
Bawa ‘rakan sekelas’ melawat Muzium Pahang bukan sekadar aktiviti pembelajaran biasa apabila ia melibatkan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Keperibadian yang merendah diri dan mencintai ilmu jelas terpancar sejak KDPB Tengku Ampuan Pahang kembali menyambung pengajian peringkat sarjana di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada lewat tahun 2024.
Langkah tersebut mencuri perhatian ramai dan menjadi simbol ketekunan serta komitmen terhadap pendidikan sepanjang hayat.
Gelaran Permaisuri ternyata tidak pernah menjadi batas kepada semangat menuntut ilmu, sebaliknya menjadi bukti bahawa pencarian ilmu mampu merentas usia, pangkat dan darjat.
Pada 26 Januari 2026, Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke galeri-galeri Muzium Pahang di Pekan dan Kuantan selama dua hari bermula Sabtu lalu.
Lawatan ini menjadi lebih istimewa apabila baginda sendiri membawa bersama pensyarah serta rakan-rakan sekelas dari ISTAC UIAM.
Antara lokasi yang dilawati dan diketuai sendiri oleh baginda termasuklah Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium Masjid Sultan Abdullah, Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi, Kutubkhanah Diraja, Museum of Contemporary Art (MOCA), MOCA+, serta Muzium Tunku Azizah Fesyen & Tekstil.
Setiap hentian dalam Lawatan Muzium Pahang ini menjadi ruang dialog antara sejarah silam dan generasi masa kini. Penceritaan eksklusif daripada seorang Permaisuri yang begitu arif tentang warisan negeri menjadikan pengalaman pembelajaran lebih hidup dan bermakna, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada para peserta.
Bagi seisi ahli rombongan, pengalaman menuntut ilmu bersama seorang Permaisuri bukan sahaja luar biasa, malah menyentuh emosi. Amirah Husna Mohd Nazri, 27, salah seorang pelajar sarjana ISTAC UIAM yang menyertai lawatan tersebut, meluahkan rasa terharu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Saya rasa seperti mimpi apabila rakan sekelas saya adalah KDPB Tengku Ampuan Pahang,” ujar Amirah. Menurutnya, peluang mendengar sendiri perkongsian sejarah Kesultanan Pahang daripada Tuanku merupakan pengalaman yang tidak mungkin diperoleh di mana-mana institusi lain.
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Ini akan menjadi kenangan terindah yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Junjung kasih Tuanku kerana berkenan membawa kami ke Muzium Pahang dan Istana Abdulaziz. Ia satu pengalaman yang amat bermakna,” katanya lagi.
Lawatan Muzium Pahang ini bukan sekadar program akademik, tetapi mencerminkan sisi kemanusiaan seorang Permaisuri yang memilih untuk berdiri sebaris dengan para penuntut ilmu. Terharu rasanya apabila menyaksikan Tengku Ampuan Pahang berkongsi ruang, masa dan pengetahuan dengan penuh kasih serta keikhlasan.
Dalam dunia yang sering mengagungkan status dan kedudukan, teladan yang ditunjukkan oleh baginda menjadi peringatan bahawa ilmu adalah jambatan yang menyatukan semua lapisan masyarakat. Sesungguhnya, langkah dan sikap baginda akan terus menjadi inspirasi, khususnya buat wanita Malaysia.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/victoria-beckham-the-knight-of-the-order-of-arts-letters/
This website uses cookies.