Bakat Kakak Askar, Farah Suara Viral Bawa Nama Angkatan Tentera Malaysia Ke Tahap Tinggi

Setiap kali nama Farah Noorasikin Abdul Rahim atau Farah dipanggil untuk membuat persembahan, aura yang menyaluti peserta Suara Viral itu terasa cukup bertenaga.

Wanita berusia 32 tahun dari Kota Bharu ini muncul dengan semangat seorang frontliners, berani dan yakin, bagai mencerminkan kerjayanya di Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Inilah bakat yang dimiliki Farah sepanjang berkhidmat selama 10 tahun sebagai penyanyi Kombo Rejimen Renjer Diraja ATM. Suara emasnya cukup luar biasa!

Pertemuan santai Nona dengan Farah menerbitkan kemesraan. Orangnya peramah dan ceria, walau diam-diam dia mengakui rindu dengan suami, ahli keluarga di rumah serta rakan-rakan askar sepanjang menyertai program realiti Astro, Suara Viral.

Nona: Sejak sertai Suara Viral, bagaimana Farah bahagikan masa untuk kerjaya, latihan dan famili?

Farah: Buat masa ni pihak Astro menempatkan semua peserta di bilik-bilik berasingan sepanjang program berlangsung. Maklumlah, dengan keadaan negara kita yang masih menjalankan PKPP, kami tak boleh berkongsi bilik.

Waktu latihan kami akur dengan jadual yang telah diaturkan. Untuk bersama famili, Farah hanya dibenarkan berhubung melalui telefon dan panggilan video. Ini sajalah cara kami melepaskan rindu yang terpendam.

Nona: Sudah berapa lama sertai ATM?

Farah: 10 tahun. Sebenarnya ayah Farah adalah seorang bekas anggota tentera. Jadi bila selalu dengar cerita tentang pengalaman beliau, Farah jadi tertarik dan alhamdulilah rezeki dapat sertai Kombo Rejimen Renjer Diraja sebagai penyanyi.

Nona: Pengalaman paling mencabar sepanjang di ATM?

Farah: Sudah tentulah apabila terpaksa berjauhan dengan famili. Farah juga ambil masa nak biasakan diri berdepan dengan rakan sekerja kerana dalam ATM perlu ada disiplin dan ketegasan yang tinggi.

Bila ada masa terluang, Farah akan video call suami. Alhamdulilah dia sangat supportive sebab kami bekerja dalam bidang yang sama. Suami Farah pun seorang pemuzik.

Nona: Selepas berakhir pertandingan nanti, apa rancangan Farah dalam kerjaya sekarang dan bidang seni?

Farah: Insyaallah Farah tetap akan meneruskan kerjaya sebagai tentera. Tentang rezeki dalam bidang nyanyian, Farah akan cuba bahagikan masa sebaik mungkin.

Nona: Kerjaya frontliners, dalam apa bidang pun, sangat mencabar mental terutamanya untuk wanita. Komen Farah?

Farah: Memang benar. Sebagai frontliners, ia memang sangat-sangat mencabar kerana kami sebagai wanita kena pandai mengagihkan masa, tenaga, kasih sayang untuk suami dan ahli keluarga lain demi menjalankan amanah sebagai tentera negara.

Nona: Harapan Farah sebagai frontliners dan peserta Suara Viral?

Farah: Farah tak sangka ada yang menyokong tanpa henti dengan mewujudkan Farahsv_fc. Farah sangat-sangat terharu sebenarnya dengan kasih sayang fan club yang sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada Farah tanpa henti. Tanpa kalian siapalah Farah. Farah juga berharap agar perjuangan ini mendapat sokongan semua pihak dan jutaan terima kasih atas segalanya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas.

IKLAN
Share