie Aida sebagai mentua. Iyalah, sebagai ibu pastinya beliau gembira melihat anak tersayang kini melangkah masuk ke fasa hidup baru. Malah, bintang filem Dukun ini tidak ketinggalan menitipkan doa terbaik buat Mohd Danial dalam melayari alam rumah tangga.
“Pesanan ibu buat Mohd Danial Firdaus, berpegang teguhlah kepada Al-Quran dan As-Sunnah. InsyaAllah selamat dunia akhirat. Belailah isterimu dengan penuh kasih sayang. Ibu doakan Danial dan Haniz sentiasa dalam peliharaanNya dan rahmatNya. Aamiin.”
Dalam satu video yang dimuatnaik pula mengundang sebak apabila Mohd Danial memeluk erat ibu tersayang sebaik selamat bernikah. Begitu juga ketika seorang lagi anak Datin Seri Umie, Mohd Dzulhelmy datang menerpa dan berpelukan antara satu sama lain. Tiada ungkapan yang mampu diluahkan mereka selain linangan air mata gembira.
Datin Seri Umie turut mendedahkan hubungan kedua-dua anak beliau ini sudah terjalin rapat sejak mereka kecil lagi. “. Hubungan erat bagai isi dengan kuku. Jarak umur cuma beza setahun. Dari depa kecik… kalau ibu marah kat Danial.. Dzul akan menangis. Kalau ibu marah kat Dzul.. Danial akan cuba tenangkan ibu. Depa ada jugak bergaduh masa budak-budak.. macam biasa ayat seorang ibu.. ibu hantuk kepala hangpa dua-dua.
Ibu tak nak tahu siapa betul siapa salah.. hangpa adik-beradik kena saling sayang-menyayangi antara satu sama lain. lbu ckp je.. tapi tak pernah pun depa kena hantuk kepala. Alhamdulillah.. 27 tahun Danial bertemu jodoh. Semoga Danial & Haniz sentiasa dlm lindunganNYA dan dirahmatiNYA. Aamiin… Akhir kata dari ibu buat Danial & Dzul.. Jaga silaturahim ini.”
Yang pasti, penampilan isteri Datuk Seri Khairuddin ini pada majlis pernikahan Mohd Danial mencuri perhatian peminat. Beliau yang anggun mengenakan persalinan sedondon mint green kelihatan berseri-seri dan makin langsing. Dalam meniti usia 46 tahun, Datin Seri Umie Aida kekal awet muda dan menawan berbanding zaman anak dara dulu.
Turut menyerikan majlis pernikahan Mohd Danial ialah adik-beradik Datin Seri Umie iaitu pengarah Erma Fatima dan adiknya, Betty Rahmad. Selain Mohd Danial, Datin Seri Umie mempunyai dua lagi anak angkat iaitu Mohd Dzulhelmy yang kini berusia 26 tahun dan Aisyah Humaira berumur setahun.
Sama cantik sama padan! Tahniah buat pasangan mempelai Wanna Ali dan Khairil Amri yang selamat melangsungkan perkahwinan pada tanggal 9 Februari 2025. Bijak menyembunyikan kisah cinta daripada khalayak, hasrat suci Wanna dan Amri untuk mendirikan rumah tangga akhirnya dimakbulkan Allah SWT.
Majlis ijab kabul Wanna atau nama sebenarnya Norsyazwana Mohd Ali berlangsung penuh indah di Glam Hall Damansara. Pengantin perempuan tampil memukau dalam persalinan eksklusif Ezuwan Ismail.
Tepat jam 10.40 pagi, pelakon cantik ini sah bergelar isteri Khairil Amri Tan Sri Dato’ Sri Khalid dengan sekali lafaz. Wanna Ali kelihatan sebak dan bersyukur usai pernikahan di sisi ibunda tersayang,
Dalam majlis berkenaan, Wanna menerima sebentuk cincin dan mas kahwin berupa 10 dinar emas.
Menelusuri latar belakang pengantin lelaki, Khairil Amri merupakan anak kepada bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dan isteri, Puan Sri Datin Sri Imran Ibrahim.
Manakala Wanna ialah anak kepada penerbit Dato’ Normashayu Puteh atau lebih dikenali sebagai Ayu Puteh.
Seramai 150 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat hadir meraikan hari bersejarah Wanna dan Amri. Pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran sementara pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran.
Majlis resepsi Wanna dan Amri pula berlangsung pada sebelah malam di lokasi sama bertemakan rona putih dan powder blue. Saat berarak masuk menuju pelamin, penampilan anggun Wanna dalam busana perkahwinan Shanel Harun memukau pandangan tetamu yang hadir.
Antara rakan artis yang turut menyerikan resepsi mewah ini termasuklah Joe Flizzow, Datin Intan Najwa, Sharifah Shahora, Ellie Suriaty dan Betty Benafe.
Dalam pada itu, Wanna Ali turut meluahkan rasa syukur kerana impian untuk mendirikan rumah tangga dipermudah dan berdoa agar kehidupannya selepas ini lebih bermakna. Di samping menitipkan rasa terima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan dan mendoakan kebahagiaannya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman. Ketakutan akan berakhir dengan rasa aman dan kegelisahan akan ada kedamaian… semuanya pasti dengan izin Allah SWT.
Janganlah kita merasa terhimpit walau sejengkal pun kerana keadaan pasti akan berubah, baik atau sebaliknya, hanya Dia yang tentukan.
Kisah pilu yang diceritakan oleh Puan Ida, seorang pesakit positif COVID-19 dan kini masih dirawat di Hospital Sungai Buloh jelas menguji keimanan seorang manusia. Semoga wanita hebat ini kembali sembuh dan tidak serik berdoa untuk kesembuhan mereka.
Ini kisah saya menghadapi dugaan COVID-19. Penghujung jalan kisah ini, saya hanya serahkan kepada-Nya…
Saya Ida, berusia 36 tahun. Kini bertugas sebagai setiausaha di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan kami dikurniakan lima cahaya mata, berusia lingkungan setahun hingga 13 tahun.
Suami saya Adi, juga berusia 36 tahun dan dia baru sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam, sebelum kini berniaga sepenuh masa. Kami sekarang menetap bersama ibu saya dan 2 orang anak saudara berumur 19 dan 14 tahun.
Suami mula terlibat dengan aktiviti dakwah dan tabligh sejak tahun 2010. Alhamdulillah sejak itu, kehidupan kami sedikit demi sedikit mula berubah. Dari segi cara hidup, ibadat, keyakinan diri mengikut kesesuaian kehendak agama dan sunnah Nabi Muhammad SAW…. InsyaAllah. Itulah sedikit sebanyak kisah latar belakang saya dan keluarga.
Musibah
Secara umum mengetahui salah satu kluster besar yang terlibat dengan isu ini adalah daripada perhimpunan tabliqh Ijtimak Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac 2020. Suami saya salah seorang yang telah hadir pada ijtimak tersebut.
Selang beberapa hari pulang, sekitar tanggal 7 Mac, suami saya mula menunjukkan simptom demam panas dan sakit-sakit sendi. Saya sangka hanya demam biasa, cukup diberi Panadol saja. Tapi selepas tu dia mula batuk, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa, malah tiba-tiba hilang selera makan.
Memandangkan keadaannya terus berlarutan, pada 10 Mac saya telah membawa suami ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Doktor menjalankan prosedur biasa dan ambil darah suami. Berdasarkan keputusan darah, doktor memberitahu, “Nampak macam denggi,” dan suami diminta untuk lakukan ujian darah pada hari berikutnya.
Pada malam tersebut saya pula demam dan sakit-sakit badan. Saya ambil Panadol dan keesokannya, demam saya hilang. Saya pergi ke pejabat macam biasa tapi separuh hari sebab nak bawa suami untuk repeat blood test. Waktu itu, saya tiba-tiba mula batuk dan sakit tekak. Terasa sangat sakit yang teruk sehingga suara menjadi serak.
Saya bawa suami ke klinik kesihatan pada waktu petang dan masa doktor review keputusan blood test suami, dimaklumkan keputusan darah semakin baik dan mungkin hanya terkena demam virus.
Pada masa yang sama suami bertanya kepada doktor, adakah benar sesiapa yang terlibat dengan ijtimak di Sri Petaling perlu ke hospital untuk menjalani saringan COVID-19? Doktor jawab ‘Ya’ dan atas nasihatnya, kami ke Hospital Putrajaya untuk melakukan prosedur tersebut. Saya bawa bersama keputusan blood test suami.
Tiba di hospital, doktor bertanya serba sedikit pada suami dan melihat keputusan blood test yang kami bawa. Katanya, “Likely not COVID-19.” Doktor nasihatkan suami supaya memaklumkan pada kawan-kawan lain yang terlibat dengan ijtimak tersebut jangan panik dan sekiranya ada simptom pergilah ke klinik kesihatan terdekat untuk dapatkan rawatan.
Kami pun pulang dengan perasaan tenang. Kesihatan suami juga sudah semakin baik daripada sebelumnya. Malam tersebut saya pula kembali demam menggigil dan lebih teruk dari malam sebelumnya.
Esoknya saya maklumkan boss, saya mohon cuti kerana tak sihat. Pada 13 Mac, saya masih demam, batuk dan suara saya sudah tiada, hilang deria bau dan rasa. Saya terus ke klinik kesihatan untuk dapatkan rawatan tetapi diminta untuk terus ke hospital kerana suami saya terlibat dengan ijtimak.
Terus terang memang saya agak geram dan rasa nak marah pada waktu itu. Perasaan bercampur baur dengan badan tak sihat, rasa macam kena tolak-tolak. Allahuakbar, sampai suami saya kata, “Sabarlah, jangan marah. Kita taat je…” Astarghfirullah.
Sampai di hospital, doktor ambil sampel darah. Masa doktor review keputusan blood test tu, dia mintak saya dan suami buat ujian COVID-19 (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga.
Selepas tu doktor beritahu, “Kuarantin untuk orang yang buat test ni adalah 3 hari sampai keluar keputusan.” Dalam tempoh 3 hari ni, pihak hospital akan hubungi untuk maklumkan keputusan sama ada positif atau negatif. Kalau tak terima panggilan, keputusannya adalah negatif…” Doktor juga beri saya cuti sakit selama 3 hari sesuai dengan waktu kuarantin.
3 hari berlalu tanpa ada panggilan daripada pihak hospital. Saya beranggapan keputusan kami negatif dan keadaan kesihatan kami bertambah baik, tidak nampak develops symptom.
16 Mac, saya pergi ke pejabat seperti biasa. Waktu tu saya masih ada sedikit batuk dan suara masih belum pulih sepenuhnya.
17 Mac, setibanya di pejabat saya terima WhatsApp daripada bos, “Kepada pegawai yang kurang sihat diberi cuti tanpa rekod sehingga Jumaat.” Saya terus balik ke rumah, tanpa berfikir ape pun ketika itu, selain rasa syukur…. alhamdulillah.
Tanggal 18 Mac 2020, jam menunjukkan lebih kurang 1.40 tengah hari, saya menerima panggilan daripada doktor di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya. Waktu itu hati rasa berdebar dan berharap, “Ya Allah, janganlah ada berita yang tak baik…”
Positif COVID-19
Namun apa yang semua orang elakkan rupa-rupanya Allah rezekikan pada saya dan suami. Astagfirullah…. Setelah 6 hari baru saya dimaklumkan keputusan saya dan suami positif. Air mata tak boleh ditahan lagi. Allahuakbar, saya maklumkan pada doktor, mintak bagi saya masa untuk bertenang dan saya nak solat.
Waktu tu, macam-macam perkara bermain di fikiran. Macam mana dengan orang lain yang saya dah jumpa. Saya ke pejabat, keluarga besar saya, ipar duai, anak-anak dan ibu bapa mertua saya yang datang bertandang ke rumah. Adik saya sekeluarga daripada Ipoh datang ke rumah juga.
Allahuakbar, itulah perkara yang paling dirisaukan masa tu. Takut sayalah jadi punca orang lain dapat virus ni. Malam tu jugak saya dan suami dihantar ke Hospital Sungai Buloh, anak-anak bersama Ibu saya di rumah.
Namun saya sangat bersyukur, alhamdulillah selama saya dan suami demam, anak-anak dan ibu saya tak terkesan. Mereka semua sihat walaupun anak bongsu saya masih menyusu badan. Sesuai dengan prosedur KKM semua yang ada direct contact dengan kami perlu buat swab test.
Alhamdulillah, Maha Baiknya Allah. Semua mereka negatif. Bos, rakan-rakan di pejabat dan keluarga saya semua Allah pelihara daripada virus ni. Syukur alhamdulillah, itu saja sudah membuatkan saya kembali tenang.
Suasana Hospital
Dalam fasa ujian ini, suami saya lebih tenang dan sentiasa cuba menenangkan semua pihak. Suami beritahu saya, “Apa yang terjadi, ini semua dengan kehendak Allah. Walaupun kita dah berusaha pergi klinik, hospital dan ikut semua nasihat doktor tapi ini kehendak Allah.
Kita hanya mampu berusaha tapi keputusannya tetap apa yang Allah kehendaki,” kata-kata dia buat saya sedar yang saya kena redha dengan ujian ini. Suami bagi tahu lagi, “Umi, yakinlah apa sahaja yang Allah takdirkan terjadi pasti akan terjadi dan apa sahaja yang Allah takdirkan tidak terjadi pasti tidak akan terjadi.”
Kepada anak-anak yang ditinggalkan, saya minta mereka jaga diri dan kesihatan. Walaupn saya dan suami tiada di rumah, rutin harian terutamanya amalan agama mesti dihidupkan seperti biasa. Sebelum arahan masjid dan surau ditutup, menjadi amalan suami dan anak-anak lelaki saya akan solat 5 waktu berjemaah di surau tetapi kerana perintah PKP tersebut, rumahlah yang menjadi surau kami.
Laungkan azan menjelang waktu solat dan solatlah secara berjemaah. Bacaan Al-Quran dan hadis (taklim) perlu berjalan seperti biasa. Saya pesan kepada anak sulung saya, memandangkan dia lelaki yang paling besar ada di rumah, dia perlu jaga keluarga dan ambil tanggungjawab ini sementara kami di hospital.
Alhamdulillah selama di hospital ini, saya dan suami sihat dan semakin baik. Selera makan pun dah bertambah. Setiap 2 hari akan buat swab test, sehinggalah test negatif, baru boleh discaj. Memandangkan tiada rawatan yang spesifik untuk virus ni, doktor hanya beri rawatan Vitamin C dan ubat kumur.
Barisan frontliners di sini, masyaAllah… Syabas dan tahniah untuk mereka semua. Sentiasa sabar, tenang dan profesional walaupun wabak ini masih baru dan arahan kepada mereka juga sentiasa bertukar mengikut keadaan. Tapi mereka sentiasa positif dan bersemangat menggalas tanggungjawab. Kepada mereka, semoga bakti yang dicurahkan akan Allah terima sebagai amalan soleh dan dibalas dengan sebaik-baik balasan… Aamin.
Saya harus terus positif dan bersemangat berjuang dalam keadan ini. Cuma pada waktu mula-mula dapat tahu saya positif COVID-19, memang rasa sangat down. Keadaan sekeliling buat saya tertekan. Saya terfikir anak-anak yang nak ditinggalkan, stigma masyarakat khasnya di tempat kerja.
Saya rasa seperti penjenayah yang sengaja mendedahkan orang lain dalam situasi yang bahaya, padahal saya tak tahu pun yang saya positif. Keputusan pun hanya diketahui selepas 6 hari ujian dilakukan.
Suami ambil inisiatif untuk buat voice note, cerita serba sedikit tentang kronologi kes kami dan apabila mereka dah dengar, Allah mudahkan mereka faham akan situasi sebenarnya. Selepas tu, alhamdulillah mereka semua mula mendoakan dan memberi kata-kata semangat untuk saya terus kuat dalam menghadapi ujian ini.
Alhamdulillah setakat hari ini, Allah hadiahkan ketenangan dan ringankan beban perasaan saya. Allah angkat keluh-kesah saya dan ganti dengan ketenangan jiwa. Cantik sekali aturan-Nya. Selama saya dan suami di sini, sentiasa ada rakan-rakan yang membantu menghantarkan pelbagai makanan untuk ibu dan anak-anak di rumah. Hampir setiap hari pasti ada sahaja makanan di luar rumah. Hebat Allah, benarlah janji-janji Allah.
Apa pun keadaan kita sekarang, bersyukurlah. Baik atau tidak, Allah tak pernah zalim pada hamba-Nya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Itulah paling utama. Betulkan amalan kita kerana bersama-sama amalan agama itu ada janji-janji Allah. Kita ikut semua nasihat doktor dengan baik dan yakinlah yang menyembuhkan itu hanya Allah. Kepada masyarakat di luar sana yang Allah selamatkan daripad ujian ini, bersyukurlah. Doakan kebaikan kepada semua.
Saya sentiasa pujuk hati untuk redha, inilah yang terbaik untuk saya di sisi Allah. Saya selalu cakap pada diri sendiri “Biarlah Allah sempurnakan takdir yang Dia dah tulis untuk saya…” Alhamdulillah satu persatu kebaikan Allah zahirkan bila mana yakin kita itu betul.
Semoga Allah selamatkan saya, keluarga, seluruh rakyat Malaysia dan umat seluruh alam daripada azab-Nya. Semoga dengan ujian ini kita semua lebih dekat dengan Allah, lebih yakin dengan janji-janji-Nya. Semoga Allah bebaskan saya daripada virus ini dan saya dapat pulang kepangkuan keluarga secepat mungkin… Aamin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.