
Datuk Latif Romly Bawa Keluarga Beriadah Di Scotland
Seronok tengok percutian keluarga Datuk Latif Romly di Scotland. Berkunjung ke Glasgow sempena Sukan Komanwel 2026 dari 23 Julai hingga 2 Ogos lalu, kunjungan atlet paralimpik negara ini ke sana turut ditemani isteri tercinta dan bayi perempuan.
Lebih manis, Datuk Latif atau nama penuhnya Abdul Latif Romly berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam acara lompat jauh T20 dengan membawa pulang pingat emas.
Mengimbas kembali detik bersejarah itu, atlet kelahiran Perlis berkenaan mencipta sensasi sebagai antara atlet para terbaik dunia apabila menghadiahkan pingat emas menerusi acara lompat jauh T20 dengan catatan lompatan 7.17 meter.
Kejayaan itu sekaligus menyaksikan Datuk Latif menjadi atlet sukan olahraga pertama Malaysia meraih emas Sukan Komanwel sejak kejayaan Govindasamy Saravanan di Kuala Lumpur 1998.
Berkongsi momen indah tersebut di media sosial miliknya, Datuk Latif Romly memanjat kesyukuran kerana misi untuk melengkapkan pingat emas dalam pelbagai temasya sukan disertai akhirnya berjaya direalisasikan.
Ini termasuk dalam temasya Sukan Paralimpik, Kejohanan Dunia, Sukan Para Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Para ASEAN.
“Misi untuk melengkapkan title gold medal tercapai. Paralympic (dua), World Championship (lima), Asia Para Game (tiga), Commonwealth Game (satu) dan ASEAN Para Game (empat).
12 tahun menunggu untuk melengkapkan semua title.”
Sempena meraikan kejayaan itu, Datuk Latif Romly sempat meluangkan masa bersama Datin Nabila dan cahaya mata perempuan, Alana Rose yang berusia tujuh bulan.
Difahamkan figura sukan ini membawa keluarga kecilnya beriadah di sekitar Glasgow dan Edinburgh.
Datuk Latif memang patut dijadikan contoh suami dan bapa mithali kerana sentiasa berusaha membahagiakan sang isteri dan anak!
Menerusi foto percutian yang dimuat naik jelas terserlah kecomelan permata hati kesayangan Datuk Latif dan Datin Nabila. Alana Rose selamat dilahirkan pada 16 Januari 2026.
Datuk Latif Romly dan Datin Nabila atau nama penuhnya Nurul Nabila Farhana Musaidi mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2022.
Semoga dengan kehadiran cahaya mata ini menjadi pelengkap dan penyeri rumah tangga pasangan romantis ini.
This website uses cookies.