Saban kali menatap laporan berita tentang kes haruan makan anak, terasa geramnya bagai mahu meletup kepala. Rasa marah meluap-luap memikirkan bagaimana harga kepercayaan keluarga menjadi semurah ini.
September lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan kes seorang bapa yang didakwa dengan 623 pertuduhan rogol dan liwat terhadap anak kandungnya yang berumur 15 tahun.
Meskipun Mahkamah telah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kelakuan kejinya, namun jenayah sumbang mahram atau inses jelas lebih terkutuk daripada jenayah rogol.
Terus mengejutkan masyarakat, seorang lelaki berpangkat bapa saudara merogol anak saudara kandungnya yang yatim piatu di Alor Setar manakala dalam satu kes lain di Serian, dua beradik menjadi hamba seks bapa, datuk dan bapa saudara mereka tanpa belas kasihan.
Sumber: Majalah Remaja
Menyedari bahawa kes seperti ini kian tenat di negara kita, Nona tertarik untuk menghadiri sesi Wacana Sinar Harian berjudul ‘Perogol Dalam Rumah!’ yang diadakan pada 28 November lepas.
Program sekitar dua jam tersebut membawakan empat orang ahli panel iaitu Pakar Motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad; Pengarah Kempen Stop #PerogolDalamRumah, Abjda Dato’ Zulkifli; Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim; dan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang UIA, Dr. Mazlena Mohamad Hussain.
Selain membincangkan perihal akta dan perundangan, Nona tertarik mendengar penerangan Abjda Dato’ Zulkifli tentang maksud sumbang mahram.
“Istilah sumbang mahram adalah label yang terlalu lembut bagi seorang perogol. Masyarakat sepatutnya dididik untuk menggunakan istilah ‘rogol’ bagi menggambarkan perbuatan keji perogol yang tinggal sebumbung dengan mangsa.
Rogol adalah penyakit yang menular dalam masyarakat hari ini. Untuk membanterasnya daripada awal, kita kena didik anak kita sejak kecil untuk tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, apa yang boleh dipegang dan apa yang tak boleh disentuh oleh ahli keluarga lelaki khasnya.
Terdapat dua jenis perogol dalam dunia ini. Perogol yang lahir dengan masalah mental dan perogol yang melakukan jenayah dalam keadaan mental yang sihat,” katanya lagi.
Abjda Dato’ Zulkifli
Proses Hukuman
Ads
Bagi Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada cara mereka sendiri dalam menyiasat kes-kes membabitkan pesalah rogol.
“Katakanlah ada lelaki ini dituduh kerana merogol, apa akan jadi seterusnya? Adakah polis akan terus tangkap?
Ada cara sistematik yang dipraktikkan. Polis akan menyiasat yang mana mangsa ini akan dibawa ke hospital terlebih dahulu untuk ujian klinikal. Di situ akan diketahui sama ada terdapat kesan koyakan atau kemasukan dan sebagainya sebelum suspek ini dikesan lalu ditangkap.
Kamal Affendi Hashim
Kemudian, suspek akan dihantar untuk jalani ujian forensik dan setelah disabit salah kerana jenayah itu, suspek akan dipenjarakan.
Di sini, pesalah perogol terutama perogol kanak-kanak, saya boleh katakan adalah kasta paling bawah dalam kategori mereka yang dipenjarakan berbanding jenayah-jenayah lain.”
Tingkat Kesedaran
Menurut Dr. Mazlena Mohamad Hussain pula, ramai mangsa rogol tidak tahu ‘cara bertindak’ selepas mereka menjadi mangsa rogol.
“Kadang-kadang masyarakat kita tak diajar untuk mengendali diri sendiri apabila sudah dirogol, sebab kita tak tahu hak kita.
Ads
Kadang kala mangsa sangat malu dan dia nak bersihkan diri dia, tetapi tanpa sedar dalam membersihkan diri sebenarnya dia juga mencuci segala bukti yang ada.”
Dr. Mazlena Mohamad Hussain
Justeru itu beliau menasihatkan agar mangsa menyimpan segala bukti yang ada bagi memastikan pelaku tidak terlepas. “Sebab dalam mahkamah semua perlukan bukti yang kukuh.
Masyarakat juga perlu diajar mengenai perkara ini, dan keluarga juga perlu mengajar anak-anak mereka tak perlu berkias dalam bercerita mengenai perkara ini,” katanya.
Kesan Psikologi
Pakar motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu ghairah berkongsi perkara negatif ini di media sosial, apatah lagi anak-anak kecil turut terdedah dengan perkara negatif tersebut.
“Setiap kanak-kanak dirogol, ada juga yang tidak dirogol tapi sayang sebab kita tidak memandang ‘anak-anak’ ini. Kita lebih fokus kepada mereka yang menjadi mangsa.
Namun, dalam tidak sedar, anak-anak ini turut menjadi mangsa, bukan rogol fizikal tetapi rogol fikiran seperti pendedahan dan pemikiran negatif berkaitan dengan isu ini.
Prof Datuk Dr. Muhaya
Perkara-perkara ini secara tidak langsung memudaratkan anak-anak tersebut, Oleh sebab itu, kita yang dewasa kena berjaga-jaga,” katanya.
Ads
Sementara itu, beliau juga menekankan pentingnya konsep ‘memaafkan’ sekiranya mangsa rogol ingin meneruskan kehidupan mereka.
“Apa yang jadi sudah terjadi, kita tidak boleh ubah masa lampau kita dan jalan yang ada hanya ke depan. Sebab itu, kita perlu memaafkan apa yang terjadi, ‘let it go’. Selagi kita tidak melepaskan,lagi susah kita nak ‘move on’.
Namun ia tidak bermakna kita ‘merelakan’ apa yang terjadi, kita kena percaya pada ALLAH SWT, ‘believe in the system’. Perbaiki diri supaya jadi lebih baik,” katanya.
Kembali Pada Agama
Sumbang mahram dari segi syarak pula memberi maksud perbuatan zina yang dilakukan oleh seorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan di mana perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi agama, undang-undang dan adat resam sesuatu budaya tersebut.
Apa yang dimaksudkan dengan mahram atau pertalian darah dan nasab tersebut, disebut di dalam firman Allah yang bermaksud:
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa’: 23)
Di dalam Islam, hukum jenayah sumbang mahram adalah haram dan salah satu daripada dosa besar. Kerana itulah Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitab az-Zawajir berkata: “Zina yang paling keji adalah berzina dengan muhrim (ahli keluarga).” Kejinya itu kerana seseorang yang sepatutnya melindungi ahli keluarganya telah mengambil langkah menganiaya ahli keluarganya sendiri.
Mangsa di dalam hal ini jika dipaksa serta teraniaya tidak dikenakan hukuman. Manakala pelaku yang melakukan secara sukarela wajib dijatuhkan hukuman hudud seperti kesalahan zina di atas perbuatannya itu.
Jumhur ulamak mengatakan bahawa hukuman terhadap jenayah sumbang mahram adalah hukuman ke atas jenayah zina. Hukumannya adalah 100 kali sebatan jika sekiranya pelakunya masih lagi belum pernah merasai persetubuhan dari nikah yang sah. Jika sudah merasai persetubuhan dari nikah yang sah, hukumannya adalah rejam sehingga mati. Norzalina Mohd Alias/Foto Rosli Talib.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terdapat pelbagai punca yang mengakibatkan kegagalan buah pinggang tetapi tanpa ragu diabetes merupakan punca utama bagi penyakit buah pinggang kronik (CKD). Dianggarkan 1 dalam 3 orang dewasa yang menghidapi diabetes juga menghidap penyakit buah pinggang kronik, ia melibatkan sebanyak 40% pesakit diabetes jenis 21. Kondisi ini dipanggil Penyakit Buah Pinggang Diabetik (Diabetes Kidney Disease) atau juga dikenali sebagai Diabetic Nephropathy. Ia berlaku apabila buah pinggang anda mengalami masalah menapis sisa buangan daripada darah yang kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk air kencing. Jika ia tidak dirawat, buah pinggang anda akan gagal dan tidak boleh berfungsi. Jika ini berlaku, anda mungkin memerlukan pemindahan buah pinggang atau dialisis.
Berdasarkan laporan Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2018, 69.2% pesakit buah pinggang peringkat akhir adalah disebabkan oleh DKD. Semakin tinggi tahap diabetes seseorang, semakin tinggi peluang mereka untuk menghidapi DKD. Trend yang membimbangkan ini menyebabkan Malaysia mempunyai kadar prevalens kegagalan buah pinggang paling tinggi di dunia yang berpunca dari diabetes.
3 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penyakit Buah Pinggang Diabetik (DKD)
Diabetes adalah Punca No.1 Kegagalan Buah Pinggang
Kebiasaanya diabetes mengambil masa bertahun-tahun untuk merosakkan buah pinggang dan jika ia berlaku, gejala DKD tidak begitu ketara di peringkat awal dan hanya akan lebih jelas apabila penyakit sudah di peringkat serius. Oleh itu, kedua-duanya, diabetes dan penyakit buah pinggang digelar sebagai pembunuh senyap tanpa gejala terutamanya pada peringkat awal. Masalahnya apabila diabetes tidak didiagnosis atau tidak terkawal. Ramai orang tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes jenis 2 untuk jangka masa yang lama yang boleh mengakibatkan peluang yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit buah pinggang sejurus selepas disahkan menghidap diabetes. Beberapa gejala bagi penyakit buah pinggang yang berpunca dari diabetes adalah seperti pertambahan berat badan, pergelangan kaki bengkak, loya atau muntah, air kencing berbuih, lesu, nafas berbau air kencing, gatal-gatal, selera makan berkurangan dan kaki bengkak. Selain itu, organ lain yang mungkin terjejas oleh penyakit buah pinggang ialah mata dengan gejala seperti penglihatan kabur dan floaters.
Bagaimanakah saya boleh memastikan buah pinggang saya sihat jika saya menghidap diabetes?
Cara terbaik untuk melambatkan atau mencegah komplikasi buah pinggang yang berkaitan dengan diabetes adalah dengan sentiasa mengekalkan tahap glukosa darah yang sihat. Selain itu, ia adalah penting untuk menjalani gaya hidup sihat di mana salah satu faktor terbesar adalah pemakanan. Pemakanan yang sihat tidak bermakna anda hanya perlu mengambil salad sementara yang lain menjamu ayam belanda dan biriyani. Anda pun boleh mengambilnya tapi dengan kadar pengambilan yang berpada-pada. “Kembali kepada perkara asas dan ikuti Pinggan Sihat Malaysia yang menyarankan pembahagian #SukuSukuSeparuh – karbohidrat (suku pinggan), protein (suku pinggan), buah-buahan dan sayur-sayuran (separuh pinggan),” nasihat Cik Poh Kai Ling, Pakar Pemakanan Klinikal dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur. Untuk pemakanan yang sihat, ini merupakan panduan terbaik tetapi sering kali diabaikan malah sentiasa dianggap remeh oleh kebanyakan orang.
“Apabila bercakap tentang paras gula dalam darah bagi mengelakkan kerosakan buah pinggang menjadi lebih teruk, matlamat utama adalah mengamalkan pengambilan pemakanan sihat dan seimbang yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan sambil mengamalkan pengawalan bahagian mengikut Pinggan Sihat Malaysia. Kesederhanaan dan saiz bahagian adalah faktor utama. Anda boleh mengambil mana-mana karbohidrat tetapi dalam bahagian sederhana mengikut kesesuaian serta mengurangkan pengambilan garam atau natrium. Kurang natrium dalam diet anda dapat membantu menurunkan tekanan darah sekaligus mengurangkan pengumpulan cecair dalam badan anda, yang biasa berlaku dalam penyakit buah pinggang,” tambah Cik Poh.
Rawatan untuk Penyakit Buah Pinggang Diabetik (DKD)
Dengan ubat-ubatan serta rawatan terkini yang tersedia di pasaran, kunci kepada rawatan yang berkesan untuk komplikasi ini ialah hubungan yang kukuh antara pesakit, doktor, sokongan daripada ahli keluarga dan paramedik seperti pakar pemakanan dan jururawat. “Kadar kematian dan penyakit kardiovaskular meningkat secara eksponen bagi pesakit dengan Penyakit Buah Pinggang Diabetik(DKD). Pesakit DKD biasanya akan menemui ajal lebih awal sebelum mencapai peringkat akhir penyakit buah pinggang. Jika pesakit mencapai peringkat akhir penyakit buah pinggang, mereka memerlukan terapi penggantian buah pinggang termasuk pemindahan buah pinggang atau dialisis. Pesakit perlu memantau kormoditi mereka dengan penuh teliti bersama doktor mereka termasuk hipertensi, obesiti, hiperkolesterolemia dan merokok. Kesemua penyakit ini boleh membawa maut bersama diabetes, kata Perunding Perubatan Am dan Pakar Nefrologi di Pusat Perubatan Bukit Tinggi berhubung kaitan antara diabetes, jantung dan buah pinggang.
Pakar penjagaan kesihatan biasanya akan menasihati pesakit diabetes tanpa gejala untuk menjalani saringan penyakit buah pinggang dan jantung. Ini kerana penyakit ini biasanya berlaku secara senyap dan biasanya tidak menampakkan sebarang gejala sehingga sampai ke peringkat serius. Saringan yang disyorkan untuk penyakit buah pinggang diabetes (DKD) adalah dengan melakukan ujian mudah, seperti ujian air kencing yang dipanggil Urine ACR bagi meneliti kebocoran protein serta ujian darah bagi melihat fungsi buah pinggang yang dipanggil serum creati-nine.
Saringan perlu dilakukan pada hari yang sama seseorang itu didiagnosis menghidapi Diabetes Jenis 2 dan 5 tahun selepas bermulanya diabetes Jenis 1. Walau bagaimanapun, cadangan untuk menyaring pesakit diabetes tanpa gejala untuk penyakit kardiovaskular pernah menimbulkan kontroversi dan perlu dinilai secara individu. Bagi pesakit diabetes yang sudah menghidap penyakit buah pinggang atau jantung, strateginya adalah untuk mengurangkan kesan penyakit daripada menjadi lebih teruk dan saringan bukan lagi menjadi keutamaan.
Sebagai sebuah negara, kita berlumba dengan masa kerana 1 daripada 5 orang dewasa di negara ini² menghidap diabetes. Oleh itu, pengesanan awal, pencegahan dan rawatan adalah kunci utama. Namun, kebanyakan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes atau pra-diabetes masih beranggapan mereka sihat kerana diabetes selalunya tiada gejala. Maka dengan itu, adalah penting untuk melakukan pemeriksaan secara berkala. Saringan adalah cara terbaik untuk mencegah diabetes dan komplikasinya.
For Your Sweetheart Campaign mengajak semua rakyat Malaysia untuk memelihara kesihatan diri dan orang tersayang dengan Pemeriksaan Diabetes HbA1c PERCUMA di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara. Inisiatif ini disokong oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM).
Anda boleh layari www.foryoursweetheart.my untuk mendaftar Saringan Percuma hari ini atau untuk mengetahui lebih lanjut tentang diabetes. Jika anda masih berasa kurang yakin dengan pemakanan sihat, sila muat turun E-Book Resipi Mesra Diabetes dari https://www.foryoursweetheart.my. Saringan Diabetes HbA1c PERCUMA For Your Sweetheart sedang berlangsung sepanjang 2023. Untuk komplikasi diabetes seperti penyakit buah pinggang, sila berbincang dengan doktor anda bagi mendapatkan nasihat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bulan Disember menjadi pilihan ramai selebriti untuk berangkat ke Tanah Suci dan mengerjakan umrah. Tidak ketinggalan, Azrinaz Mazhar Hakim yang turut mengambil peluang akhir tahun ini untuk berada di sana dan lebih ‘dekat’ dengan Allah SWT.
Menerusi perkongsian di media sosial, Azrinaz sempat memuat naik foto di samping suami tercinta ketika berada di lapangan terbang sebelum berangkat ke Mekah.
Wajah bekas personaliti televisyen ini kelihatan berseri-seri yang tampil anggun dalam persalinan jubah putih dan tudung rona senada.
Kongsinya, “A journey to unlock the gates of mercy, forgiveness, and blessings also an opportunity to reset your spiritual compass and find yourself closer to Allah.”
Melihat penampilan anggun Azrinaz Mazhar Hakim, rata-rata peminat dan followers kesayangan memuji imej jelitawan ini. Apatah lagi, figura berusia 45 tahun berkenaan memiliki aura dan rupa paras cantik.
Di ruangan komen, Azrinaz turut ramah dan rajin membalas pertanyaan followers tersayang.
Ada yang meminta untuk mendoakan kesejahteraan, tidak kurang juga yang mendoakan agar perjalanan selebriti ini menunaikan ibadah umrah berjalan lancar serta mendapat umrah yang mabrur.
Dalam pada itu, ibu empat anak ini turut berkongsi Instagram Stories yang memaparkan dirinya berada di perkarangan Masjidil Haram untuk beribadah, melakukan ibadah tawaf dan saie serta cuba menyentuh Kaabah bersama-sama para jemaah dari seluruh pelusuk dunia yang lain.
Azrinaz mendirikan rumah tangga bersama Fairos Khan Abdul Hamid pada 1 Mei 2018. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Areesya Malaykha dan Atheera Medina.
Sebelum ini Azrinaz menerusi perkahwinan terdahulu bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Pengiran Muda Abdul Wakeel dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun kedua-dua ibu bapa sudah kembali ke rahmatullah tapi sebagai anak, Nori Abdullah nekad sambung legasi mereka terutamanya Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) yang ditinggalkan arwah ibunya, Tun Endon Mahmood.
Berstatus anak kepada bekas Perdana Menteri dan isteri bekas ahli politik terkenal iaitu Khairy Jamaluddin, Nori selesa menjalani hidup tanpa layanan istimewa serta enggan mengejar populariti.
Sebaliknya, dia aktif menyertai kerja amal dan cukup menjaga privasi keluarga.
Nori Abdullah Anak Allahyarham Tun Abdullah & Tun Endon
Personaliti Nori yang sederhana dan tidak begitu mencampuri kerjaya suami membuatkan dia disenangi ramai. Perwatakan ramah suri hati bekas Menteri Belia dan Sukan ini jelas terpancar ketika dia menghiasi Majalah Nona Edisi Sihat & Cantik tahun 2016.
Nori dan Khairy mendirikan rumah tangga sejak tahun 2001 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Averroes.
Anak kedua mereka iaitu Timor Abdullah merupakan seorang kanak-kanak autistik dan mereka sekeluarga menerima keadaan itu dengan penuh reda.
“Setelah didiagnosis pakar perubatan, pada usia tiga tahun Timor disahkan menghidap ASD iaitu Autism Spectrum Disorder, maka boleh dikatakan ia banyak mengubah kami.
Saya juga memberikan tumpuan yang lebih sedikit kepada Timor memandangkan dia memerlukan perhatian yang lebih. Tiada apa yang perlu kita malukan dengan anak-anak autistik kerana mereka anugerah Tuhan yang paling indah.”
Disifatkan seorang wanita sofistikated dan berdikari, Nori Abdullah menyambung ‘tinggalan’ Allahyarhamah ibu tersayang Tun Endon Mahmood yang memartabatkan batik dan Yayasan Budi Penyayang Malaysia sehingga ke hari ini.
Nori Abdullah Reda Pemergian Ibu Bapa
Yayasan ini diasaskan oleh Allahyarhamah Tun Endon pada tahun 2000 dan Nori menjadi Pengerusinya selepas Tun Endon kembali ke pangkuan ilahi pada 20 Oktober 2005 akibat kanser payu dara.
Pemergian bapa tersayang Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah pada 14 April lalu cukup meninggalkan kesan mendalam kepada Nori. Pun begitu, dia menerusi media sosial menzahirkan penghargaan atas doa, ucapan dan kasih sayang yang diterima daripada rakyat Malaysia.
Luah Nori, dia bersyukur dan menggambarkan pemergian bapa yang dipanggilnya Baba sebagai satu perpisahan menyakitkan. Apatah lagi dengan penyakit demensia yang dialami Allahyarham sejak sekian lama.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala doa, kasih sayang dan kata-kata semangat. Saya amat menghargainya.
Bukan sekadar ucapan takziah tetapi penghargaan, penghormatan dan kasih sayang yang tidak putus-putus. Ia adalah satu pemberian yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Tuhan itu Maha Pemurah,” tulisnya.
Tambah Nori, teknologi hari ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan memahami bapanya dengan lebih baik menerusi pelbagai dokumentasi serta perkongsian sejarah.
“InsyaAllah sejarah akan berlaku adil kepadanya walaupun beliau manusia biasa yang tidak sempurna. Tetapi seperti yang pernah dikatakan kepada saya, cara seseorang membuatkan orang lain rasa dihargai adalah sangat penting dan Pak Lah pandai membuat orang rasa dihargai.”
Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun dan disemadikan dengan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 15 April 2025.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.