Banteras Perogol Dalam Rumah, Mangsa Mesti Celik Mata & Bersuara Demi Masa Depan

Saban kali menatap laporan berita tentang kes haruan makan anak, terasa geramnya bagai mahu meletup kepala. Rasa marah meluap-luap memikirkan bagaimana harga kepercayaan keluarga menjadi semurah ini.

September lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan kes seorang bapa yang didakwa dengan 623 pertuduhan rogol dan liwat terhadap anak kandungnya yang berumur 15 tahun.

Meskipun Mahkamah telah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kelakuan kejinya, namun jenayah sumbang mahram atau inses jelas lebih terkutuk daripada jenayah rogol.

Terus mengejutkan masyarakat, seorang lelaki berpangkat bapa saudara merogol anak saudara kandungnya yang yatim piatu di Alor Setar manakala dalam satu kes lain di Serian, dua beradik menjadi hamba seks bapa, datuk dan bapa saudara mereka tanpa belas kasihan.

Sumber: Majalah Remaja

Menyedari bahawa kes seperti ini kian tenat di negara kita, Nona tertarik untuk menghadiri sesi Wacana Sinar Harian berjudul ‘Perogol Dalam Rumah!’ yang diadakan pada 28 November lepas.

Program sekitar dua jam tersebut membawakan empat orang ahli panel iaitu Pakar Motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad; Pengarah Kempen Stop #PerogolDalamRumah, Abjda Dato’ Zulkifli; Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim; dan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang UIA, Dr. Mazlena Mohamad Hussain.

Selain membincangkan perihal akta dan perundangan, Nona tertarik mendengar penerangan Abjda Dato’ Zulkifli tentang maksud sumbang mahram.

“Istilah sumbang mahram adalah label yang terlalu lembut bagi seorang perogol. Masyarakat sepatutnya dididik untuk menggunakan istilah ‘rogol’ bagi menggambarkan perbuatan keji perogol yang tinggal sebumbung dengan mangsa.

Rogol adalah penyakit yang menular dalam masyarakat hari ini. Untuk membanterasnya daripada awal, kita kena didik anak kita sejak kecil untuk tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, apa yang boleh dipegang dan apa yang tak boleh disentuh oleh ahli keluarga lelaki khasnya.

Terdapat dua jenis perogol dalam dunia ini. Perogol yang lahir dengan masalah mental dan perogol yang melakukan jenayah dalam keadaan mental yang sihat,” katanya lagi.

Abjda Dato’ Zulkifli

Proses Hukuman

Bagi Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada cara mereka sendiri dalam menyiasat kes-kes membabitkan pesalah rogol.

“Katakanlah ada lelaki ini dituduh kerana merogol, apa akan jadi seterusnya? Adakah polis akan terus tangkap?

Ada cara sistematik yang dipraktikkan. Polis akan menyiasat yang mana mangsa ini akan dibawa ke hospital terlebih dahulu untuk ujian klinikal. Di situ akan diketahui sama ada terdapat kesan koyakan atau kemasukan dan sebagainya sebelum suspek ini dikesan lalu ditangkap.

Kamal Affendi Hashim

Kemudian, suspek akan dihantar untuk jalani ujian forensik dan setelah disabit salah kerana jenayah itu, suspek akan dipenjarakan.

Di sini, pesalah perogol terutama perogol kanak-kanak, saya boleh katakan adalah kasta paling bawah dalam kategori mereka yang dipenjarakan berbanding jenayah-jenayah lain.”

Tingkat Kesedaran

Menurut Dr. Mazlena Mohamad Hussain pula, ramai mangsa rogol tidak tahu ‘cara bertindak’ selepas mereka menjadi mangsa rogol.

“Kadang-kadang masyarakat kita tak diajar untuk mengendali diri sendiri apabila sudah dirogol, sebab kita tak tahu hak kita.

Kadang kala mangsa sangat malu dan dia nak bersihkan diri dia, tetapi tanpa sedar dalam membersihkan diri sebenarnya dia juga mencuci segala bukti yang ada.”

Dr. Mazlena Mohamad Hussain

Justeru itu beliau menasihatkan agar mangsa menyimpan segala bukti yang ada bagi memastikan pelaku tidak terlepas. “Sebab dalam mahkamah semua perlukan bukti yang kukuh.

Masyarakat juga perlu diajar mengenai perkara ini, dan keluarga juga perlu mengajar anak-anak mereka tak perlu berkias dalam bercerita mengenai perkara ini,” katanya.

Kesan Psikologi

Pakar motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu ghairah berkongsi perkara negatif ini di media sosial, apatah lagi anak-anak kecil turut terdedah dengan perkara negatif tersebut.

“Setiap kanak-kanak dirogol, ada juga yang tidak dirogol tapi sayang sebab kita tidak memandang ‘anak-anak’ ini. Kita lebih fokus kepada mereka yang menjadi mangsa.

Namun, dalam tidak sedar, anak-anak ini turut menjadi mangsa, bukan rogol fizikal tetapi rogol fikiran seperti pendedahan dan pemikiran negatif berkaitan dengan isu ini.

Prof Datuk Dr. Muhaya

Perkara-perkara ini secara tidak langsung memudaratkan anak-anak tersebut, Oleh sebab itu, kita yang dewasa kena berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menekankan pentingnya konsep ‘memaafkan’ sekiranya mangsa rogol ingin meneruskan kehidupan mereka.

“Apa yang jadi sudah terjadi, kita tidak boleh ubah masa lampau kita dan jalan yang ada hanya ke depan. Sebab itu, kita perlu memaafkan apa yang terjadi, ‘let it go’. Selagi kita tidak melepaskan,lagi susah kita nak ‘move on’.

Namun ia tidak bermakna kita ‘merelakan’ apa yang terjadi, kita kena percaya pada ALLAH SWT, ‘believe in the system’. Perbaiki diri supaya jadi lebih baik,” katanya.

Kembali Pada Agama

Sumbang mahram dari segi syarak pula memberi maksud perbuatan zina yang dilakukan oleh seorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan di mana perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi agama, undang-undang dan adat resam sesuatu budaya tersebut.

Apa yang dimaksudkan dengan mahram atau pertalian darah dan nasab tersebut, disebut di dalam firman Allah yang bermaksud:

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(An-Nisa’: 23)

Di dalam Islam, hukum jenayah sumbang mahram adalah haram dan salah satu daripada dosa besar. Kerana itulah Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitab az-Zawajir berkata: “Zina yang paling keji adalah berzina dengan muhrim (ahli keluarga).” Kejinya itu kerana seseorang yang sepatutnya melindungi ahli keluarganya telah mengambil langkah menganiaya ahli keluarganya sendiri.

Mangsa di dalam hal ini jika dipaksa serta teraniaya tidak dikenakan hukuman. Manakala pelaku yang melakukan secara sukarela wajib dijatuhkan hukuman hudud seperti kesalahan zina di atas perbuatannya itu.

Jumhur ulamak mengatakan bahawa hukuman terhadap jenayah sumbang mahram adalah hukuman ke atas jenayah zina. Hukumannya adalah 100 kali sebatan jika sekiranya pelakunya masih lagi belum pernah merasai persetubuhan dari nikah yang sah. Jika sudah merasai persetubuhan dari nikah yang sah, hukumannya adalah rejam sehingga mati. Norzalina Mohd Alias/Foto Rosli Talib.

IKLAN
Share