Baru Berusia 35 Tahun Dah Miliki TUDUNG BAWAL RM50,000 Bukti Wanita Malaysia Kaya-Raya!

Wow, ternganga tengok harga tudung bawal ini! Boleh beli sebuah kereta tu. Sejak berita mengenai tudung keluaran Bawal Exclusive ini didedahkan semalam, pelbagai reaksi orang ramai dan warganet bertebaran di media sosial. Ada yang meluahkan rasa kagum… tidak kurang juga yang menzahirkan rasa kurang senang kerana nilainya yang dikatakan terlalu tinggi untuk sehelai tudung.

Penyerahan tudung bawal berwarna hitam yang bertatahkan butiran kristal mewah Swarovski tersebut sekaligus memecahkan rekod Bawal Exclusive tahun lalu bernilai RM33,000. Dan lebih mengejutkan… pemilik Bawal Exclusive sendiri mengakui, tempahan seterusnya dari Lahad Datu, Sabah bakal mengatasi harga tudung bawal terkini yang dianggarkan mencecah RM65,000! Kaya-raya wanita Malaysia hari ini.

“Alhamdulillah… selepas Allah turunkan hujan. Allah hadirkan pelangi, hari ini cipta sejarah jenama Bawal Exclusive terjual dengan harga RM50, 000 sehelai. Setiap hari pula pengunjung tidak putus-putus, dari buka butik sampailah ke petang. Semoga saya terus bersemangat dalam menempuh apa jua dugaan demi pelanggan-pelanggan yang saya kasihi,” doa pemilik Bawal Exclusive, Haliza Maysuri.

Mengulas mengenai tudung ‘viral’ berharga RM50,000 yang mula ditempah sejak Februari lalu… Haliza berkata, “Tudung ini menggunakan lebih 10 warna kristal mewah yang dibuat sepenuhnya sekumpulan pereka Swarovski dari Austria direka berteraskan rekaan dan personaliti pelanggan.

Ilham fantasi wujudnya kuntuman bunga mekar di padang pasir Sahara menterjemahkan kegigihan pemiliknya yang berusia 35 tahun. Pemilik seorang ahli perniagaan perusahaan berasaskan minyak dan gas. Tempahan hanya dilihatnya selepas siap dan diterbangkan ke negara ini.”

Dalam sidang media yang diadakan semalam, Haliza hadir menyerahkan tudung berkenaan kepada pemilik butik byQiss by Bawal Exclusive di Kuantan, Pahang iaitu Datin Hamizan Puteh sebelum diberikan kepada pelanggan. Hadir sama, Pengarah Penjualan Swarovski Profesional Malaysia, Zoe Toe. 

Tambah Haliza lagi, tudung Bawal Exclusive kebiasaanya diperbuat daripada fabrik voile dari Jepun yang direka khas mengikut cita rasa pelanggan bermula dari awal pemilihan rekaan sehinggalah ke sentuhan terakhir. Segala urusan dikendalikan secara panggilan video dengan pereka di Austria.

“Harga RM50, 000 ini termasuk kos pereka professional dan logistik dari Austria serta nilai berpadanan kerana Bawal Exclusive boleh diwarisi dari generasi ke generasi,” ujarnya yang memiliki 10 butik fizikal dan 35 wakil ejen jualan di seluruh negara.

Hebatnya penangan tudung Bawal Exclusive. Patutlah ramai golongan VVIP menggemari jenama ini. Selain rekaan yang eksklusif dan menarik, ia juga berkualiti tinggi sampai dipakai dari generasi ke generasi.

Biarpun ada komen nakal tentang harga bagi helaian tudung ini… namun jika dilihat dari sudut positif, penghasilan tudung mewah jenama Bawal Exclusive membuktikan keupayaan luar biasa kaum wanita di Malaysia.

Iyalah, Haliza Maysuri selaku pemilik Bawal Exclusive secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi kepada pengusaha hijab yang lain kerana kejayaannya ‘menghidangkan’ sesuatu yang unik dan mewah kepada pelanggan.

Begitu juga pembeli tudung berusia 35 tahun tersebut yang menunjukkan pada usia masih muda, beliau mampu memiliki tudung yang bersamaan harga sebuah kereta ini. Gabungan kedua-dua wanita hebat berkenaan jelas mencerminkan kemampuan wanita Malaysia yang tidak sekadar komited dengan pekerjaan yang dilakukan bahkan mampu memiliki apa jua yang diinginkan hasil kerja keras mereka selama ini. Sebagai wanita, kita seharusnya berbangga dengan kejayaan kedua-duanya!

 

 

Kredit foto: Bawal Exclusive

IKLAN
Share